Sandakan: Komiti Keluarga Kristian Bahagian Bahasa Malaysia Katedral St Mary yang dipimpin oleh Saudara Matheus Sodomon telah menganjurkan satu Seminar Pra-Perkahwinan pada 28hb dan 29hb Mac yang berlangsung di Dewan Paroki St Mary. Seramai 24 pasangan yang bakal akan menerima Sakramen Perkahwinan telah menghadiri Seminar tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada mereka berhubung dengan harapan Gereja terhadap mereka. Disamping itu ia juga memberi ruang dan peluang bagi mereka mempersiapkan diri bagi menghadapi masa depan selepas berkahwin terutama tanggungjawab bersama terhadap keluarga dan anak-anak berdasarkan ajaran Gereja Katolik.
[Pasangan Michael dan Airene]
Seminar dimulakan dengan pentakhtaan Alkitab dan diikuti dengan pembacaan petikan Yohanes 7:40-53 oleh Saudara Pius Gorohom, Penasihat Komiti Keluarga Kristian. Bacaan tersebut menyeru agar kita harus mengambil pendirian mempertahankan dan menyebarkan seluas-luasnya Yesus, Tuhan kami serta Injil, sumber benar perjalanan hidup. Sepanjang dua hari, 11 tajuk telah dibentangkan yang meliputi Sakramen Perkahwinan, Komunikasi Suami/isteri dan keluarga, Pengurusan kewangan dalam keluarga, Peranan dan Tanggungjawab Ibu bapa, Kekudusan dalam keluarga, anotomi dan fisiologi, perancangan keluarga menurut ajaran Katolik, perancangan keluarga semulajadi dan falsafahnya, penyakit pelamin berjangkit dan penyakit keturunan, B.O.M. dan latihan ‘charting.’ 8 orang penceramah telah melibatkan diri untuk menjayakan sesi ’input’ yang telah memberi banyak manfaat kepada semua peserta. Mereka terdiri daripada Fr Paul Lo, Pembantu Paderi Katedral, Dr Henry Ong, John Baptis, Gesilla George, Matheus Sodomon, Adaris Moses, Leonie Degullacion dan Pius Gorohom. Seminar dua hari ini berjalan dengan lancar berkat usaha dan kerjasama serta komitmen semua Ahli Komiti Keluarga Kristian.
[Pasangan Ennon dan Justina]
Ennon dan Justina Michael Kimbee berpendapat bahawa seminar sedemikian adalah amat baik dan sesuai serta wajib dihadiri oleh pasangan-pasangan yang akan memasuki alam baru iaitu ‘alam berumahtangga.’ Sementara pasangan Michael Mathew dan Airene Gumanas pula berkata bahawa seminar seperti ini harus diadakan bagi menimbulkan kesedaran setiap pasangan yang ingin berkahwin, punya anak dan sebagainya agar keluarga yang bakal dibentuk dapat merealisasikan impian Sang Pencipta kita dan menjadi keluarga kudus seperti Yosef, Maria dan Yesus.
Fr Thomas Makajil, rektor Katedral St Mary merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terimakasih kepada Komiti Keluarga Kristian atas usaha mereka dalam menjayakan seminar tersebut, semua penceramah serta kesemua 24 pasangan peserta seminar. Dalam ucapan penutupan seminar, beliau juga mengingkatkan peserta agar sentiasa pegang kepada prinsip-prinsip ajaran Gereja sebagai panduan dan pedoman hidup sebagai umat Katolik. Fr Thomas kemudian menyampaikan sijil kehadiran kepada semua peserta dan menyempurnakan penutupan seminar didalam doa.
DS