Presidium Kuria Legio Maria Bahasa Malaysia, Katedral St Mary Sandakan, yang ditubuhkan pada 7hb Oktober 2008, dihadiri dan disaksikan oleh wakil Senatus dari Singapura, Presiden Komisium Sabah, beberapa orang pemimpin dan permerhati dari Kuria Bahasa Cina Katedral St Mary. Penubuhan dimulai dengan perayaan Misa Kudus dipimpin oleh Fr Paul Lo, pembantu paderi Katedral St Mary, disusuli dengan pemilihan empat (4) orang Ahli Jawatankuasa tertinggi dengan Bro Adaris Sintan dipilih sebagai Presiden pertama untuk Kuria Presidium “Ratu Rosari Ibu Penaung”, Bro Matheus Sodomon sebagai Timbalan Presiden, Bro Daniel Sipajun sebagai Setiausaha dan Sister Ann Basil sebagai Bendahari.
Pada Khamis lalu 16hb April 2009, belum pun genap setahun sejak penubuhan Kuria tersebut, bertempat di Katedral St Mary, satu lagi peristiwa penting dicatat oleh Kuria Bahasa Malaysia Presidium “Ratu Rosari Ibu Penaung” apabila seramai enam puluh (60) orang ahlinya menghadiri upacara lafaz pembaharuan janji “ACIS”. Dalam upacara itu seramai tiga puluh sembilan (39) orang wanita, lapan belas (18) orang lelaki dan selebihnya ahli junior dan percubaan daripada lima (5) presidium iaitu Presidium Ratu Pengasih, Presidium Ratu Takhta Kebijaksanaan, Presidium Ratu Kerahiman, Presidium Ratu Perdamaiandan Presidium Ratu Cahaya hadir dalam upacara ini.
Upacara pembaharuan janji, pertama kali dikendalikan sendiri oleh Kuria Bahasa Malaysia ini telah disempurnakan oleh pembantu paderi Katedral, Fr Paul Lo yang memimpin upacara lafaz pembaharuan janji manakala Paderi Paroki Katedral, Fr Thomas Makajil, memimpin upacara Misa Kudus. Upacara ini disudahi dengan sesi bergambar dan jamuan ringan.
Dilapor oleh:
Saudara Adaris Sintan