Rev. Fr. Thomas Makajil mengadakan Misa Kudus
di Chapel Katolik Kg. Tawanan, Paitan .
MISI PAITAN. Pada 27hb ~ 28hb April, 2009 Fr Thomas Makajil, rektor Katedral St Mary, Sr Appolonia FSIC serta rombongan Secular Franciscan Order telah membuat satu lawatan pastoral ke Misi Paitan. Lawatan berkenaan merupakan lawatan bulanan bertujuan melayani umat-umat beriman Paitan. Zon Paitan adalah satu-satunya misi di Keuskupan Sandakan di bawah kelolaan Katedral St Mary, Sandakan. Paitan terletak hampir dengan Daerah Marudu, namum ia merupakan sebuah daerah kecil di bawah pentadbiran Beluran. Perjalanan ke Paitan memakan masa hampir 4 jam melalui jalan raya dari pusat bandar Sandakan dan untuk ke Pusat Misi di St Clare, Kg Dalamas ia mengambil hampir sejam dengan menaiki bot bermotor. Misi Paitan telah wujud sejak awal 1985 hanya dengan tumpuan di satu kampung, iaitu Kampung Bukit Tuhan. Kini, misi tersebut telah tersebar luas merangkumi 12 buah kampong dengan seramai 10 orang katekis yang melayani umat-umat beriman setempat.
Keadaan Chapel Katolik Kg. Tawanan. Paitan
Pada hari pertama iaitu 27hb April 2009, Fr Thomas Makajil merayakan Perayaan Ekaristi di Kampung Tawanan yang dihadiri hampir 50 orang umat di sebuah chapel yang agak kecil berkeluasan 14 X 24 dan dalam keadaan yang agak usang. Kampung ini mempunyai 51 keluarga dan 30 orang yang sudah dibaptis. Komuniti di sini memerlukan sokongan kerohanian dan aktiviti kegerejaan terutamanya para belia dan kanak-kanak. Menurut para penduduk di sini, kampung mereka sudah dikelilingi ladang kelapa sawit dan tidak mempunyai hak tanah lagi serta seringkali dipantau oleh pihak jabatan perhutanan.
Rev. Fr. Thomas Makajil dan rombongan sedang menuju ke Chapel
St. Clare. Kg. Dalamas melalui Sungai Paitan.
Mereka meneruskan perjalanan ke Pusat Misi St Clare di Kampung Dalamas dan pada petang hari tersebut telah mengadakan satu mesyuarat dengan para katekis untuk memperdengarkan perkembangan pelayanan iman di kampung masing-masing. Pada pagi 28hb April 2009, Perayaan Ekarisiti telah diadakan di Pusat Misi St Clare.
Rev. Fr. Thomas Makajil sedang bermesyuarat dengan
para pemimpin dan katekis Misi Paitan.

En. Bell Lawadin sempat bertemuramah dengan para penduduk
Dalam perjalanan balik ke Sandakan, Fr Thomas bersama rombongan telah singgah di Kampung Sukang, Koiboton, di mana beliau berkesempatan menyempurnakan upacara menanam salib dan pemberkatan tapak seluas 30’ x 60’ yang didermakan oleh seorang umat tempatan bagi tujuan pembinaan sebuah chapel baru. Sr Appolonia dan ahli-ahli SFO mengajak para belia dan kanak-kanak belajar berdoa dan nyanyian selepas itu telah membahagi-bahagikan pakaian terpakai kepada umat.
Album Kenangan bergambar bersama-sama dengan umat beriman
selepas memberkati tapak Chapel Katolik di Kg. Sukang, Koiboton. Paitan.
Tapak ini didermakan oleh seorang penduduk di sini miskipun dia belum lagi dibaptis.
[Rev. Fr. Thomas Makajil berdoa bersama dengan umat beriman
di Kg. Sukang, Koiboton Paitan]

[Sr. Appolonia sedang membimbing kanak-kanak
berdoa dan bernyanyi di Kg. Sukang, Koiboton Paitan]
Para NGO, sukarelawan atau umat awam dialu-alukan untuk datang membantu kawasan ini. Beberapa masalah dikenal pasti.
  • Tiada Kemudahan asas: seperti letrik, air terawat dan tandas.
  • Pusat kesihatan, sekolah rendah dan menengah lokasi yang jauh.
  • Masalah perhubungan dan pengangkutan.
  • Peluang pekerjaan terhad sekadar di ladang-ladang sahaja.
Sila hubungi:

MISI PAITAN
St. Mary’s Parish
Jalan Puncak. P.O.Box 2507, 90728 Sandakan. Sabah.
Tel: 089-271331, 089-212623, Fax: 089-272025.
Rektor Paroki: Rev. Fr. Thomas Makajil.
Pengerusi Misi Paitan: En. Henry Wong.