Seminar Pembentukan Iman dan Kesedaran Panggilan
Sandakan: Pada 14hb Mac 2009 di Dewan Katedral St Mary, satu seminar panggilan telah disertai lebih kurang 200 orang. Seminar tersebut dipimpin oleh tiga orang Sister, FSIC yang bertugas di Katedral St Mary iaitu Sr Appollonia Gumpu, Sr Lilian Unsoh dan Sr Liliana Gubod serta 12 orang belia sebagai Tim Penganjur. Para peserta terdiri daripada para belia yang mewakili gereja masing-masing seperti St.Mark (Batu 12), St.Paul (Ulu Dusun), Our Lady of Fatima (Beluran), St Emmanuel (JayaBakti), St.Peter (Sungai Manila) dan juga dari Katedral St.Mary. Berikut adalah antara respon para belia terhadap seminar ini:-

Dina Sylvester (Katedral St Mary, Sandakan): “Apa Yang Engkau Cari, Mari Datang dan Lihat”, itulah tema yang telah dipilih dalam Seminar Pembentukan Iman dan Kesedaran Panggilan yang telah saya sertai. Tema yang sungguh menarik ini telah membuka pintu hati saya untuk menyertainya.

Setiap sesi sangat bermakna bagi saya. Sesi pertama yang disampaikan oleh Fr. Paul Lo benar-benar menyentuh hati saya di mana satu persoalan yang selama ini sering timbul dalam fikiran saya iaitu apakah yang sebenarnya saya cari dalam hidup ini? Saya juga akhirnya sedar bahawa rupa-rupanya saya masih ragu-ragu dalam pencarian dan panggilan hidup saya. Namun begitu, saya percaya yang Tuhan sudah ada rancanganNya yang terbaik untuk saya meneruskan pelayanan dan perjalanan hidup ini.

Syukur kepada Tuhan, seminar ini banyak membantu dan mengajar saya tentang mengenal erti sesuatu panggilan dan dapat menyedarkan serta menyeru para belia supaya jangan takut dan ragu-ragu untuk menyahut panggilan Tuhan yang suci ini.

Clarice George (St. Fidelis, Kiabau): Dalam ceramah “Apa Yang Engkau Cari?” oleh Rev. Fr. Paul Lo menyedarkan saya bahawa apa yang saya cari selama ini ada pada Tuhan. Saya hanya perlu teguhkan lagi iman saya sebagai bukti bahawa saya menerima panggilan itu. Maka, dari saat tersebut saya telah mendapat satu kekuatan untuk terus menyahut panggilan dariNya..

Manakala, dalam ceramah Rev. Fr. Thomas Majakil pula, beliau menekankan bahawa identiti seseorang dapat diketahui melalui suatu pengenalan atau keterangan supaya kita tahu siapakah orang itu. Begitulah juga pada diri saya. Untuk mendekati Tuhan Yesus saya harus benar-benar mengenaliNya terlebih dahulu.

Dalam “Show Time” yang mengisahkan tentang Santo Francis dari Asisi, ia mengajar saya tentang hidup baru di mana, untuk menjadi pengikut Kristus saya harus meninggalkan cara hidup lama yang membuatkan saya jauh dari Dia.

Roselyn Ambuting (Katedral St. Mary, Sandakan): Ini merupakan kali pertama saya menyertai seminar seumpama ini. Saya begitu tertarik dan tersentuh selepas mendengar setiap perkongsian daripada Fr Paul Lo, Fr Thomas Makajil dan para religius yang menceritakan tentang pengalaman mereka masing-masing secara peribadi, bagaimana mereka mula-mula mengetahui akan panggilan untuk menjadi pelayan di ladang Tuhan.

Di antara semua sesi tersebut, saya paling tertarik pada cerita “Show Time” iaitu paparan video yang mengisarkan tentang kisah St. Francis dari Asisi. Kisah tersebut membuat saya terharu. Francis dilahirkan daripada keluarga yang kaya serta dibesarkan dalam segala kemewahan. Kemudian, St. Francis yang dahulunya adalah seorang pemuda yang terkenal dengan sikap pemboros, suka berpesta pora dan sebagainya akhirnya menyahut panggilan Tuhan dengan berubah sikap. Sejak itu dia terus taat dalam pelayanannya untuk Tuhan.

Saya turut berasa cukup kagum dengan kecekalan dan keberaniannya sewaktu menghadapi pelbagai cabaran serta tentangan dalam perjalanan hidup pelayanannya. St Francis sanggup membelakangi ayahnya demi membina semula sebuah Gereja Tuhan yang hampir roboh.

Apa yang dapat saya rumuskan melalui kisah St. Francis dan perkongsian daripada beberapa religius ialah kita tidak perlu berasa takut untuk menyahut panggilan daripada Tuhan. Seminar ini meyakinkan saya agar mahu menyahut apa jua bentuk panggilan yang telah Tuhan rencanakan dalam hidup saya.

Sheila (Our Lady of Fatima, Beluran): Saya juga baru pertama kali mengikuti seminar seperti ini. Pada saya, tema “Apa yang Engkau Cari” adalah merupakan salah satu persoalan di dalam kehidupan saya sebagai seorang belia yang baru menghabiskan alam persekolahan. Saya sendiri masih mencari-cari makna dan arah tuju kehidupan saya yang sebenar.

Di dalam seminar ini, apa yang telah membuka hati dan mendalamkan lagi Iman saya adalah dalam Sesi III iaitu “Who Am I?” yang telah dikendalikan oleh para Novis yang menceritakan tentang pengalaman mereka dalam menyahut panggilan Tuhan untuk menjadi seorang sister. Antara perkongsian novis-novis tersebut, Novis Melisa yang paling menarik perhatian saya berkenaan dengan Remaja. Remaja yang sering bermain di fikiran saya sangat meluas maknanya kerana pada saya remaja pada masa kini terlalu banyak godaan dan kesenangan yang mereka perolehi sehinggakan membuat mereka alpa tentang kehadiran Yesus ketika berada di dalam gereja. Seperti yang dikatakan oleh Novis Melisa semasa perkongsiannya, telefon bimbit telah menjadi satu ketagihan golongan remaja. Telefon bimbit juga menjadi satu gangguan buat remaja jika tidak digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah sebagai contoh sibuk melayan pesanan ringkas (SMS) sehingga tiada masa untuk belajar atau sebagainya.

Setelah mengingat kembali pengalaman yang telah diceritakan oleh Novis Melisa, saya sedari kesalahan sendiri selama ini. Terdetik di hati saya, tentunya Tuhan Yesus berasa sedih dan kecewa kerana melihat anak-anak remaja berkeadaan sedemikian ketika di dalam gereja. Saya bersyukur kerana daripada seminar ini saya akhirnya berniat untuk berubah. Saya berdoa kepada Tuhan agar saya sentiasa diberi kekuatan untuk menerima apa sahaja rencana yang telah Tuhan sediakan untuk saya.