Veronica Dina Suansing
Begitu besar cintakasih Tuhan dan begitu indah rencanaNya dalam kehidupan manusia sehingga tiada seorangpun yang terlepas daripada merasai cintakasihNya yang agung itu. Walaupun kita seringkali terlupa, lalai dan alpa, tetapi Tuhan tidak pernah membiarkan kita hidup bersendirian malah sentiasa membuka jalan kita untuk terus kembali kepadaNya.
Perjalanan hidup saya sebagai seorang Kristian sebenarnya sudah bermula sejak lama dahulu tetapi dalam denominasi gereja yang lain. Ketika itu, saya begitu aktif dalam pelayanan sehingga suatu saat saya mengalami kekecewaan yang begitu menyakitkan di dalam kehidupan saya. Mungkin saya tidak menyalahkan Tuhan atas apa yang berlaku tetapi yang pasti, saya tidak meletakkan sedikit harapanpun kepada Tuhan, apa lagi untuk meminta pertolongan daripadaNya. Mungkin juga disebabkan perasaan kecewa dan marah serta putus asa yang telah menguasai diri. Dari saat itu, saya sudah mulai melupakan Tuhan dan tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke gereja.
5 tahun berlalu, saya menjalani kehidupan tanpa pernah meminta campur tangan daripadaNya walau sekalipun sehinggalah suatu saat saya menerima ajakan sahabat saya untuk ke gereja Katolik atas sebab mahu menjaga hatinya kerana sebelum ini saya seringkali menolak ajakan-ajakan ke gereja. Sememangnya Tuhan begitu penyayang, begitu agung kasih setiaNya, tidak pernah berubah walauapapun terjadi. Seperti kebetulan yang disengajakan, berlangsung juga suatu seminar pada hari tersebut dan yang mengagumkan, setiap peristiwa yang berlaku pada ketika itu benar-benar telah menyentuh hati saya, membuka fikiran saya dan menerangkan jiwa saya. Sejak saat itu, saya mulai menyesali akan kehidupan yang saya lalui sebelum ini. 5 tahun berlalu dengan sia-sia kerana sikap ego dan angkuh. Sejak saat itu juga, saya mulai ke gereja pada setiap minggu dan akhirnya saya telah membuat keputusan untuk mngikuti Inisiasi Kristian Dewasa (IKD) kerana saya benar-benar ingin lebih mengenal Tuhan, lebih memahami akan rencana Tuhan dalam kehidupan saya dan penting sekali, saya ingin belajar untuk menjadi seorang Kristian yang sejati melalui ajaran Gereja Katolik.
Hasilnya, selepas mengikuti IKD, saya kini benar-benar merasa diperbaharui dari segi iman dan kepercayaan. Saya akui sememangnya bukan suatu perkara yang mudah kerana sifat manusia itu yang lemah. Kadangkala saya jatuh oleh kerana percobaan tetapi saya tahu yang Tuhan sentiasa memimpin perjalanan saya. Sehingga saat ini, saya sangat-sangat bersyukur di atas kesempatan yang Tuhan berikan kepada saya dan juga atas keluarga, sahabat-sahabat dan kekasih saya yang sentiasa mendorong. Seperti rusa yang merindukan sungai, begitulah juga kerinduaan saya terhadap Tuhan yang telah saya abaikan selama ini. Akhir sekali, terima kasih Tuhan atas anugerah terindah ini.