KUNAK: Pada 18-19 September yang lalu, ahli Tim Kerasulan Belia Paroki (TKBP) Lahad Datu telah membuat Rekoleksi kali ke-2 bertempat di Pusat Retreat St. Philip, Kunak. Objektif rekoleksi ini adalah mengeratkan persahabatan dan kerjasama dalam pelayanan. Seramai 20 orang telah hadir termasuk Sister Rusiah Garuk, fsic dan Saudara James Nicholas selaku Kordinator Belia di Kunak. Penceramahnya terdiri daripada Father Philip Muji dari Paroki Tawau dan saudara Teodulfo Rosalia Jr dari Paroki Lahad Datu.
Bersama dengan Father Philip dan pemilik Pusat Retreat Lola Prisca Neri
Sesi “Mengenali kesemua 12 Para Rasul” telah dikendalikan oleh Father Philip Muji. Beliau menerangkan ciri-ciri yang ada pada semua para rasul. Ini berkaitan dengan semua ahli TKBP di mana masing-masing mempunyai kelemahan dan kelebihan seperti para rasul kita. Perselisihan pendapat antara semua ahli adalah perkara biasa tetapi jangan sampai membawa kepada kebinasaan. Father Philip mengingatkan lagi Moto Keuskupan Sandakan “Melayani Sesama dengan Kasih Allah” adalah sangat sesuai bukan sahaja kepada ahli TKBP tetapi semua komiti dalam gereja untuk melayani sesama.
Sesi Mengenali kesemua 12 para rasul
Bagi sesi “Komitmen dan Pelayanan” telah dikendalikan oleh saudara Teodulfo Rosalia Jr. Beliau menerangkan KOMITMEN merupakan kewajipan/perjanjian kita dengan Tuhan sebagai seorang Kristian Katolik untuk selamanya manakala PELAYANAN tiada had dan tiada syarat untuk melayani sesama. Setiap ahli dalam TKBP mempunyai karunia masing-masing. Ada di antara ahli tim sedar akan karunia mereka dan ada yang tidak. Untuk mengetahui karunia diri sendiri, ambillah peluang yang ada di depan mata, dan tidak salah untuk mencubanya. Ahli dalam tim juga kenalah memberi sokongan antara satu sama lain untuk mengeratkan hubungan dan bersatu dalam menghadapi apa jua cabaran.
Sesi Komitmen dan Pelayanan
Selesai sahaja kedua-dua sesi, Ibadat Sabda yang dikendalikan oleh Sister Rusiah dijalankan. Sister Rusiah menerangkan kerendahan hati yang patut ada pada setiap individu, terutama sekali dalam melayani antara sesama. Jika sikap ini tidak dipupuk adalah amat sukar untuk membina hubungan dan kerjasama dalam satu kerasulan belia terutama di paroki Lahad Datu. Dalam sesi penutupan, saudari Victoria Yam selaku Pengerusi Rekoleksi ke-2 ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada pemilik Pusat Retreat Lola Prisca Neri, Kerasulan Wanita Kunak dan Kordinator Belia James Nicholas atas bantuan dan masa bagi menjayakan rekoleksi pada kali ini.
Gambar Kenangan TKBP dengan Kordinator Belia St. Peter Kunak
~ SOCCOM, LAHAD DATU