TELUPID:   Seramai 200 umat beriman hadir menyaksikan upacara Pemberkatan dan Perasmian Bangunan Asrama Desa St. Martin di sini pada Sabtu lepas, 9hb Oktober 2010.

Ketibaan  Datuk Vincent Pung dan Bapa Uskup Julius Dusin Gitom

 (Kiri-Kanan:  Fr. Marcellinus, Bishop Julius D Gitom,
Datuk Vincent Pung dan Puan Crispina Suibol)

Sebelum upacara perasmian bermula, Misa Kudus telah diadakan pada jam 10.00 pagi di ruang lapang bawah bangunan. Bapa Uskup Julius Dusin Gitom menjadi selebran utama dibantu oleh Fr. Marcellinus Pongking selaku Paderi Paroki dengan iringan koir dari belia yang cukup bertenaga.
Suasana sewaktu Misa Kudus.

Selepas pemberkatan oleh Bapa Uskup pada jam 11.00 pagi, perasmian telah dilakukan oleh Datuk Vincent Pung, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) seterusnya menyerahkan kunci bangunan tersebut kepada Bapa Uskup selaku Ketua Diosis Sandakan.

Pemercikan air suci oleh Bapa Uskup Julius untuk upacara pemberkatan bangunan.

Dalam ucapan perasmian, Datuk Vincent Pung mengharapkan bangunan tersebut dapat memberi kemudahan kepada golongan kurang pendapatan agar anak-anak mereka dapat   bersekolah dan menimba ilmu dengan lebih selesa.
Datuk Vincent menurunkan tandatangannya sebagai tanda merasmikan bangunan tersebut.

Penyerahan kunci replika kepada Bapa Uskup Julius oleh Datuk Vincent.

Bapa Uskup ketika menyampaikan ucapan terima kasih, berkata, pihak gereja bukan sahaja tertumpu kepada bidang kerohanian malah tetap mendukung dan melaksanakan doktrin sosial gereja, diantaranya menyediakan prasarana kepada mereka yang memerlukan.

“Bangunan ini bukan hanya sebagai sebuah struktur, ia melambangkan semangat perpaduan di kalangan umat dalam mengembangkan komuniti setempat. Adalah bertepatan bagi Paroki ini yang terletak di pedalaman untuk mendirikan sebuah tempat tinggal bagi mereka (pelajar) yang tidak mendapat tempat di asrama kerajaan. Asrama Desa St. Martin ini juga akan mengingatkan kita kepada sekolah lama (SRJK St. Martin) yang kini dikendalikan sepenuhnya oleh Kerajaan”, jelas Uskup.

Bangunan berukuran 100 kaki panjang dan 20 kaki lebar ini mempunyai dua ruang bilik asrama masing-masing dapat menampung 30 penghuni lelaki dan 30 perempuan. Dengan kos sebanyak RM200,000.00, kerja pembinaan bermula pada Jun 2009 dan siap enam bulan kemudian. PPS telah memberi nama kepada asrama tersebut sebagai Asrama Desa Pride.

Setakat ini, asrama tersebut telah dihuni oleh seramai 19 pelajar termasuk 16 perempuan dan 3 lelaki yang diselia oleh Encik Edgar J. Ading dan Puan Mercy Madahim selaku warden sementara  dan kemasukan pelajar dijangka meningkat pada awal tahun hadapan.


Atas permohonan Bapa Uskup untuk memiliki sebuah Bangunan Konven bagi kemudahan para Sister di Paroki ini kepada PPS, kegembiraan dikongsi bersama oleh umat apabila Datuk Vincent memberi ‘lampu hijau’ dengan berkata, “PPS akan berusaha untuk membina bangunan ini dan berharap ianya akan tercapai selepas meneliti kos dan mendapatkan sumber kewangan apabila kembali ke pejabat”, jelasnya.

PPS juga telah menghulurkan sumbangan berupa kelengkapan dapur bernilai RM5,000 pada hari tersebut.


Terdahulu, Pengerusi Perasmian, Puan Crispina Suibol merakamkan penghargaan kepada Bapa Uskup, Paderi Paroki dan PPS serta umat yang telah bersama-sama menjayakan majlis pemberkatan dan persamian bangunan ini.
Pengerusi Perasmian, Puan Crispina menyampaikan cendera kenangan kepada Datuk Vincent sambil diperhatikan oleh Bapa Uskup Julius.

Turut menyerikan majlis ini ialah paluan gong tradisi Labuk yang menyemarakkan lagi majlis ini. Selepas acara berakhir, rombongan PPS dan umat menyertai Bapa Uskup untuk menikmati jamuan makan tengahari di Dewan Bishop Datuk Simon Fung.




 Lawrence Matusin, SOCCOM Paroki Telupid