Sandakan : Seramai 100 ahli Kerasulan Wanita Katolik (KWK) dari Katedral St.Mary, St.Petrus, Sungai Manila, St.Mark Batu 12, St.Paul Ulu Dusun dan  Our Lady Of Fatima (OLOF) Beluran  telah menyertai rekoleksi pra-paskah bertemakan ‘Kristus Cahaya Dunia’ yang diadakan pada Sabtu 2hb April 2011 bertempat di  Dewan Paroki St.Mary, Sandakan.

Pendaftaran peserta bermula dari  jam 7.30 pagi hingga jam 8.30 pagi. Rekoleksi pra-paska dimulai dengan perayaan Misa Kudus pada jam 8.40 pagi di Katedral St.Mary, diselebrankan oleh Rev.Fr.Thomas Makajil. Di kesempatan itu,  Rev.Fr.Thomas  bersyukur kerana begitu ramai wanita menyertai rekoleksi ini. dan berharap agar rekoleksi ini dapat membimbing mereka ke arah pelayanan yang benar dan seterusnya ke arah hidup yang kudus.

 
 
Se  Sesi  1 – PRA-PASKAH  (Sem. Martin, dari St.Peter’s College, Kuching)

Sem. Martin menghuraikan erti kata masa pra-paskah’ yang bermula pada Hari Rabu Abu bagi hidup rohani kita dan menekan tiga perkara yang harus diberi tumpuan setiap umat iaitu berdoa, berpuasa serta berpantang dan memberi sedekah. Retret seumpama ini merupakan satu aktiviti yang istimewa untuk individu, keluarga dan komuniti agar yang tersesat dapat kembali ke jalan benar dan hidup sebagai orang Katolik yang benar, kudus dan sejati.

Umat diingatkan bahawa pertaubatan hati yang mendalam merupakan inti dari perbuatan banyak berdoa, berpuasa serta berpantang dan memberi sedekah di masa pra-paska.

Sesi 2 – Perdamaian dan Kebangkitan

Musim pra-paskah memberi peluang dan ruang untuk kita memperbaharui hubungan kita dengan Tuhan, ahli keluarga dan komuniti. Musim ini kita runtuhkan tembok yang menghalang dan memisahkan kita dengan Tuhan dan sesama. Jika ini dapat dilaksanakan dengan hati yang terbuka maka segala yang menjadi tembok rintangan dapat dirobohkan dan diganti dengan jambatan rohani yang akan menghubungi kita dengan Tuhan dan sesama.

Sem. Martin memetik firman Lukas 9 : 22 – 27 ‘Pemberitahuan pertama tentang penderitaan Yesus dan syarat-syarat mengikut Dia’ dan memperjelaskan bahawa untuk menikmati keindahan perdamaian umat diseru berani memikul Salib masing-masing supaya bangkit semula bersama Yesus. Dengan demikian, umat mempunyai hidup dan semangat yang baru untuk terus melayani di ladang Tuhan.
Sesi 3 – Jalan Salib

Sesi berikut adalah upacara Jalan Salib yang dipimpin oleh Sem. Martin di Katedral St Mary dimana peserta merenungkan Yesus yang menjadi kurban kerana cintakasihNya.


Sesi 4 – Kristus Terang Hidup (Sr.Apollonia fsic)

Untuk sesi ini, salib San Damiano diletak di depan melambangkan Krsitus Terang Hidup.  Semua peserta diberi peluang menulis segala permasalahan yang menjadi penghalang perdamaian .  Semua surat dihantar oleh peserta masing-masing dan diletak di bawah kaki  salib San Damiano tanda semua saya serahkan kepada Tuhan.’

‘Marilah kepada-Ku, semua yang letih lesu dan berbeban berat, Aku akan memberi kelegaan kepadamu.’  Matius 11 : 28

Sesi berakhir jam 3.15 petang, disusuli dengan minum petang.
Joanna Lim