Telupid:“Engkau adalah Petrus dan di atas batu karang ini Aku akan mendirikan jemaatKu,” (Matius 16:18)  Adalah ucapan pembuka Bapa Uskup Julius Dusin Gitom dalam buku perayaan Ulang Tahun Gereja Santo Martin yang ke-45 yang dirayakan pada 13 November 2011.

“Perayaan hari ulang tahun adalah penting dan pasti kita menjadikannya yang terbaik antara ulang tahun yang sudah berlalu. Bagaimanapun, yang lebih penting ialah proses mengumpulkan para umat bersama untuk membuat persiapan dan mengelolakan acara berkenaan. Ia memberi banyak ruang dan peluang untuk umat bergerak bersama sebagai satu komuniti yang teguh dan mampu mewujudkan susana yang mesra”, jelasnya.
Hampir 500 orang umat dari sekitar paroki hadir dalam perayaan liturgi yang bermula 9 pagi. 

Bapa Uskup Julius sambil diiringi  oleh Majlis Pastoral sedang melawat gerai-gerai Komuniti Kristian Kecil yang menghidangkan makanan dan minuman kepada jemaat yang hadir ke perayaan Ekaristi sempena Pesta Santo Penaung Gereja Katolik St. Martin Telupid.
Hari Paroki juga dirayakan sempena kesyukuran atas beberapa penerima pengurapan Minyak Krisma dalam upacara Sakramen Penguatan oleh Bapa Uskup. Majlis ini dimeriahkan lagi dengan berbagai persembahan pentas seperti paduan suara, tarian tradisional setempat serta majlis jamuan. 

Seramai 48 calon Sakramen Penguatan yang menerima minyak krisma dari Bapa Uskup.
Bapa Uskup turut mengimbas jasa para pengasas gereja setempat yang telah banyak berjasa dalam membantu membangunkan Gereja setempat.
“Mereka telah membaktikan banyak usaha dalam misi penginjilan Gereja dan kini tibalah giliran bagi kita meneruskan usaha mereka dalam kerja-kerja menyemai benih-benih iman bagi generasi akan datang,” ujarnya.
Menurut Bapa Uskup, ulang tahun ini juga adalah satu masa bagi menoleh ke belakang bagi menilai perkara lepas, mempertimbangkan kekuatan dan kelemahannya.
“Kita akan terus bekerja dan bergerak bersama buat masa kini dan melihat pada masa depan dengan penuh iman dan harapan.
Sebagai pengikut Kristus yang setia, masing-masing mempunyai misi. Kita akan menyaksikan iman kita dengan keyakinan dan menyertai secara aktif dalam semua aktiviti Gereja untuk kebaikan bersama,” jelasnya.
Bapa Uskup seterusnya menyeru kepada semua umat agar membantu dalam membina komuniti-komuniti melalui KKD serta pembaharuan Gereja dan masyarakat dengan keberanian dan kesetiaan. 
Sementera itu, Paderi Paroki Rev. Fr. Jasery Gabuk menjelaskan bahawa perayaan ini merupakan perayaan bersama sebagai ungkapan rasa syukur kepada Tuhan yang telah menganugerahkan gereja tempatan (St. Martin) kepada kita. 
“Kita harus sedar bahawa gereja yang sebenar ialah kita sendiri sebagai umat Allah dan kita haruslah berjalan bersama untuk membangunkan gereja tempatan kita,” jelasnya.
Terdahulu, Pengerusi Perayan Sdra Herman Soibun, turut mengimbas kembali komitmen dan tanggungjawab umat. Beliau menyifatkan setiap lapisan umat mempunyai peranan masing-masing untuk menjayakan perayaan seperti ini.
“Secara peribadi saya sangat bersyukur dan berterima kasih dengan sokongan, sumbangan saudara dan saudari serta para penderma sama ada dalam bentuk idea, wang ringgit, tenaga, material dan sebagainya  demi menjayakan perayaan ini. Apa yang baik yang kita lakukan selama ini, haruslah kita pupuk dan pertahankan demi kemajuan komuniti umat di paroki kita,” katanya.
Selesai Perayaan Liturgi, acara makan bersama menjadi sangat menarik dimana Bapa Uskup berkesempatan melawat dan melihat sendiri komitmen yang diberikan oleh setiap KKD di Paroki ini dengan menyediakan hidangan percuma berasaskan makanan tradisi.
Fr. Jasery menyampaikan cenderahati kepada Uskup Julius

Acara pemotongan kek perayaan dan persembahan pentas juga menjadi tarikan kepada umat yang sanggup berpanas kerana diadakan dikawasan terbuka.
Lawrence Matusin, Soccom Telupid