Kehadiran ahli KWK dari pelbagai peringkat umur |
TELUPID: Rekoleksi Kerasulan Wanita Katolik (KWK) Peringkat Paroki St. Martin, Telupid dengan tema “Apakah yang harus kami perbuat?” telah berjalan selama dua hari iaitu pada 22 – 23 Okt. 2011, bertempat di Chapel St. John, Kg. Sinaputan, Nangoh. Komiti Penganjur ialah KWK Zon Nangoh yang dipengerusikan Pn. Fedelia.
Pendaftaran peserta sedang berjalan. |
Belia turut membantu di dalam Rekoleksi KWK |
Pendaftaran bermula pada jam 8.00 pagi dengan jumlah penyertaan seramai 129 ahli mewakili kesemua 5 zon. Turut serta dalam rekoleksi ialah penyertaan beberapa ahli warga emas. Belia setempat turut membantu dari segi bermain alat muzik juga koir. Rombongan dari Paroki Katedral St. Mary, Sandakan yang telah diundang khas untuk memberi ceramah iaitu Sr Appollonia Gumpu, fsic, Sr.Liliana Gubod, fsic. Pn. Annie Rokneh, selaku Ketua Penyelaras KWK Keuskupan Sandakan dan rombongan serta Penyelaras KWK Paroki St. Martin, Telupid, Pn. Nora Nicholas.
Sesi pertama bermula jam 10.00 pagi dengan Tajuk “Peranan Wanita Katolik” yang telah disampaikan oleh Sr. Appollonia fsic. Sesi input ini, menekankan akan pentingnya pembaharuan komitmen dan peneguhan iman. Aktiviti kerohanian juga mampu mengubah fikiran dan hati para ahli ke arah hidup yang baru. Setiap individu KWK diajak mempraktik perhubungan intim dengan Tuhan melalui doa dan memuliakan-Nya dengan perbuatan seharian sebagai ibadah yang sejati.
KWK berperanan sebagai terang dan garam dunia. Membangun dalam kerohanian, amalan kerjasama, kerja kebajikan demi perkembangan Jemaat. Wanita juga digalakkan mengadakan perpaduan antara kaum, kumpulan – kumpulan gereja yang lain atas dasar cintakasih Kristus. Sifat seumpama ini perlu disemai dalam keluarga Kristian tanpa mengabaikan pendidikan anak-anak sendiri mendalami Ajaran Gereja Katolik.
Sesi kedua “ Bonda Maria Dan Gereja” telah disampaikan oleh Sr. Liliana. Berdoa bersama dengan Bonda Maria yang dirahmati Allah dapat mengeratkan lagi hubungan kita dengan Tuhan. Bonda Maria adalah merupakan Tarbenakel, di mana Sabda telah menjadi daging. Setiap ahli KWK harus menerima Bonda Maria sebagai ‘idola’ atau ‘model’ kehidupan peribadi. Sifat terpuji Bonda Maria adalah ketaatan, kesetiaan, kerendahan hati dan berani menerima panggilan pelayanan sebagai ibu Yesus yang melahirkan Juruselamat untuk menebus dosa dunia.
Sesi ketiga “Hubungan Peribadi dengan Tuhan” disampaikan oleh Sr. Appollonia. Setiap permasalahan yang ada pada setiap manusia ada jalan penyelesaiannya sebab Tuhan akan membuka jalan ketika kita rasa tiada jalan. Maka dalam Tuhan tiada yang mustahil. Dosa memisahkan kita dari Tuhan, maka melalui pertobatan kita kembali ke sisi Tuhan. Kebangkitan Yesus dari sengat maut telah melahirkan pengharapan, iman dan kasih serta kehidupan kekal di akhirat kelak kepada mereka yang percaya dan beriman kepada karya penyelamatan Tuhan. Menerima Yesus sebagai Juruselamat dengan lebih bersemangat adalah sebaiknya membaca Alkitab dan menghayatinya. Ekaristi adalah sumber kehidupan. Kita bersatu di dalam korban Kristus yang diupacarakan oleh paderi semasa dalam Misakudus. Kasih Allah Bapa telah menyelamatkan manusia melalui korban penebusan PuteraNya Yesus Kristus.
Selepas minum petang tidak ketinggalan diadakan sukaneka iaitu bola tampar, memancing botol, baling kelapa (boling) dan tarik tali.
Doa Rosary yang diketuai oleh Pn. Annie Rokneh berjalan pada waktu malam disusuli sesi Saat Teduh dipimpin oleh Sr. Appollonia. Sesi ini merupakan saat untuk memohon doa permohonan, pengampunan dan penyerahan di depan Salib.
Pada hari kedua doa pagi dimulakan dengan dipimpin oleh Sr. Appollonia. Seterusnya, Sesi Perkongsian Alkitab oleh Sr. Liliana. Beberapa ahli KWK memberikan perkongsian.
Selepas serapan pagi, para peserta bertolak ke Sungai Paliau untuk bermandi-manda dimulakan dengan doa. Kesempatan ini, beberapa orang ahli mengadakan sesi kaunseling dengan sister. Pada jam 11.00 pagi, semua bertolak kembali ke Chapel St. John untuk makan tengahari.
Sesi keempat “Tuhan , apakah yang harus kami Perbuat” disampaikan oleh Fr. Jasery Gabuk, Paderi Paroki St. Martin, Telupid menerangkan perlu ada pembaharuan dan komitmen dalam keluarga mengasuh anak – anak menurut Ajaran Gereja.
Rekoleksi diakhiri dengan misa kudus oleh Fr. Jasery. Di dalam homilinya beliau menekankan ahli KWK terus bersatu, berdoa dan bersaksi di dalam pelayanan menurut kebolehan karisma masing-masing. “Jangan bersifat sombong atau meninggi diri, sebaliknya lakukanlah hikmat karunia Tuhan yang suka merendahkan hati dan lemah lembut sesama, tidak membezakan bangsa dan keturunan”.
Tambahnya lagi “Setelah kamu kembali ke keluarga masing – masing, mulakanlah pembaharuan hidup itu. Marilah bertumbuh dalam iman, menghidupi kerohanian dan doa yang teratur dalam keluarga dan komuniti.” katanya.
Selepas Misa dan dengan rasminya Fr. Jasery menyerahkan logo bagi tuan rumah penganjur rekoleksi tahun 2012 bertempat di Chapel St. Fedilis, Kg. Kiabau.
Sebelum bersurai dan balik ke tempat masing – masing, Komiti Induk KWK mengambil kesempatan meraikan ulang tahun pentahbisan Fr. Jasery juga meraikan Feast Day bagi Sr. Appollonia fsic. Semua bersyukur dan berasa gembira kerana Rekoleksi KWK Paroki St. Martin, Telupid bagi tahun 2011 dapat dianjurkan dengan jayanya.
Annie R.J