Tawau: Retret para katekis peringkat Keuskupan Sandakan dengan seramai 149 orang peserta pada 26hb – 28hb Ogos 2011 telah berlangsung di Resort Shan Shui Country Club. Pada hari ketiga dan terakhir, 28hb Ogos 2011, sesi diteruskan selepas sarapan pagi dengan topik berikut:
Sesi 6: TUJUH SIKAP YANG AMAT PENTING
– Taat berdoa
– Mencintai iman
– Persiapan awal
– Interaksi yang baik
– Jenaka
– Mempunyai minat untuk terus belajar
– Menghormati
Berikut merupakan hasil sesi soaljawab pada hari tersebut:-
– Internet boleh digunakan untuk melakukan penginjilan.
– Penyelamatan oleh Yesus adalah untuk semua orang.
– Kita mesti mengenalpasti sesebuah buku yang dijadikan sebagai buku rujukan asalkan kandungannya tidak bertentangan dengan ajaran Gereja Katolik.
– Hanya Tuhan yang berhak untuk menghakimi dan menentukan samada seseorang itu layak diselamatkan atau tidak.
– Ekarisiti dan perjamuan suci adalah dua perkara berbeza. Ekarisiti ialah Tubuh dan Darah Kristus manakala perjamuan hanyalah sebagai simbol. Perkara ini harus difahami apabila pergi ke Gereja denominasi lain.
– Kita dibenarkan mendoakan bagi sesiapa sahaja tanpa mengira agama.
– Sekiranya Gereja Katolik jauh daripada tempat kita tinggal atau berada, kita boleh melakukan doa atau membuat perkongsian alkitab di rumah. Tetapi haruslah ada beberapa orang. Cara Gereja Anglikan adalah yang paling mirip dengan Gereja Katolik.
– Katekis berhak menilai seseorang katekumen samada dia berhak dibaptis dengan menilai cara hidupnya setelah mengikuti kelas IKD. Katekis dapat membuat keputusan samada dia bersedia atau belum untuk dibaptis.
– Komiti Katekatikal harus ada perjumpaan dengan Paderi Paroki untuk membincangkan segala hal atau persoalan yang berkaitan.
– Tanggungjawab untuk membantu perjalanan IKD adalah dari semua pihak bukan hanya para penanggung dan Komiti Katekatikal sahaja.
Dalam Misa Kudus Penutupan, Fr Boniface berkata semasa homilinya, “Sesiapa yang ingin mengikuti Yesus harus menyangkal diri, memikul salib setiap hari. Salib bukan hanya kesengsaraan tetapi juga adalah cintakasih dan penyelamatan. Kadangkala, pelayanan kita sebagai pembimbing akan menghadapai pelbagai cabaran dan dugaan sehingga ingin berputus asa. Tetapi, seperti Nabi Yeremiah, Tuhan tidak akan membiarkan kita. Dia akan menyertai kita sehingga akhir zaman. Tidak ada gunanya jika kita mempunyai segala sesuatu di dunia ini tetapi akhirnya kehilangan nyawa. Tuhan akan membalas dengan kebaikan kita setimpal dengan perbuatan yang telah kita lakukan.”
Fr turut mengulas pembacaan kedua yang menyentuh tentang persembahan hidup yang kudus dan berkenan kepada Tuhan. Mempersembahkan diri seadanya dan membiarkan Tuhan menggunakan diri sebagai alatNya demi menyebarluaskan sabdaNya.
Fr menyambung, “Marilah kita memohon bantuan Roh Kudus agar dikuatkan, memberanikan diri untuk menyangkal diri iaitu melepaskan diri kita daripada perkara-perkara keduniawian seperti yang dinyatakan oleh Santo Paulus. Perkara yang menghalang diri kita untuk mengikuti Tuhan terutama sekali sikap-sikap yang mementingkan diri sendiri. Kita perlu memikul salib dan setia pada Tuhan setiap hari. Maka, dalam perayaan Ekaristi, kita menerima Yesus yang menjadi makanan dan minuman untuk keselamatan kita agar kita menjadi satu dengan Dia, melayani bersama Dia dan melayani seperti Dia.”
Sr Veronica Kandaung, fsic dalam ucapan penutupnya berkata, “Saya mendapat satu cabaran akan apa yang saya harus lakukan selepas ini tentang segala maklumat yang saya perolehi dari retret ini.”
Beliau turut menghargai kehadiran para peserta yang datang dari semua paroki di Keuskupan Sandakan serta usaha dan tenaga para ahli Tim Penganjur untuk menjayakan persiapan retret. Ucapan setinggi-tinggi terima kasih ditujukan buat Fr Boniface kerana sudi menerima jemputan untuk menjadi Fasilitator utama retret pada kali ini.
Sebagai acara penutupan retret, Sr Veronica telah menyampaikan pemberian sagu hati kepada Fr Boniface.
-DSsj-