SANDAKAN: Pada 23 sehingga 26 Ogos 2018 yang lalu, program tahunan Kerasulan Belia Paroki St Mary, Sandakan kini kembali dengan wajah baru, Let’s Unite Camp (LUC). Ia merupakan kesinambungan daripada program Unite Camp yang telah dianjurkan sebelum ini. Program empat hari ini telah disertai seramai 105 belia Paroki Sandakan. Turut serta dalam kem ini adalah beberapa belia dari Paroki Tawau, Paroki Lahad Datu, Paroki Beluran dan Paroki Telupid. Program Let’s Unite Camp kali ke 5 ini telah diadakan buat pertama kalinya di Gereja St Mark Batu 12.
Objektif utama LUC adalah untuk menyatukan belia Paroki Sandakan dengan mendalami dan berkongsi iman seiring dengan Visi dan Misi Keuskupan serta mengenali Tuhan dengan lebih dekat melalui perantaraan Bonda Maria sebagai Santa penaung Gereja. Ini merupakan satu panggilan kepada para belia untuk menyahut seruan Visi dan Misi Keuskupan dan menghidupi ajaran-Nya.
Program – program LUC telah diatur dan dibentuk oleh Tim Program yang dipimpin oleh saudari Daphney Valarie Vitalis dan antara yang dijemput untuk menyampaikan sesi dan perkongsian adalah Rev. Fr. David Garaman, Sr. Regina Kimung fsic, Saudara Adaris Moses Sintan dan saudari Anna Teresa Peter Amandus. Turut menyampaikan perkongsian adalah ahli – ahli penganjur itu sendiri seperti Cristopher Aban selaku Kordinator Program LUC, saudari Airene A. Gumanas, Saudara Fradely Brandon Amigo dan Saudari Daphney.
Hari pertama LUC telah dimulakan dengan Misa Pembukaan yang diselebrankan oleh Rev. Fr. David Garaman selaku Paderi Paroki, merangkap Penasihat Rohani bagi Kerasulan Belia Paroki bersama dengan Rev. Fr. Christopher Ireneus. Dalam homilinya, Rev. Fr. David berharap bahawa para peserta akan dapat menerima sesuatu yang baik dari program LUC dan dibawa serta diadaptasikan di dalam kehidupan seharian mereka selepas LUC. Dengan nada gurauan namun penuh bermakna, Rev. Fr. David percaya bahawa pasti ada beberapa peserta yang ‘mengandung’ selepas selesai program ini. Mengandung disini bererti mengandung secara rohani dengan memperolehi iman dan kehidupan yang baru dan seterusnya dapat membantu peserta dalam pelayanan mereka kelak.
Selesai sahaja misa, para peserta telah dialu – alukan melalui sesi Welcoming Night. Para peserta diajak untuk berkenalan antara satu dengan yang lain secara berkumpulan melalui aktiviti – aktiviti yang boleh membantu dalam mengeratkan persahabatan antara satu dengan yang lain dan sesi hari pertama diakhiri dengan doa malam.
Hari kedua LUC diteruskan dengan Misa harian sebagai pembuka hari yang telah diadakan seawal jam 6.00 pagi. Misa ini telah diselebrankan oleh Rev. Fr. Christopher Ireneus. Beliau mengongsikan dalam homilinya, tentang kepentingan bagi seorang belia untuk mendekati diri dengan Tuhan. Ini supaya hidup lebih bermakna dan iman semakin teguh.
Sesi 1 dihari kedua iaitu ‘Realiti’ telah disampaikan oleh saudari Daphney. Dalam sesi ini, para peserta diajak untuk melihat realiti – realiti masyarakat yang sedang berlaku, terutama sekali di zaman millenial ini dan bagaimana teknologi canggih dan media sosial telah mempengaruhi para belia. Meskipun ada kebaikan yang diberikan oleh arus kemodenan namun, mengapa para belia jatuh dalam arus ini. Malah belia sering dikaitkan dengan kes pembuangan bayi, mengandung diusia yang muda, pengaruh dan keterlibatan dalam Dadah dan pemerdagangan manusia. Selain itu kes yang sering kali di dengar adalah tekanan hidup dan depresi sehingga menyebabkan seseorang itu boleh mengambil keputusan untuk membunuh diri. Mengapa ini berlaku? Bagaimana ini boleh berlaku?
Para belia kemudiannya perlahan – lahan dibawa untuk lebih merenung mengapa realiti diatas berlaku melalui sesi 2 iaitu ‘Keluarga’ yang disampaikan oleh Saudara Adaris Moses Sintan. Dalam sesinya, saudara Adaris mengongsikan bahawa keluarga adalah gereja yang kecil, strategik dan istimewa. Semoga dengan sesi ini para peserta dapat melihat betapa pentingnya keluarga dalam membendung dari realiti – realiti diatas berlaku.
Sesi diteruskan dengan sesi ketiga dengan membawa para peserta untuk melihat kepada diri sendiri dan bagaimana mereka juga secara tidak langsung berkait dengan realiti – realiti yang disebut diatas. Dalam sesi renungan ini, saudari Daphney telah mengajak para peserta untuk menulis surat kepada Yesus tentang diri mereka. Surat ini akan dibawa ke doa Taze pada malamnya.
Disebelah petang, hari kedua diteruskan dengan ‘Who is Mother Mary?’, sesi ke 4 yang telah disampaikan oleh Sr. Regina Kimung, fsic. Dalam sesi ini, para peserta dikongsikan tentang kesetiaan, kesabaran dan kepercayaan Bonda Maria kepada Tuhan telah mengubah sejarah dunia dengan mengatakan ‘Aku ini hamba Tuhan, terjadi padaku menurut perkataan-Mu’. Inilah yang diharapkan kepada para peserta agar mempelajari dan mengikuti contoh serta ciri – cirinya terutama sekali apabila berhadapan dengan cabaran dunia. Selain itu, Sr. Regina juga telah mengongsikan kepada para peserta pesan – pesan Bapa Suci Fransiskus yang membezakan rancangan Tuhan yang ada di dalam kehidupan. Setelah menerima input secara rohaniah, para peserta disajikan dengan aktiviti luar (outdoor games). Aktiviti yang lasak dan mencabar amat disukai oleh para belia. Melalui aktiviti ini, mereka lebih akrab dan bersatu.
Hari kedua LUC diakhiri dengan doa Taize. Doa ini membawa peserta untuk merenung dari sejak sesi pagi sehinggalah sesi Bonda Maria. Setiap belia diberi peluang untuk menyatakan harapan mereka masing – masing terhadap realiti yang sedang membelenggu masyarakat masa kini dan pada masa yang sama merenung akan sifat – sifat Bonda Maria. Para belia juga diakhir doa Taize menyerahkan surat yang mereka tulis kepada Yesus ke dalam kotak yang disediakan dan mendoakan permohonan mereka dan saling berdamai antara satu dengan yang lain.
Pada hari ketiga LUC, para peserta dibawa dalam sesi Road to Emmaus seawal 4.30 pagi. Peserta telah dibahagikan kepada empat kumpulan besar dengan diiringi oleh fasilitator – fasilitator yang sudah lebih dulu melalui sesi ini semasa persiapan rohani pada 29 Julai 2018 yang lalu. Road to Emmaus ini telah dikaitkan dengan tujuh Sakramen dan bagaimana setiap peserta dibawa dalam merenungi panggilan mereka disetiap stesen. Semua sakramen merupakan pertemuan dengan Kristus, di mana Dia sendiri adalah sakramen asal (original). Pembaptisan menyertakan kita dengan Tuhan, Penguatan memberikan kita Roh-Nya, Ekaristi menyatukan kita dengan Kristus dan Pengakuan memberikan perdamaian dengan Kristus. Manakala Pengurapan orang sakit – Kristus menyembuhkan, menguatkan dan memberi damai. Dalam sakramen Perkahwinan, Kristus menjanjikan cinta -Nya dalam cinta kita dan kesucian-Nya dalam kesucian kita. Akhir sekali sakramen Imamat, paderi mempunyai keistimewaan untuk mengampuni dosa dan merayakan Misa Korban yang kudus. Aktiviti Road to Emmaus ini di teruskan dengan Misa sempena Pesta Santo Bartholomeow yang diselebrankan oleh Rev. Fr. David Garaman.
What’s Next?: Penanaman benih dan menjaga tanaman dengan baik sama seperti kehendaknya dengan menjaga iman agar sentiasa bertumbuh dengan baik. |