SOCCOM, St. Martin, Telupid

Paroki St Martin Telupid merayakan Hari Raya Tritunggal Mahakudus dengan perayaan setempat yang disambut setiap kali tiba bulan Mei iaitu Pesta Kaamatan. Suasana norma baharu dengan mengikuti Standard Operating Procedure (SOP) yang ketat tidak menjadi halangan untuk menjayakan sambutan ini dengan penuh rasa syukur dengan suasana yang sederhana tetapi bermakna untuk semua.

Pemain Gong- Memalu gong sebelum Misa bermula

Rev Fr Christoper dalam homilinya, setiap individu mempunyai identiti masing-masing. Contoh yang amat dekat dengan kehidupan seharian kita ialah, kita semua mempunyai nama sebagai identiti peribadi. Identiti ini akan berkembang mengikut keadaan dan akan dipengaruhi dengan identiti keluarga, masyarakat setempat mahupun sebagai seorang rakyat di negara ini secara amnya.

Dalam kehidupan rohani, Yesus menyeru semua bangsa untuk menjadi muridnya. Hal ini terjadi kerana, kita semua merupakan pewaris kepada kerajaan Allah. Tetapi bagaimanakah hal ini terjadi? Bagaimanakah saya menyedari bahawa saya ini merupakan pewaris kepada kerajaan Allah? Identiti kita sebagai pewaris kerajaan Allah bermula pada saat kita menerima sakramen pembaptisan lewat usia muda mahupun sudah meningkat dewasa. Kita dituntut untuk sentiasa menyedari relasi (hubungan) kita dengan Tuhan. Bagaimanakah kefahaman saya ini dapat diukur?

Ajakan untuk menilai dan menyedari sejauh mana hubungan saya dengan Tuhan melalui pertanyaan – pertanyaan ini menjadi garis panduan kepada semua. Apakah pemahaman saya kepada pencipta saya (Allah)? Apakah pemahaman saya kepada penyelamat (Yesus)? Apakah pemahaman saya kepada pemberi hidup (Roh Kudus)? Rev Fr Christoper menegaskan bahawa, pemahaman dan pengertian bagi setiap individu akan berbeza-beza antara satu sama lain, malah sungguh misteri dan sukar untuk dirungkaikan. Namun, perkara ini tidak perlu dikhuatiri kerana melalui pengalaman seperti ini, sekali lagi kita semua diajak untuk terus meningkatkan relasi kita dengan Tuhan, kerana pekerjaanNya sungguh misteri dan luar biasa.

Acara mengetam padi, simbolik Perayaan Pesta Menuai. Dari Kiri Pn Victoria Salati – Mewakili semua komiti, En Albert Andau – Pengerusi MPP, Rev Fr Christoper, Kat Wilfred – Mewakili semua umat

Dikesempatan itu juga, Rev Fr Christoper turut mengajak semua umat untuk menyatakan rasa syukur dengan segala pemberian dan usaha yang diperolehi lewat hasil tuaian, tanaman mahupun dalam pekerjaan walaupun masih berhadapan dengan situasi pandemik Covid-19. Tradisi menyambut Pesta Kaamatan juga merupakan salah satu contoh menghidupi identiti kebudayaan masyarakat yang diwarisi sejak zaman berzaman. Semoga melalui perayaan – perayaan ini, kita semua menyedari bahawa kita adalah penerus kepada warisan yang telah diwariskan kepada kita.

Selamat Hari Raya Tritunggal Mahakudus dan Selamat Menyambut Pesta Menuai.

Barisan Koir dan Pemuzik

Rev Fr Christoper bersama dengan bariasan MPP dan Pengerusi Komiti