Laungan Mainoh! Atau lebih mudah difahami dengan kata pasar Sabahan, “bah, mari bikin!” Merupakan laungan dari penganjur Virtual Sabah Youth Day 5 (V-SYD5) yang telah berjaya membawa para peserta merasakan dan memeriahkan lagi acara sambutan program ini walaupun dijalankan melalui dalam talian sahaja.

Pertemuan santai dalam ruangan Zoom bersama-sama perwakilan belia di Keuskupan Sandakan sejurus selepas berakhirnya Program V-SYD5 pada malam 31 julai 2021, selepas merenung lebih jauh akan perkataan “Baptised and sent” dapat disimpulkan sebagai ruang mengongsikan pengalaman diri sama ada sebagai salah satu penganjur utama, sub penganjur dan sebagainya, yang rata-ratanya telah melalui suatu pengalaman berharga dalam hal belajar mengendali, menguasai dan memanfaatkan penggunaan teknologi masa kini. Para belia yang berjalan bersama untuk menjayakan progam ini sama ada yang telah lama atau baru memulakan langkah pelayanan, turut mengongsikan bahawa secara peribadi mereka dibantu untuk melihat kembali dan seterusnya mengekalkan hubungan bersama dengan Tuhan dalam hal menjalani hidup di musim pandemik yang penuh cabaran ini.

Kordinator Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan turut mengkongsikan bahawa situasi semasa bukanlah penghalang untuk mencari dan bertumbuh di dalam iman malah membuka ruang untuk semua tanpa mengira lapisan masyarakat untuk lebih kreatif dalam menggunakan semua medium yang bersesuaian dengan situasi norma baharu untuk berkongsi kabar kasih Allah Bapa. Penganjuran V-SYD5 yang telah berjaya dilakukan dalam talian merupakan satu permulaan untuk meneroka era pelayanan secara digital dengan lebih mendalam lagi.

“V-SYD5 banyak memberi ruang untuk merenung keperibadian diri di mana pengalaman menguruskan peserta tidaklah sukar tetapi proses mengurus dengan norma baharu ini memberikan satu pengalaman baharu, antaranya ialah tekanan untuk mengurus emosi diri, kerana di sepanjang pengurusan melalui talian, amatlah memberi dan membawa kesan yang besar kepada kelancaran urusan tersebut. Kesedaran serta keinginan diri sendiri untuk berusaha mengawal emosi itu merupakan satu proses yang amat berharga bagi saya”, kata-kata perkongsian pengalaman saudari Fettwinda Sipaan, wakil daripada Paroki St. Martin Telupid.