SOCCOM Telupid
TELUPID – Sambutan Hari Paroki Santo Martin, Telupid kali ke-55 pada tahun 2021 disambut dengan suasana yang berbeza berikutan dengan situasi semasa pandemik Covid-19. Antara pengisian dan persiapan yang telah dilakukan ialah, Novena Misa Kudus selama sembilan hari dan kemuncaknya iaitu Misa Kudus Hari Paroki Santo Martin. Pada kali ini, sambutan bertemakan “Persekutuan, Partisipasi dan Misi”. Tema ini telah dipilih bersempena dengan proses Gereja Sinodal dan telah diselaraskan dengan Visi dan Misi Keuskupan.
Pengisian pada hari ke-8 adalah Sakramen Pembaptisan Bayi dan Kanak-kanak serta Rekoleksi dan Sakramen Pengakuan bagi calon penguatan. Pembaptisan bayi dan kanak-kanak bermula pada jam 9 pagi dan seramai 32 bayi dan kanak-kanak telah dibaptis. Paderi Paroki, Fr. Christopher Ireneus dalam homilinya mengongsikan harapannya agar para ibu bapa dapat membantu dalam perkembangan iman anak-anak dan bukan sekadar menghantar anak untuk dibaptis. Bagi para penanggung, Paderi Paroki mengajak untuk sentiasa menghidupi peranan penanggung dengan sentiasa bertanya dan mengambil tahu akan perkembangan iman anak tanggungan masing-masing walau dimanapun mereka berada. Upacara pembaptisan selesai sekitar jam 11.30 pagi.
Pada sebelah petang pula, seramai 23 orang calon telah menghadiri rekoleksi sebagai persiapan untuk menerima Sakramen Penguatan sekaligus menerima Sakramen Pengakuan di akhir sesi. Dalam rekoleksi persiapan, Fr Christopher mengingatkan dan menegaskan kepada para calon bahawa sakramen yang telah diterima tidak boleh dihapuskan.
Kemuncak perayaan Hari Paroki Santo Martin dirayakan dalam Misa Kudus menggunakan bahasa Kadazan. Dalam homilinya, Paderi Paroki mengajak umat untuk melihat kembali perkembangan iman secara memyeluruh di paroki. Fr Christopher juga menekankan bahawa di sebalik pandemik ini, kehidupan dan pengisian rohani tetap hidup dan umat dapat menyaksikan sendiri tanda menghidupi kasih Allah itu, iaitu melalui para calon yang akan menerima Sakramen Penguatan.
Di akhir Misa Kudus, Timbalan Pengerusi Majlis Pastoral Paroki, Encik Didacius memberi kata alu-aluan dan salam kemaafan daripada Pengerusi MPP kerana tidak dapat bersama-sama merayakan hari paroki. Beliau menyatakan, walaupun perayaan kali ini sedikit berbeza kerana tanpa kehadiran Bapa Uskup dan acara sosial yang lain disebabkan oleh pandemik, tetapi umat masih bersyukur kerana masih boleh merayakan Misa Kudus sekaligus memberikan peluang kepada para calon penguatan untuk menerima sakramen penguatan. Beliau juga mengongsikan perancangan Majlis Pastoral Paroki yang akan menyelaras dan mengkoordinasi beberapa program pembangunan gereja bagi membantu perkembangan rohani dan fizikal umat di paroki Santo Martin, Telupid.
Paderi Paroki Rev. Fr Christopher, dalam ucapannya mengajak semua untuk bersyukur sempena dengan perayaan Hari Paroki Santo Martin Telupid kerana, hari ini bukanlah semata-mata suatu pesta pora melainkan suatu perayaan yang merayakan dan memperingati perkembangan iman yang telah berlaku di paroki ini sejak 55 tahun yang lalu. Tidak lupa juga, beliau turut menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam persiapan dan pelaksanaan Novena Misa Kudus sehinggalah kemuncaknya pada Hari Paroki Santo Martin, Telupid.
Rakaman ucapan daripada Bapa Uskup sempena Hari Paroki Santo Martin Telupid yang ke-55, telah ditayangkan kepada semua umat yang hadir merayakan Misa Kudus dan juga yang mengikuti secara dalam talian. Dalam ucapannya, Bapa Uskup berpesan agar peluang merayakan Hari Paroki Santo Martin Telupid diraikan dengan mematuhi dan mengikuti protokol kesihatan agar penularan Covid19 dapat dibendung. Bapa Uskup juga mengambil kesempatan ini untuk mengajak semua umat khasnya di Santo Martin, Telupid untuk sama-sama mengambil bahagian dan memberikan kerjasama dalam proses sinod para uskup. Partisipasi umat dalam proses ini merupakan proses yang sangat penting untuk kejayaan dalam di peringkat gereja lokal kita. Peluang merayakan Hari Paroki ini juga merupakan berkat daripadaNya. Norma baharu ini telah mengubah banyak aspek dalam kehidupan kita. Bapa Uskup telah mengongsikan empat perkara yang kita harus syukuri walaupun dalam keadaan semasa kita yang belum dapat melakukan pengisian secara fizikal iaitu, menyedari dan mensyukuri hidup kita adalah sebuah anugerah daripadaNya, meningkatkan kesedaran dan kepedulian dengan membantu sesama, mengeratkan kesatuan dan kerjasama dengan semua pihak serta menyedari dan memupuk nilai kekeluargaan. Di akhir ucapan, Bapa Uskup menegaskan sekali lagi bahawa perayaan ini mengingatkan kita akan kesetiaan Tuhan kepada paroki ini dan semua umat supaya peringatan ini membolehkan kita melangkah ke hadapan dengan penuh harapan dan iman.
Walaupun perayaan Hari Paroki kali ini disambut secara sederhana, tetapi sambutan perayaan kali ini adalah unik. Kehadiran pemantau yang hadir semasa Misa Kudus berlangsung menunjukkan bahawa pihak Gereja sentiasa mengambil berat akan pelaksanaan dan pematuhan SOP para umat. Perayaan dan sambutan Hari Paroki Santo Martin, Telupid kali ke-55 ini mengajak kita untuk merenung kembali tahap perkembangan iman kita dan melihat kesan Covid-19 dalam kehidupan kita secara positif.