oleh Lucy Jamini Francis (berita), John Lam (gambar)
SANDAKAN: Pada 23 Januari 2022 lalu, sekitar 60 umat Katolik telah menyaksikan Pemberkatan Pentas Dewan Serbaguna Gereja St. Mark, Batu 12, Sandakan yang telah disempurnakan oleh Yang Mulia Julius Dusin Gitom, Uskup bagi Keuskupan Sandakan.
Turut hadir ialah Rev. Fr. David Garaman (Rektor Paroki Katedral St. Mary, Sandakan), Rev. Fr. Stephen Esguerra (Pembantu Rektor), Encik Freddy Graman (Pengerusi Majlis Pastoral Paroki), En. Leonnie Degullacion (Kordinator KKD Paroki) serta wakil-wakil daripada setiap Komuniti Kristian Dasar (KKD), Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI) dan Komiti Pelayanan Pastoral Umat Cina serta Komiti Pastoral St. Petrus, Sungai Manila.
Acara bermula pada jam 12.30 tengah hari dengan doa pembukaan oleh Bapa Uskup Julius. Saudara Fabian Koret selaku Pengerusi Komiti Pastoral St. Mark (KPSM) dalam ucapannya, menyatakan penghargaan kepada semua yang hadir. Beliau memaklumkan bahawa selain meraikan pemberkatan pentas dewan, pihak penganjur juga mengambil kesempatan itu untuk sekaligus meraikan kesyukuran sempena perlantikan baharu AJK KPSM 2021-2024 pada 28 Mac 2021 dan juga pentahbisan Fr. Stephen sebagai paderi pada 13 Mei 2021. Beliau menambah bahawa para ahli KPSM adalah terdiri daripada perwakilan dari tiga buah KKD iaitu KKD St. Benedict, KKD St. Ignatius dan KKD St. Francis serta satu daripada KBKI, dan berharap agar mereka terus bekerjasama dan berusaha dalam pelayanan untuk mencapai Visi dan Misi Keuskupan Sandakan.
Beliau juga menceritakan serba sedikit mengenai persiapan pentas dewan tersebut, di mana bahan-bahan yang digunakan bagi pembinaan pentas telah diperolehi daripada bahan-bahan kitar semula. Kos pembinaan adalah hasil kutipan sumbangan kasih daripada beberapa individu dan kumpulan yang murah hati. Pembinaan pentas dimulakan sejak Januari 2020, namun akibat pandemik Covid-19, pentas tersebut hanya mampu disiapkan sepenuhnya pada Mei 2021.
Fr. David dan Fr. Stephen dalam ucapan mereka masing-masing, mengucapkan tahniah kepada semua ahli KPSM yang lama dan baharu atas usaha bersama menyiapkan pembinaan pentas dewan serbaguna tersebut. Mereka berharap agar semua terus aktif melayani demi pembangunan Gereja St. Mark.
Selepas acara pemberkatan pentas dewan dilaksanakan oleh Bapa Uskup Julius selesai, para hadirin dijemput menjamah makan tengahari yang telah disediakan secara potluck .
Akhir acara, En. Fabian Koret telah sekali lagi berterima kasih khususnya kepada para tetamu jemputan khas yang sudi meluangkan masa bersama. Doa penutup dipimpin oleh Fr. David.