Tema Renungan: “Mari kita saling memperhatikan satu sama lain untuk menimbulkan kasih dan perbuatan yang baik.” (Ibrani 10:24)

SANDAKAN: “Masa Prapaskah menawarkan kita sekali lagi untuk merenungkan inti kehidupan Kristian: iaitu beramal kasih.” Demikianlah antara kata-kata Bapa Uskup Julius Dusin Gitom, Uskup Keuskupan Sandakan sewaktu sesi beliau dalam satu program rekoleksi atas talian yang dianjurkan oleh Caritas Sabah pada 15 Mac yang lalu. Rekoleksi yang julung kalinya dianjurkan oleh Caritas Sabah ini telah memilih Caritas Keuskupan Sandakan sebagai host program. Sebanyak 271 borang pendaftaran diterima oleh Tim Sekretariat.

Rekoleksi ini telah bermula pada jam 7.30 malam dan akhirnya hanya berjaya menghimpunkan kira-kira 180 peserta yang berjaya menembusi talian dan mempunyai capaian internet yang lancar untuk memasuki aplikasi Zoom. Mereka terdiri daripada ahli Caritas Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Keuskupan Keningau, Keuskupan Sandakan serta beberapa dari keuskupan-keuskupan di semenanjung Malaysia dan Sarawak. Selain itu, Sdra. Charles Bertille sebagai Setiausaha Eksekutif Caritas Malaysia, beberapa paderi, diakon, religius dan seminarian serta umat yang melayani di bidang pelayanan lain turut hadir.

Bahagian pembukaan dan pengenalan program telah dimulakan dengan doa pembukaan yang dipimpin oleh Fr. Philip Muji, Pembimbing Rohani Caritas Keuskupan Sandakan.

Sdra. Kletus Muyuk selaku pengerusi penganjur, dalam kata-kata alu-aluannya, mengucapkan selamat datang kepada semua peserta yang datang dari seluruh Malaysia. “Syabas kepada Caritas Sabah kerana menganjurkan rekoleksi buat julung kalinya. Syabas juga kepada Caritas Keuskupan Sandakan kerana sudi menjadi host. Tujuan menganjurkan rekoleksi ini adalah untuk mengisi ruang Prapaskah tahun ini terutamanya untuk memperkenalkan pelayanan Caritas khususnya kepada seluruh umat Katolik di Sabah dengan harapan agar semua umat Katolik melayani sesama umat dan masyarakat sekeliling dengan penuh cinta kasih dan belas kasihan”, katanya. Beliau menyeru agar semua peserta yang hadir untuk berpartisipasi dengan aktif dalam kesempatan yang diberikan semasa sesi tersebut. Beliau yakin bahawa Roh Kudus membimbing rekoleksi berlangsung dengan jayanya.

“Caritas ialah amal kasih atau kemurahan hati,” kata Kordinator Caritas Sabah, Sr. Anita James, FSIC sebelum membawa para peserta melihat sejarah ringkas penubuhan Caritas Malaysia dan Caritas Sabah. Menurut beliau, Caritas Malaysia hanya terbentuk secara rasmi pada November 2020 walaupun di peringkat antarabangsa, pelayanan Caritas sudah wujud sejak 150 tahun dahulu. Sejak itu, Caritas sedang dalam proses pembentukan di peringkat semua keuskupan dan paroki yang terletak di kawasan wilayah-wilayah Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah.

Sr. Anita memberitahu semua lagi bahawa Caritas berfungsi untuk menjalankan misi sosial gereja. Matlamat Caritas Malaysia ialah menjadi satu badan organisasi yang berasaskan iman. Caritas Malaysia juga mempunyai misi untuk melayani orang termiskin dan paling memerlukan dan membantu dalam hal-hal kemanusiaan yang memerlukan tindakan segera, menyebarkan amal kasih dan keadilan di dunia melalui terang Injil dan Ajaran Sosial Gereja Katolik. Beliau menambah bahawa, memandangkan pembentukan Caritas Sabah terjadi sewaktu pandemik Covid-19, maka sejak itu jugalah misi bantuan kemanusiaannya, terutamanya bantuan makanan telah dijalankan secara aktif di seluruh Sabah. Selain itu, Caritas Sabah juga terlibat secara langsung dengan pelayanan kepada migran yang dahulunya di bawah pelayanan pembangunan insan. Misi adalah tetap sama walaupun nama pelayanan sudah ditukar.

Mengakhiri sesi pengenalan, beliau menyatakan rasa syukur kerana Caritas Sabah dapat menganjurkan bersama program rekoleksi buat pertama kalinya sejak penubuhan rasmi. Beliau mendoakan agar semua yang hadir mendapat inspirasi dan lebih memahami misi dan kerohanian Caritas daripada renungan yang akan disampaikan oleh Bapa Uskup Julius.

Memetik kata-kata Bapa Uskup Julius semasa di bahagian utama rekoleksi dengan topik sesi, “Kerohanian Caritas” (Spiritualitas Caritas), beliau telah menjelaskan bahawa kerohanian caritas adalah juga kerohanian kristiani, di mana kehidupan Yesus menjadi teladan utama dalam pelayanan. Katanya lagi, “Hubungan antara penginjilan dan pelayanan atau kerja amal adalah saling berkaitan antara satu sama lain di mana keprihatinan terhadap sesama diselaraskan dengan kerohanian kristiani sehingga setiap pelayanan itu dipenuhi dengan kasih dan bukan untuk kepentingan peribadi.”

Selepas sesi Bapa Uskup Julius itu, para peserta diberi peluang untuk membuat perkongsian secara berkumpulan melalui break-out room, dan seterusnya membentangkan hasil perkongsian mereka mengikut kumpulan. Berikut antara yang mereka sampaikan:

Soalan panduan pertama: Apakah yang paling menyentuh anda selepas mendengar ceramah Bapa Uskup Julius sebentar tadi?

  • Bersyukur mendapat pembaharuan, teguran dan kekuatan daripada perkongsian yang disampaikan.
  • Peranan mengambil berat, beramal kasih dan saling menegur antara satu dengan yang lain.
  • Perkongsian Bapa Uskup Julius memberi semangat lagi untuk melayani.
  • Kita perlu mempunyai refleksi diri untuk setiap pelayanan kita. Kita perlu tanya kepada diri sendiri, “Adakah pelayanan yang saya lakukan adalah untuk Tuhan?” Biarlah pelayanan ini manis didengar oleh Tuhan dan untuk Tuhan.
  • Terdapat pelayanan yang berbeza dan itu merupakan cabaran besar. Ingin ada pelayanan yang mempunyai kesatuan dan kekudusan.
  • Tersentuh dengan perkongsian Bapa Uskup mengenai ramai orang yang menderita bukan kerana kekurangan keperluan tetapi ketidakpedulian antara satu sama lain.

Soalan panduan kedua: Bagaimanakah anda akan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian anda? (peribadi / keluarga / komuniti / masyarakat / pekerjaan / sekolah / pelayanan di gereja…)

  • Perlu bersatu hati dalam melakukan pelayanan, satu tubuh berlainan anggota. Saling melengkapkan.
  • Setelah kita berjaya mengaplikasikan maksud caritas ini dalam diri kita, barulah kita dapat bersikap baik dan mempunyai sikap empati dalam diri dan kepada orang lain.
  • Dalam keluarga terutama yang ada pelbagai peringkat umur. Tegurlah secara berhemah supaya tidak ada yang terguris hati dan menimbulkan perasaan sakit hati dan dendam.
  • Saya tidak mengenali mahupun pernah mendengar Caritas. Namun saya bersyukur kerana kawan lama saya telah membuat saya mendaftar dan hadir ke sesi ini. Walaupun belum terpanggil, saya berangapan ini adalah teguran lemah lembut daripada seorang kawan untuk saya mencari semula ruang pelayanan yang sesuai dengan komitmen sebagai ibu, isteri dan pekerja. Berhenti beri alasan.
  • Ingin hidup dalam kekudusan secara peribadi.
  • Keprihatinan sesama amat penting bagi membantu mereka yang dalam kesunyian dan kesedihan. Kita boleh bermula dalam kalangan keluarga kita sendiri.
  • Pelayanan haruslah membawa perdamaian dan tidak bersifat peribadi supaya orang lain juga beroleh penyelamatan.
  • Sharing dan memberi tanpa mengira bangsa dan agama seperti waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menunjukkan hal yang sama seperti Yesus memberi makanan kepada 5000 orang daripada 5 roti dan 2 ikan.
  • Menginjil dalam keluarga sendiri adalah cabaran dan halangan yang besar.

Semasa penggulungan sesi, Sdra. Kletus telah menegaskan poin-poin yang telah dirumuskan hasil perolehan daripada sesi renungan Bapa Uskup Julius tersebut:

KEROHANIAN
1. Cara hidup sehari-hari berasaskan iman kepada Kristus
2. Pembentukan hidup melalui firman & sakramen
3. Merelakan diri dilayani Kristus supaya dapat melayani sesama dengan cara Tuhan

SALING PRIHATIN
1. Mari kita mengambil berat antara satu sama lain: tanggungjawab terhadap sesama       
+ Punca penderitaan manusia – kurang rasa persaudaraan
+ Sebab beramal kasih – semua orang adalah anak-anak yang dikasihi Allah
+ Amal kasih – rohani dan jasmani

2. Menjadi prihatin terhadap satu sama lain: pemberian timbal balik
+ Teguran membina sebahagian daripada kerja amal
+ Pemberian material & teguran membina – demi kebaikan bersama
+ Dosa dan kebaikan mempunyai dimensi sosial

3. Membangkit respon dalam kasih dan perbuatan baik: berjalan bersama dalam kekudusan
+ Kekudusan adalah panggilan setiap umat
+ Sedar akan godaan untuk tidak melayani
+ Dunia memerlukan kesaksian cinta kasih sejati dari umat beriman

Program rekoleksi ini telah berakhir tepat pada jam 10 malam dengan doa penutup dan berkat oleh Bapa Uskup Julius.

Berita disediakan oleh: Caritas Sabah

 

“Caritas adalah amal atau kasih.”

“Di tengah-tengah gereja, kita melayani bersama, dipimpin oleh nilai-nilai solidariti, berkongsi tanggungjawab bersama, penyertaan, penghormatan dan tujuan bersama. Itulah caranya menjadi Caritas.”

– Cardinal Luis Antonio Tagle, Presiden Caritas International