Penulis Artikel : Mazdollyna Majalin Eborok

Ramai yang tertanya dan ternanti akan sembarang kegiatan Gereja yang dapat memperkukuhkan lagi iman di dalam Yesus Kristus. Kerinduan ini terasa di sepanjang tularnya pandemik covid-19. Hal ini telah banyak menjejaskan banyak aktiviti terutamanya yang melibatkan kumpulan kelompok manusia secara beramai-ramai.

Kerinduan ini turut dirasai oleh para umat katolik St. Dominic dimana hampir dua (2) tahun sebarang kegiatan gereja turut terjejas. Sehubungan dengan itu, ramai kerap tertanya bila norma kehidupan sebelum ini boleh dirasai. Namun, pada hujung bulan Februari tahun ini, penantian para calon penguatan telah berakhir dengan jayanya.

Paroki St. Dominic, Lahad Datu telah berjaya menjalankan Sakramen Penguatan bagi tahun 2022 dengan mencatatkan 138 calon. Buat pertama kalinya, para calon dan penanggung diwajibkan untuk mematuhi peraturan SOP dan penjarakan sosial yang ditetapkan oleh kerajaan bagi tujuan keselamatan dan kesihatan.

Kita boleh melihat akan semangat juang para calon penguatan untuk menerima sakramen ini. Mereka sangat mematuhi penjarakan sosial dan berusaha untuk meneruskan Misi Kristus dalam melengkapkan sakramen Penguatan ini sebagai umat Katolik yang sejati.

Justeru, walaupun sesi Sakramen Penguatan ketika ini dilakukan dalam noema baharu, namun Sakramen ini amat penting dan relevan bagi umat Katolik kerana ini juga salah satu penyembuh rohani bagi setiap umat manusia.

“Pentingnya untuk terus mewartakan kasih Yesus Kristus terutamanya setelah menerima Sakramen Penguatan.” Begitulah mesej yang disampaikan oleh Rev. Father Simon Kontou di dalam homilinya. Beliau berharap akan iman para calon penguatan akan sentiasa tersebar dan diterapkan di dalam kehidupan seharian mereka. Hal ini kerana, kita semua memainkan peranan yang besar dalam meneruskan Misi Kristus dan hanya kitalah yang dapat melakukan semua itu. Sabda Tuhan yang telah kita dengarkan tidak akan bermakna sekiranya tidak terapkan di dalam diri kita.

Fenomena dunia yang berlaku sekarang banyak mempengaruhi sistem Gereja. Sistem kini turut memaksa para umat melalui perubahan yang drastik yang turut melibatkan para pembimbing calon untuk terus membuat pendekatan penyampaian iman Kristus dengan lebih kreatif.

Tanggungjawab besar mereka ini amatlah dihargai dan diharapkan segala usaha dari pelbagai pihak dalam meneruskan sebarang kegiatan Gereja dapatlah diteruskan. Kita tidak pernah mengalami perubahan yang besar seperti ini, namun dugaan ini diharapkan tidak akan meluputkan misi kita sebagai umat Katolik untuk terus menyebarkan cinta kasih Yesus Kristus. Amen.