SOCCOM, Telupid.
TELUPID – Seramai 46 orang pelajar PMG yang sepatutnya menerima sakramen Ekaristi pada tahun lalu tetapi tertangguh akibat pandemik Covid-19 akhirnya menerima sakramen tersebut pada tahun ini semasa Hari Raya Tubuh dan Darah Kristus. Kesemua mereka yang ditemani oleh ibu bapa masing-masing hadir ke Misa Kudus yang diselebrankan oleh Rev. Fr. Christopher Ireneus, Paderi Paroki St. Martin, Telupid pada 19 Jun 2022 yang lepas.
“Banyak mukjizat Ekaristi yang terjadi di seluruh dunia. Tuhan Yesus sungguh-sungguh hadir dalam perayaan Ekaristi.”
“Kita selalu lupa akan kehadiran Tuhan dalam Ekaristi sehingga kita menganggap menyambut Tubuh Kristus setiap minggu sudah menjadi perkara biasa atau rutin sahaja.”
“Kita sering kali menuntut atau mencari mukjizat dalam hidup kita sehingga terlupa bahawa mukjizat terbesar adalah Ekaristi yang kita sambut yang memang selayaknya kita hormati.” Demikianlah kata-kata yang disampaikan oleh paderi dalam homilinya.
Selain itu, paderi turut menekankan bahawa pemahaman anak-anak tentang Ekaristi dan perjalanan iman mereka adalah tanggungjawab ibu bapa yang perlu digalas selaku katekis pertama bagi anak-anak. Ibu bapa berperanan besar dalam memupuk iman dan kepercayaan anak-anak agar iman mereka terus berkembang. Hal ini sangat bertepatan dengan tema Minggu Katekatikal tahun ini iaitu, “Hidup Keluarga, Jalan Menuju Kekudusan”.
Sebelum mengakhiri perayaan Misa Kudus, paderi mengucapkan terima kasih kepada semua pembimbing yang telah bertungkus-lumus mempersiapkan anak-anak PMG untuk menerima Sakramen Ekaristi ini.