Disediakan oleh SOCCOM St. Martin, Telupid.

Telupid – Sempena menyambut dan mengalu-alukan kedatangan Rev. Fr. Stephen Esguera bertugas dan melayani secara rasmi di Paroki St. Martin, Telupid, Majlis Pastoral Paroki Telupid yang dipengerusikan oleh Encik Albert Andau telah mengambil inisiatif untuk mengadakan satu majlis sambutan secara sederhana bersama para umat pada 10 Julai 2022, jam 12.00 tengah hari di ruang legar Dewan Pastoral Gereja St. Martin, Telupid.

Pada pagi hari yang sama, Rev. Fr. Christopher Ireneus, Paderi Paroki St. Martin, Telupid dan Fr. Stephen telah merayakan bersama Misa Kudus di Gereja St. Martin.

Dalam ucapan Fr. Stephen, beliau memohon agar umat dapat berjalan bersama, berganding bahu dengan para paderi dalam pelayanan dan tidak memanjakan mereka sebagai paderi kerana para paderi juga adalah insan biasa, katanya. Beliau turut memohon agar umat dapat melayani sesama umat dengan kasih, selaras dengan Visi dan Misi Keuskupan Sandakan.

Upacara jamuan tengah hari bersama dengan para umat yang hadir.

Fr. Stephen berasal dari Paroki Holy Trinity, Tawau. Beliau telah ditahbis menjadi diakon pada 28 Oktober 2019 dan sebagai paderi pula, pada 13 Mei 2021 di Katedral St. Mary, Sandakan. Sejak itu, beliau ditugaskan sebagai Pembantu Paderi Paroki Katedral St. Mary, Sandakan, sehinggalah selepas Mesyuarat Para Paderi Keuskupan Sandakan pada bulan Mei 2022 lalu, Fr. Stephen telah ditugaskan sebagai Pembantu Paderi Paroki di tempat baharu iaitu Paroki St. Martin, Telupid bermula 1 Julai 2022. Fr. Stephen juga sedang memegang tanggungjawab sebagai Pengarah bagi dua komisi iaitu, Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan Keuskupan Sandakan (KKCT) dan Komisi Alkitab Keuskupan Sandakan (KAK).

Sejak awal tahun lalu, Fr. Christopher bertugas sebagai Paderi Paroki dan melayani sepenuh masa di Paroki St. Martin, Telupid. Kini, para umat berasa gembira dan bersyukur atas kehadiran seorang lagi paderi di paroki mereka dan bersama-sama mendoakan pelayanan kedua-dua paderi tersebut.