Perhimpunan Pra-Sinodal Peringkat Malaysia telah diadakan pada 11 Julai 2022 bertempat di Gereja Immaculate of Conception, Pulau Pinang. Perwakilan dari sembilan Keuskupan/Agung di Malaysia telah menghadiri perhimpunan selama satu hari ini, baik melalui fizikal mahupun melalui maya.
Keuskupan Sandakan telah diwakili oleh Rev. Fr. Stanley William, Reynaldo De Los Santos, Freddy Graman, Pilis Malim dan Anna Teresa Peter Amandus. Kordinator bagi Sinod Para Uskup Keuskupan Sandakan iaitu Rev. Fr. David Garaman menarik diri pada saat akhir kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Pada sebelah pagi, semua perwakilan telah dialu-alukan dengan ucapan dari Pembantu Pengerusi Majlis Pastoral Paroki Gereja Immaculate of Conception, Annie Foo. Dalam ucapannya beliau berharap agar semua yang hadir akan mempunyai perhimpunan yang memberi inspirasi untuk semua berjalan Bersama sebagai umat Allah.
Acara diteruskan dengan Puji dan Penyembahan, Majlis Perasmian, doa pembukaan dan seterusnya persembahan video yang memaparkan aktiviti – aktiviti berkenaan proses Sinod Para Uskup di seluruh Malaysia. Program pada hari pertama diteruskan dengan penyerahan laporan akhir dari setiap Keuskupan / Agung.
Bishop Cornelius Piong dari Keuskupan Keningau tidak dapat bersama – sama dalam perhimpunan ini. Namun telah turut serta secara maya dan memberikan ucaptamanya melalui rakaman video.
Charles Bertille selaku Kordinator bagi proses Sinod Para Uskup Malaysia, telah memberikan orientasi dan hala tuju Perhimpunan Pra-Sinodal ini kepada semua perwakilan agar setiap yang dilakukan bersangkut paut (linked) antara satu proses dengan proses renungan yang lain. Ini merupakan satu hal yang penting agar diakhir perhimpunan ini, objektif utama dapat dicapai.
Sebelum berehat untuk makan tengahari, wakil setiap Keuskupan/Agung telah membentangkan laporan hasil proses Sinod Para Uskup masing – masing. Sesi perkongsian ini sangat kaya dengan informasi dan cabaran yang dihadapi oleh setiap Keuskupan/Agung. Pertemuan seumpama ini amat baik untuk semua yang hadir dan jelas menyatakan ‘you are not alone in this road’. Ini membawa satu pengharapan untuk Gereja – Gereja di Malaysia untuk berjalan bersama dan saling menyokong antara satu dengan lain dan tanpa mengira wilayah, bangsa, budaya, warna kulit dan menghapuskan istilah “Sendirian Berhad”.
Disebelah petang, program diteruskan dengan saat berdoa dan diikuti dengan pembentangan deraf laporan hasil dari kompilasi laporan – laporan dari semua Keuskupan/Agung. Dengan pembentangan ini, setiap perwakilan dijemput untuk sesi perkongsian iaitu Spiritual Conversation. Perwakilan yang telah diagihkan dalam kumpulan – kumpulan telah dibawa dalam suasana berdoa sepanjang perkongsian diadakan. Perkongsian yang ikhlas tanpa dihakimi. Perkongsian yang lahir dari hati berdasarkan kepada pengalaman peribadi. Hasil perkongsian telah disatukan dan dibentang oleh Tim Sinod National dan dimasukkan untuk menjadi sebahagian daripada laporan di peringkat Malaysia. Laporan tersebut dibentang sekali lagi agar semua pemimpin umat awam, para Bishop, paderi, religius yang hadir dapat mengamati setiap kenyataan dan mempersetujui bahawa kandungan laporan menepati suara-suara yang dikutip hasil daripada proses Sinod Para Uskup di setiap Keuskupan/Agung.
Untuk meraikan perjalanan bersama ini, dua wakil dari setiap Keuskupan/Agung telah menandatangani kanvas Sinod Para Uskup sebagai simbol komitmen untuk terus menghidupi kerohanian sinodaliti.
Perhimpunan Pra-Sinodal Malaysia ini di akhiri dengan Misa penutupan dan fellowship bersama. Semoga perhimpunan ini memberikan inspirasi dan semangat untuk terus berjalan bersama sebagai gereja Sinodal yang telah diseru oleh Bapa Suci Francis.