Artikel oleh Farnandes
Gambar oleh Farnandes, Rozie Ray & Jaymar
LAHAD DATU: Tarikh Ulang Tahun Paroki St. Dominic, Lahad Datu jatuh pada 8 Ogos. Seperti pada tahun-tahun sebelumnya, perayaan ulang tahun ini akan dirayakan dengan tujuan mensyukuri rahmat yang telah diberikan Tuhan. Sudah 2 tahun perayaan ini tidak dapat dirayakan secara skala besar disebabkan Pandemik Covid-19. Namun akhirnya, pada tahun 2022, Paroki St. Dominic telah kembali lagi merayakan perayaan yang penuh makna ini secara bersemuka.
Perayaan peringkat paroki ini telah dilancarkan oleh Father Simon Kontou selaku Paderi Paroki pada 3 Julai yang lalu sebagai tanda bermulanya perayaan tersebut yang akan berlangsung selama sebulan. Pada hari pelancaran itu, sebuah tayangan video berkaitan sejarah dan perkembangan paroki telah ditayangkan kepada umat. Tayangan ini bertujuan untuk mengimbas kembali sejarah paroki serta melihat perkembangan perjalanan paroki selama 70 tahun.
(Sila lihat tayangan video Sejarah 70 Tahun Paroki St. Dominic, Lahad Datu: https://drive.google.com/file/d/1guYLaZCB_7NdUwdVFYtOi-lZ1kzyqf1r/view?usp=sharing)
Selesai tayangan sejarah gereja, Fr. Simon telah merasmikan pelancaran hari paroki dengan paluan gong.
Selepas sahaja pelancaran, semua aktiviti yang telah dirancang lebih awal, dijalankan satu-persatu bagi memeriahkan lagi sambutan ulang tahun tersebut, juga untuk mencari dana bagi menampung kos pembinaan Dewan Penyembahan dan Kelas Katekatikal Paroki St. Dominic, Lahad Datu yang baru. Berikut adalah aktiviti-aktiviti yang telah / sedang / akan dijalankan:
- Karnival Keluarga St. Dominic – 17 Julai 2022
- Mr. & Mrs. Dominican – Sesi Uji Bakat, 20 Julai 2022
- Movie Night – Setiap Rabu bermula 3 Ogos 2022
- Sambutan Hari Paroki – 7 Ogos 2022
- Sambutan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Indonesia – 21 Ogos 2022
- 25th Sacerdotal Anniversary of Rev. Fr. Simon Kontou & Charity Dinner – 31 Ogos 2022
- Mr. & Mrs. Dominican – Peringkat Akhir, 31 Ogos 2022
Pada 7 Ogos 2022, tepat jam 9.00 pagi, Fr. Simon telah memulakan Perayaan Misa Kudus Sempena Hari Paroki St. Dominic, Lahad Datu yang Ke-70 tahun ini bersama dua Pembantu Paderi Parokinya iaitu, Rev. Fr. Marcellinus Pongking dan Rev. Fr. Gerald Terence Saimel, OFM.
Sekali lagi, hari yang bersejarah telah dicipta di paroki ini, di mana ramai umatnya dari pelbagai bangsa telah hadir dan memberi pelbagai bentuk sokongan seperti sokongan moral, material, tenaga dan wang. Mereka sentiasa bekerjasama sebagai satu keluarga besar di dalam kasih Tuhan. Para religious sisters daripada Kongregasi Franciscan Sisters of the Immaculate Conception (FSIC), Sabah dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Paroki Tawau, Sandakan dan Lahad Datu sendiri yang turut datang juga membuatkan sambutan perayaan ini lebih bermakna.
“Saudara saudari, kita di paroki ini adalah satu keluarga. Satu keluarga yang berjalan bersama menuju tanah air syurgawi. Janganlah kita berfikiran bahawa Allah mahu menyelamatkan kita secara individu, kerana Allah mahu menyelamatkan kita sebagai satu komuniti atau keluarga di paroki ini. Dalam Kitab Keluaran, apabila Allah menyelamatkan orang-orang Israel dari tanah perhambaan di Mesir, Allah bukan menyelamatkan satu-persatu tetapi sebagai keluarga. Mereka satu keluarga keluar dari tanah perhambaan dan telah dibentuk menjadi satu keluarga di tanah perjanjian dan begitulah kita juga pada hari ini.” Demikianlah kata-kata Fr. Simon dalam homili beliau selaku Paderi Paroki.
Selesai sahaja Misa Kesyukuran, sambutan perayaan diteruskan dengan acara pentas bertempat di Dewan Terbuka Paroki St. Dominic, Lahad Datu yang bermula sekitar jam 11 pagi. Acara telah dimulai dengan pemotongan kek dan diikuti dengan persembahan daripada para belia dan ahli-ahli Komuniti Kristian Dasar (KKD) di seluruh paroki termasuk luar stasi. Acara telah berakhir kira-kira jam 6 petang pada hari tersebut.
(Sila lihat gambar-gambar lain: https://www.facebook.com/229078784093592/posts/pfbid0RhQSmjWku2w1FKeyXXqc4TK6BcFg8kCJPHMgRs5kv72npduJMYudpSrvje6MDmW8l/)