oleh Raynold Thomas

3 September 2022, Santo Martin, Telupid: Setelah hampir tiga tahun negara dilanda pandemik COVID-19, perlahan-lahan pelbagai aktiviti kerohanian kembali aktif di Paroki St. Martin Telupid, Keuskupan Sandakan, Sabah. Salah satu daripada aktiviti berkenaan ialah rekoleksi. Pada kali ini, Komiti Komuniti Kristian Dasar (KKD) Paroki telah memulakan pergerakkan mereka dengan mengadakan perkumpulan bagi mengongsikan beberapa perkara yang dikenalpasti menjadi isu utama dalam kalangan umat paroki tersebut.

Keperluan mengadakan rekoleksi ini telah dibincangkan pada satu mesyuarat yang diadakan pada 21 Ogos 2022 lalu. Dalam mesyuarat berkenaan, semua perwakilan KKD daripada seluruh jajaran Paroki Telupid telah sebulat suara untuk memilih tarikh 3 September 2022 untuk pelaksanaan program itu. Paderi Paroki, Rev. Fr. Christopher Ireneus telah bertanyakan kepada setiap perwakilan mengenai isu-isu yang menjadi batu sandungan kepada pergerakkan KKD di kawasan masing-masing. Selepas Fr. Christopher merumuskan bahawa setiap isu yang disampaikan adalah berkait rapat dengan hidup dan fungsi keluarga di sesbuah KKD, nilai agama yang semakin terumbang-ambing, dan juga pemahaman terhadap iman Katolik yang semakin berkurangan, maka tema yang dipilih untuk rekoleksi tersebut ialah ‘Nilai Keluarga, Agama, dan Iman’.

Berdasarkan pra-pendaftaran pantas dan singkat yang telah dilaksanakan melalui semua KKD di seluruh paroki bermula 21 Ogos sehingga 28 Ogos 2022, jumlah peserta berdaftar diperolehi adalah 333 orang daripada empat zon iaitu, Zon Santo Nicholas seramai 34 orang, Zon Santa Susanna seramai 107 orang, Zon Santo Thomas seramai 38 orang, Zon Padre Pio seramai 37 orang, dan Zon Santo Roderick seramai 117 orang.

Pada hari pelaksanaan rekoleksi, kehadiran peserta telah mencecah 400 orang yang mana di luar jangkaan tim pelaksana atau penganjur. Fr. Christopher turut menzahirkan rasa terkejut beliau apabila kehadiran umat begitu memberangsangkan sedangkan beliau telah menjangkakan hanya sekitar 100 orang sahaja yang akan hadir. Oleh yang demikian, penyampaian terhadap isu-isu yang perlu disampaikan dalam rekoleksi ini telah menjadi lebih efektif dan efisyen memandangkan lebih ramai yang dapat mendengar sendiri.

Perkongsian yang disampaikan oleh Rev. Fr. Stephen Esguerra, Pembantu Paderi Paroki, menyentuh lebih banyak mengenai peranan keluarga dalam pembentukkan KKD. Beliau menjelaskan bahawa KKD terbentuk daripada perkumpulan keluarga-keluarga dalam satu komuniti setempat. Keluarga-keluarga ini adalah keluarga yang beriman, saling menyokong pembangunan dan pembentukkan iman mereka bermula dari rumah. Rentetan pembangunan dalam keluarga itu, maka perlulah dikongsikan kepada lebih ramai keluarga lagi, dan seterusnya, terjadilah sebuah perkumpulan keluarga-keluarga yang saling berkongsi mengenai bagaimana mereka dapat bertumbuh dalam iman. Perkongsian Fr. Stephen diakhiri dengan nasihat dan cadangan kepada semua umat untuk dapat terus mengukuhkan katekisis dalam keluarga masing-masing, dan tetap terus bertumbuh dalam persekutuan di KKD setempat.

Isu seterusnya ialah mengenai agama dan iman, dan isu ini telah dikongsikan oleh Fr. Christopher dalam satu perkongsian yang agak ilmiah, namun dipenuhi dengan maklumat-maklumat yang diperlukan oleh umat. Beliau menegaskan bahawa iman Katolik itu adalah satu iman yang sempurna, dan setiap individu haruslah berasa bangga kerana menjadi seorang Katolik. Apabila iman ini dicemarkan dengan sikap yang liberal terhadap perkembangan agama, maka tiada jalan yang mudah untuk kembali kepada Katolik. “Persefahaman dan toleransi adalah amat penting, dan sememangnya dititikberatkan oleh gereja Katolik, bagaimanapun, adalah menjadi tanggungjawab setiap individu yang dibaptis sebagai Katolik untuk menegakkan kebenaran dan sekaligus menjaga iman masing-masing”, katanya. Selain itu, beliau juga menegaskan bahawa, menjadi tanggungjawab setiap umat dalam KKD untuk dapat terus membantu dalam kalangan mereka agar agama dan iman mereka tetap dijaga serta dikukuhkan sampai bila-bila.

Rekoleksi ini telah diakhiri dengan Misa Kudus, ucapan daripada Pengerusi Komiti KKD Induk Paroki, Encik Pianus bin Laniu dan amanat daripada paderi paroki kepada semua umat. Sesi bergambar diadakan sebaik sahaja selesai misa kudus, dan semua peserta rekoleksi makan tengah hari bersama dengan para paderi.