Oleh : Mazdollyna Majalin
Lahad Datu – Satu upacara pemberkatan haiwan peliharaan para umat di Paroki St Dominic, Lahad Datu telah diadakan di dewan terbukanya pada 2 Oktober 2022 lalu. Upacara tersebut telah disempurnakan oleh Rev. Fr. Gerald Saimel, OFM (Franciscan Order) dan telah dibantu oleh Sr. Jadine Guiterrez, FSIC (Franciscan Sisters of the Immaculate Conception).
Gereja Katolik di seluruh dunia merayakan Pesta Santo Fransiskus dari Asisi pada 4 Oktober setiap tahun. Maka, Paroki Lahad Datu telah mengambil kesempatan ini untuk menjalankan upacara tersebut. Santo Fransiskus merupakan seorang biarawan yang juga terkenal sebagai Santo Pelindung Haiwan. Beliau bukan sahaja berkhutbah kepada manusia, tetapi turut mempunyai karunia untuk berkhutbah kepada pelbagai jenis haiwan seperti anjing, burung-burung, tupai dan kelinci.
Tuhan pernah berfirman dan menciptakan pelbagai jenis haiwan di dunia ini selain manusia (Kejadian 1:26). Hal ini turut diterapkan dalam peribadi Santo Fransiskus untuk menyayangi alam ciptaan Tuhan. Kasih sayangnya terhadap alam dan hidupan membuat beliau diangkat sebagai Santo Pelindung bagi Alam Hidupan.
Pada hari pemberkatan ini, para umat telah membawa pelbagai jenis haiwan peliharaan mereka masing-masing seperti kucing, anjing dan kura-kura sehinggakan memenuhi ruangan dewan itu. Hal ini menunjukkan bahawa para umat beriman Gereja Katolik St. Dominic sangat menyayangi haiwan peliharaan mereka dan menyedari bahawa adalah amat penting untuk menyayangi segala ciptaan Tuhan di dunia.
Penganjur berharap agar semua akan terus menghargai dan menyayangi haiwan, segala makhluk ciptaan Tuhan, sentiasa mencari inisiatif untuk memelihara dan memulihara alam hidupan ciptaan Tuhan yang banyak memberi manfaat kepada manusia, sama seperti kasih sayang Tuhan yang tiada batasnya dan melengkapkan kehidupan manusia sejagat.