Oleh Lawrence Matusin (SOCCOM Telupid)  

Telupid- “Puji Syukur Kepada Allah yang Mahakuasa.” Begitulah ungkapan yang menitip di bibir para umat di Kapela St. Cristiano apabila bangunan ini telah diberkati oleh Rt. Rev. Julius Dusin Gitom, Uskup bagi Keuskupan Sandakan pada 16 Oktober 2022.

Kapela ini dahulunya diberi nama St. Peter dan terletak kira-kira 10 km dari Paroki Pusat. Kini, kapela tersebut telah diganti namanya sempena memperingati tuan tanah iaitu mendiang Babia Ansiring @ Cristiano yang sudi menyumbangkan tapak baharu untuk bangunan kapela ini.

Bapa uskup dalam homilinya menyeru semua umat di Kg. Bauto untuk menggunakan kapela ini sebaik mungkin bagi kegiatan kerohanian dan pastoral, dalam masa yang sama, dapat membantu dalam pembangunan kampung ini terutamanya dari segi keimanan, ekonomi dan budaya.

Pemberkatan ini turut dibantu oleh Paderi Paroki, Fr. Christopher Ireneus dan pembantunya, Fr. Stephen Esquerra sambil disaksikan umat separoki yang hadir.

Terdahulu, Pengerusi Pelaksana, Albert Matusin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Bapa Uskup dan kedua-dua paderi atas pemberkatan kapela ini serta umat-umat yang bermurah hati menyumbangkan derma.

Sebuah kapela telah didirikan di kampung ini pada tahun 1976 dan sempat digunakan selama hampir 25 tahun. Keadaan bangunan kayu yang terlalu usang menyebabkan kapela ini tidak lagi selamat digunakan dan umat terpaksa pergi beribadat di gereja paroki pusat serta kapela yang berhampiran. Atas keprihatinan serta sumbangan peruntukan daripada YB Datuk Ronald Kiandee, maka sebuah bangunan kapela yang baharu telah dapat dibangunkan di tapak baharu juga pada tahun 2018. Bangunan kapela baharu tersebut telah siap sepenuhnya pada tahun 2020, namun pemberkatan terpaksa ditangguhkan selama dua tahun atas sebab Pandemik Covid-19.