Oleh Javy Jimmy

“Menuju Gereja Sinodal: Persekutuan, Partisipasi, dan Misi”. Ini merupakan tema Sinode Para Uskup yang akan berlangsung selama 2 tahun dengan kemuncaknya pada Oktober 2023.

Paroki St. Martin, Telupid mengambil tema ini sebagai tema Perayaan Hari Paroki. Perayaan ini telah disempurnakan oleh Rt. Rev. Datuk Julius Dusin Gitom pada 13 November 2022. Perayaan ini juga disambut bersekali dengan Ulang Tahun Keuskupan Sandakan Ke-15 tahun dan Pentahbisan Episkopal Rt. Rev. Datuk Julius Dusin Gitom Ke-15 tahun.

Persiapan rohani dijalankan dalam bentuk Novena – Misa Kudus yang telah dijalankan selama 9 hari bermula pada 4hb – 12hb November 2022. Semua intipati homili paderi berkait rapat dengan Misi dan Visi Keuskupan dan disertai dengan intensi tertentu.

Bapa Uskup dalam homilinya memperkatakan tentang Roh Pengetahuan dan Pengertian yang merupakan anugerah iman kepada umat, terutamanya kepada penerima Sakramen Penguatan. Seramai 175 penerima Sakramen Penguatan semasa perayaan tersebut. Bapa Uskup menyatakan bahawa, semua yang kita hadapi akan berlalu. Menurutnya, tidak ada yang kekal melainkan anugerah yang telah diberikan oleh Tuhan. Selain itu, Bapa Uskup menekankan tentang kebersamaan dan sentiasa berpegang kepada pemberi iman dan pemberi anugerah itu.

Fr. Christopher Ireneus, Paderi Paroki St. Martin Telupid, dalam ucapannya menyeru semua umat untuk mencabar diri, keluar dari zon selesa dan berjalan bersama dalam iman dengan penuh persekutuan, partisipasi dan misi. Beliau menggesa agar umat sentiasa memberi ruang kepada Tuhan untuk berkarya dalam hidup mereka.

Pengerusi Pelaksana Perayaan Encik Albenus Naim dalam ucapannya pula mengucap syukur dan merakamkan penghargaan kepada semua AJK Pelaksana. Beliau juga berterima kasih kepada semua penderma serta semua umat yang telah berganding bahu untuk menjayakan perayaan tersebut.

Perayaan Sambutan Hari Paroki St. Martin Telupid, diteruskan dengan Majlis Kesyukuran di Dewan Institut Perhutanan Sabah (IPS), Telupid. Majlis berjalan dengan penuh meriah dengan pengisian-pengisian yang menarik.