SANDAKAN: Komisi Pelayanan Pastoral Bagi Migran Dan Perantau Keuskupan Sandakan (KPMK) baru sahaja diwujudkan dan AJKnya bagi Sesi 2022-2025 telah dibentuk pada 14 Disember 2022. Selepas itu, KPMK telah mulai melaksanakan program yang telah dicadangkan dalam takwim tahun 2023. Salah satu program tersebut ialah sesi belajar bersama. Selain itu, ini juga merupakan salah satu tindakan susulan terhadap komitmen Keuskupan Sandakan semasa Amos-5 (2-4 Februari 2023) iaitu, pembentukan dan pemantapan Tim KPMK dan KPMP semua paroki serta kawasan misi.


Sdri. Shirley mengalu-alukan ketibaan para peserta

Maka dengan itu, pada 24 hingga 26 Mac 2023, KPMK telah menjalankan satu sesi belajar bersama mengenai pelayanan pastoral bagi migran dan perantau kali pertama bertempat di Pusat Retret St. John of the Cross, Batu 27, Ulu Dusun, Sandakan. Sesi tersebut telah disertai oleh para ahli KPMK dan ahli-ahli lain daripada pelayanan migran dan perantau di peringkat paroki (KPMP) serta ahli-ahli Komiti Pastoral Indonesia / Filipino.

Tujuan utama sesi belajar ini diadakan adalah bagi mempelajari dan meneliti bersama draf buku panduan KPMK, dengan harapan agar bidang pelayanan pastoral ini dapat difahami secara terperinci dan lebih mendalam. Pada 24 Mac, 28 orang yang datang dari Paroki Katedral St. Mary, Sandakan, Paroki Holy Trinity, Tawau, Paroki St. Martin, Telupid, Paroki Our Lady of Fatima, Beluran dan Misi Paitan telah tiba dan mendaftar. Paroki St. Dominic, Lahad Datu tiada penyertaan kali ini atas kekangan komitmen pekerjaan.

Program pada hari pertama, Fr. Simon Kontou sebagai Pembimbing Rohani KPMK telah memimpin doa pembukaan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Sdra. Kletus Muyuk, Pengerusi KPMK. Katanya, “Kita datang ke sini dengan tujuan untuk belajar bersama. Kita juga bersyukur atas kehadiran Fr. Simon yang akan mengongsikan pengetahuannya yang luas dalam bidang pelayanan di gereja.” Sdra. Kletus berharap agar semua yang hadir dapat menimba pelajaran daripada garis panduan KPMK dan juga sesama yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, profesion dan umur demi memantapkan lagi pelayanan pastoral khususnya terhadap para migran dan perantau. “Semoga kita mengambil kesempatan untuk menyertai sesi belajar bersama ini secara aktif kerana belajar merupakan proses sepanjang hayat, iaitu tanpa dibatasi usia,” katanya mengakhiri ucapan beliau.


Sdra. Kletus sedang menyampaikan ucapan alu-aluan


Fr. Simon ketika berucap


Para peserta mendengar ucapan dengan penuh perhatian

Ucapan Fr. Simon pula berbunyi, “Terima kasih kerana menyahut panggilan Tuhan. Kita semua dipilih untuk melayani, khususnya untuk pelayanan pastoral kepada migran dan perantau. Kita tahu umat-umat di keuskupan kita majoriti adalah umat migran tempatan (dalaman) dan juga antarabangsa daripada Indonesia dan Filipina. Maka dengan itu, wujudnya komisi yang baru ini, dan saya telah dipilih dan dilantik oleh Bapa Uskup sebagai pembimbing rohani komisi. Apakah saya tahu? Saya juga tidak tahu secara mendalam tentang pelayanan ini. Kerana itulah kita di sini, untuk belajar bersama-sama bermula pada hari ini, tentang komisi baru ini melalui garis panduannya. Di sinilah kita dapat memahami misi kita, apakah objektif komisi ini, dan bagaimanakah melakukan pelayanan kita nanti terutamanya bagi para migran dan perantau di peringkat paroki kita masing-masing. Sebenarnya, pelayanan terhadap para migran sudah dilakukan sejak dahulu lagi dan kita sedang melakukannya dengan baik. Tetapi, janganlah kita berasa sudah berpuas hati dengan yang ada sekarang, kerana Tuhan mahu kita lakukan yang lebih baik dalam menyampaikan kasih Tuhan kepada sesama tanpa mengira status hidup dan asal-usul kita. Bagi Tuhan, kita adalah satu, dan tiada seorang pun yang disisihkanNya. Tuhan memerlukan kita untuk melihat situasi para migran dan perantau.” Beliau mengakhiri ucapan dengan berterima kasih sekali lagi atas kedatangan semua peserta dan kerana mereka telah menyahut panggilan Tuhan untuk melayani dalam komisi dan komiti pelayanan pastoral bagi migran dan perantau.


Sdra. Clarence Chin dari Paroki Tawau ketika sesi suai kenal


Peserta lain dari Paroki Tawau


Sdra. Martinus Hera dari Paroki Telupid sedang memperkenalkan dirinya


Sdra. Sarius Barujuki dari Paroki Beluran


Lima lagi peserta dari Paroki Beluran yang memperkenalkan diri masing-masing. Seorang peserta lagi belum tiba ketika sesi ini.


Dr. Welly @ Pius James bersama tiga lagi peserta lain dari Misi Paitan sedang memperkenalkan diri


Sdra. Franco Amigo, Jr. bersama lapan peserta lain dari Paroki Sandakan dengan penyertaan paling ramai

Seterusnya, sesi suai kenal dijalankan, dikendalikan oleh Sdri. Shirley Joseph, Setiausaha KPMK. Semua yang hadir telah memperkenalkan diri secara santai-santai untuk mewujudkan suasana yang lebih rapat dan mesra dengan sesama. Program pada hari pertama itu telah ditutup dengan sesi penyampaian taklimat dan pengumuman ringkas serta doa malam sekitar jam 9.30 malam.


Sdra. Wiliam Gabriel Lusi dari Paroki Beluran sebagai pembaca pertama semasa misa kudus pada pagi 25 Mac.
Sdri. Cristina Heresilles dari Paroki Beluran semasa pembacaan kedua


Fr. Simon semasa pewartaan injil

Pada keesokan harinya pula, program dimulai dengan misa kudus pada jam 6.30 pagi sempena Hari Raya Anunsiasi atau Khabar Sukacita.


Misa kudus sempena Hari Raya Anunsiasi atau Khabar Sukacita sedang berjalan

Bahagian 1 Sesi Belajar Bersama telah dijalankan selepas mereka bersarapan pagi, dikendalikan bersama oleh Sdra. Kletus, Sdri. Shirley dan Fr. Simon. Pada bahagian ini, semua peserta meneliti cadangan logo rasmi KPMK serta mendengar penerangan tentang maksud logo tersebut. Mereka memberitahu bahawa KPMK masih menerima komen dan cadangan bagi penambahbaikan cadangan logo tersebut. Kemudian, peserta juga telah mempelajari dan mengetahui tentang carta pelayanan organisasi dan jaringan KPMK serta garis panduan khusus untuk komisi ini.

Suasana sesi belajar bersama

Kemudian, semasa Bahagian 2 Sesi Belajar Bersama, para peserta telah meneruskan pembelajaran mengenai garis panduan terperinci pelayanan tersebut. Bahagian ini merangkumi lapan subtopik berikut:
01. Penjagaan Pastoral para Migran di Keuskupan dan Paroki
02. Prinsip-prinsip Panduan Pelayanan Migran Keuskupan (PMK)
03. Objektif-objektif PMK
04. Aktiviti-aktiviti PMK
05. Memahami Pelayanan Migran Paroki (PMP)
06. Aktiviti-aktiviti PMP
07. Faedah-faedah sebuah PMP
08. Perbezaan antara PMK dengan PMP

Mesyuarat sedang berjalan

Pada sebelah petang pula, KPMK telah mengadakan mesyuarat rasmi kedua. Para peserta sesi belajar yang bukan ahli rasmi komisi tersebut turut hadir sebagai pemerhati. Ini bertujuan agar mereka juga dapat mengetahui perkembangan dan perancangan terkini komisi. Antara agenda mesyuarat ialah mengenai pelaksanaan komitmen-komitmen Keuskupan Sandakan selepas Konferensi Amos ke-4 dan ke-5 serta pengemaskinian perancangan atau takwim KPMK sepanjang tahun 2023 hingga 2025. Keuskupan Sandakan merupakan tuan rumah bagi Konferensi Amos ke-6 iaitu satu program yang dianjurkan oleh Tim Pelayanan Migran Katolik Sabah (TPMKS) sekali bagi setiap dua tahun dan ketiga-tiga keuskupan di Sabah akan bergilir-gilir menjadi tuan rumah. Semasa mesyuarat tersebut, Fr. Simon menasihati semua agar mengutamakan pembentukan serta pemantapan KPMP di tempat masing-masing terlebih dahulu sebelum melaksanakan apa-apa aktiviti dan program lain. Beliau turut menegaskan dan mengingatkan untuk selalu merujuk kepada paderi paroki serta menuruti garis panduan pelayanan yang telah disediakan.


Sdra. Franco sebagai pembaca pertama


Sdra. Martinus sebagai pembaca kedua


Fr. Simon mewartakan injil

Upacara pengutusan sedang dijalankan


Sdri. Nerisah Ile dan Sdra. Clarence dari Paroki Tawau sebagai pembawa persembahan ke altar

Semasa Misa Kudus Senja, Fr. Simon telah menyempurnakan Upacara Pengutusan bagi Ahli-Ahli Rasmi KPMK. Setelah itu, program pada hari kedua telah diakhiri dengan acara makan malam bersama sambil beramah mesra.



Bergambar bersama selepas Misa Kudus Senja

Pada hari ketiga dan terakhir, iaitu 26 Mac, Sdra. Kletus dan Sdri. Shirley telah menjalankan satu sesi perkongsian peribadi secara terbuka. Ramai yang meluahkan bahawa program ini memberi impak yang positif dan ingin membawa apa yang telah dipelajari ke paroki dan komuniti masing-masing. Mereka turut mengharapkan ada program susulan selepas ini.

Sesi Perkongsian Terbuka

Sdra. Kletus telah mengakhiri sesi pertemuan tersebut dengan menyampaikan lagi harapan beliau iaitu agar program tersebut membuahkan hasil yang banyak demi pemantapan bidang pelayanan pastoral bagi migran dan perantau, khususnya di Keuskupan Sandakan. Semua peserta berangkat pulang selepas doa penutup dipimpin oleh Sdra. Kletus kira-kira jam 10.30 pagi.

Laporan oleh KPMK