oleh Mujimah @ Maureen Ayong

Selama bertahun-tahun dari generasi ke generasi yang lain, umat kristian katolik di misi Paitan terus berjalan dan berkembang, namun, belum memahami sepenuhnya bahawa perkahwinan dalam gereja katolik adalah penting kerana berkahwin di dalam gereja katolik itu, pasangan itu seharusnya memilih untuk menjadikan perkahwinan mereka sebagai satu daripada misi hidup mereka.

Pasangan Felix dan Rekha penyampai Sesi 2: Dialog. menjadi satu

Oleh yang demikian, ramai pasangan yang hanya berkahwin berdasarkan adat kampung dan tidak ambil peduli tentang hal pemberkatan perkahwinan di dalam gereja katolik. Sehingga masa kini, masih ramai pasangan di Misi Paitan yang belum menerima pemberkatan perkahwinan di dalam gereja katolik, mahu pun dalam usia yang sudah tua atau muda.

Maka dengan itu, pada 1hb Julai 2023 julung kalinya kursus konvalidasi (pasangan berkahwin tetapi belum menerima pemberkatan perkahwinan di dalam gereja katolik) telah diadakan di Misi Paitan bertempat di Dewan Gereja St. Francis of Assisi, Sukang.

Pn Helena Salati, menyampaikan sesi Pengurusan Kesuburan Semulajadi

Kursus ini diadakan adalah atas keprihatinan pihak gereja khususnya daripada Paderi Penguasa Misi Paitan Rev. Fr. Arthur John dan komiti daripada Keuskupan Sandakan untuk membantu pasangan keluarga di Misi Paitan untuk menerima pemberkatan perkahwinan mereka. “Ambil peluang ini sebagai pendekatan dan pendidikan aspek rohani dalam keluarga kamu. Jangan tunggu sampai terlewat baru panggil Paderi untuk sembahyang”, penerangan oleh Fr Arthur John.

Seramai 27 pasangan berkahwin tetapi belum menerima pemberkatan perkahwinan telah mengikuti kursus ini. Kursus ini menyediakan setiap pasangan yang ingin berkahwin secara rohani agar persatuan mereka dikuduskan di dalam gereja katolik sebelum membuat temujanji dengan paderi untuk pemberkatan perkahwinan mereka. Kursus konvalidasi ini mengandungi lapan(8)topik dan pasangan mentor mengongsikan topik masing-masing dan berkongsi secara terbuka pengalaman hidup mereka semasa menggunakan buku Cinta Bijak. Setiap sesi yang dikongsikan oleh para mentor bukan sahaja menjadikan kursus sebagai pengalaman perhubungan bagi setiap pasangan tetapi pembentukan rohani yang mengintegrasikan teologi perkahwinan di dalam gereja katolik.

Fr. Arthur bersama pengerusi Hidup Keluarga Welly Pius menyampaikan sijil kursus

Satu hari kursus ini berlangsung, ianya dipergunakan sepenuhnya oleh setiap pasangan untuk mempraktikkan kemahiran yang diajar. Mereka bertanya kepada para mentor setiap sesi yang kurang faham sebelum beralih ke topik yang seterusnya. Melalui perkongsian para mentor, dan pasangan yang hadir dapat membantu setiap pasangan memahami setiap topik yang disampaikan dan dapat belajar cara menangani masalah hubungan dengan pasangan.

Melalui perkongsian serta pengalaman salah satu pasangan kursus ini dalam topik “Dialog dan Membina Kesatuan”, pasangan ini memilih L.I.F.E, kesatuan emosi dan Berhenti-Renung-Hubung sebagai alat penting. Kadang-kadang setiap pasangan berbeza pendapat yang mungkin mengakibatkan pergaduhan. Dengan menggunakan alat L.I.F.E (List atau Senarai, I atau Saya, Feel atau merasa dan Embellishment atau Kiasan) ini ianya mampu membantu pasangan tersebut mengawal emosi yang mengakibatkan pergaduhan.

Kata-kata Fr Arthur yang bergema “Kamu yang paling layak untuk berkongsi pengalaman kepada mereka sebab kamu yang sudah berkahwin. Jadi berusaha dan belajar kemudian kongsikan pengalaman kamu kepada pasangan-pasangan yang memerlukannya”.