Artikel oleh Monica dan Catherine
Gambar oleh SOCCOM Lahad Datu
Lahad Datu – Pada tanggal 18hb Jun lalu, Paroki St. Dominic, Lahad Datu telah merayakan Misa Kesyukuran sempena perayaan Pesta Kaamatan dan Gawai. Misa Kudus diadakan pada jam 9 pagi yang di selebrankan oleh Rev. Fr. Stanley Matakim dan dibantu oleh Rev. Fr. Marcellinus Pongking.
Para petugas liturgi dalam misa pada hari tersebut sebahagian besar telah dikendalikan oleh suku kaum KDMR dengan memakai busana adat yang indah. Selain itu, gereja turut dihiasi dengan hasil tuaian seperti padi, buah buahan dan lain-lain lagi.
Sambutan ini juga mendapat perhatian oleh Rev, Fr. Stanley Matakim, di mana beliau sangat memberikan dorongan tentang betapa pentingnya perayaan Kaamatan dan Gawai demi kesatuan semua umat.
Fr Stanley menyatakan dalam homili beliau, “perayaan ini adalah perayaan kita bersama dimana kita bersyukur atas pemberian rezeki dari Tuhan kepada kita, dan tidak lupa juga bagi mereka yang bersusah payah dalam menghasilkan semua hasil tuaian sehingga hari ini”. Paderi itu turut mengatakan, “sambutlah perayaan ini sebagai satu gereja yang besar, yang dirayakan bersama untuk di dalam kerajaan Allah di bumi ini.” Setelah itu, Fr Stanley memberkati semua hasil tuaian yang telah disediakan.
Setelah Misa Kudus selesai, acara diteruskan dengan persembahan pentas yang diadakan di dewan terbuka paroki St Dominic. Lebih kurang 300 umat yang terdiri daripada pelbagai suku kaum hadir dalam perayaan ini.
Persembahan pentas dimulakan dengan ketibaan Paderi Paroki Rev Fr Stanley Matakim, Pembantu Paderi Paroki Rev Fr Marcelinus Pongking, FSIC Sister, dan para jemputan khas dengan iringan paluan Gong Tambunan dan tarian dari belia-belia Paroki.
Gimik perasmian dimulakan dengan paluan Gong sebanyak 7 kali oleh Fr. Stanley dan diteruskan dengan pelbagai acara yang diadakan seperti persembahan tarian tradisi dari KDCA serta Komiti Pastoral Indonesia, tarian terbuka, pertandingan mewarna, cabutan tiket bertuah, Sugandoi, Unduk Ngadau, pertandingan masakan makanan dan minuman tradisi, Mimpulos (gusti lengan) dan banyak lagi. Pada hari itu juga, pelbagai gerai dengan pelbagai jualan makanan serta minuman tradisi yang dapat dinikmati oleh para umat.
Komiti Tukad dan Majlis Pastoral Paroki telah membantu dalam pelaksanaan upacara ini agar perjalanan lebih meriah, teratur dan selesai mengikut masa yang ditetapkan. Akhir sekali, perayaan pesta Kaamatan dan hari Gawai peringkat paroki St Dominic telah berjaya dengan meriah dan penuh keberkatan.