oleh Selwyn S. Sho

Beluran: Rabu, 23 Ogos 2023, telah menjadi hari bersejarah dan penuh berkat bagi Umat Katolik Paroki Our Lady of Fatima, Beluran (OLOF) apabila majlis pecah tanah dan menandatangani perjanjian bagi pembinaan bangunan gereja baru paroki tersebut telah disempurnakan pada jam 9.00 pagi oleh Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom diiringi Paderi Parokinya, Rev. Fr. Stephen Esguerra serta disaksikan para jemputan yang hadir.

Perjalanan aturcara yang dimulakan dengan upacara pemberkatan tapak gereja baru yang telah dipimpin oleh Bapa Uskup dan Fr. Stephen, dan seterusnya dilanjutkan dengan majlis pecah tanah sebagai menandakan telah bermulanya pembangunan gereja baru itu secara rasmi.

Bangunan gereja baru dua tingkat yang berkapasiti lebih kurang 800 orang dan dilengkapi pusat pentadbiran paroki bakal menjadi tempat ibadah baharu yang mampu menampung keperluan umat Katolik yang semakin bertambah di Paroki Beluran, khususnya yang tinggal di sekitar pusat paroki.

Upacara menandatangani perjanjian pula telah dijalankan di dewan mini gerejanya. Sebelum itu, Fr. Stephen merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Bapa Uskup atas pemberkatan tapak gereja dan semua yang hadir; para consultant, kontraktor, AJK MPP, AJK Pembangunan, AJK Kewangan serta Pengerusi gereja-gereja outstasi dalam Paroki OLOF yang datang untuk menyokong upacara dan usaha pembinaan gereja Paroki yang baharu. Beliau percaya dengan doa dan berkat TUHAN serta sokongan, bantuan dan kerjasama dari semua pihak dapat menjayakan usaha ini.

Dalam ucapan Bapa Uskup pula, beliau menceritakan perjalanan dan kronologi cadangan pembinaan dan penggantian gereja telahpun dimulakan sejak tahun 2000 lagi. Namun, cadangan ini lebih diperincikan lagi pada tahun 2016 setelah Gereja OLOF dinaiktaraf sebagai sebuah paroki di Keuskupan Sandakan.

Beliau juga menyatakan keperluan untuk membina bangunan gereja yang baharu ini, memandangkan ruang tempat duduk umat selalu sesak hingga umat terpaksa duduk atau berdiri di luar gereja semasa Misa hari Ahad dan lebih-lebih lagi semasa perayaan besar seperti Jumaat Agung, Hari Paska, Krismas. Struktur bangunan papan kayu yang sudah mulai usang juga membimbangkan terutama dari aspek keselamatan umat. Beliau juga sedar pembinaan gereja baharu memerlukan kos yang besar.

Bapa Uskup selaku paderi pertama Gereja OLOF adalah pencetus dan penggerak utama bagi cadangan pembinaan gereja baharu dua tingkat tersebut. Beliau mencadangkan bahawa tingkat atas dijadikan sebagai ruang untuk beribadah (gereja) dan tingkat bawah pula sebagai pusat pentadbiran paroki.

Proses perancangan dan pencarian dana terpaksa dihentikan sementara waktu akibat Pandemik COVID-19 dan hanya dapat diaktifkan semula pada tahun 2021. Kesan penangguhan ini juga telah menyebabkan kos bahan binaan semakin meningkat kerana mengikut harga pasaran terkini. Dana yang masih diperlukan adalah lebih kurang sejuta ringgit lagi, disebabkan kos kerja-kerja pembinaan bangunan ini tidak merangkumi kos penyediaan ruang pejabat dan juga kelengkapan dalaman gereja seperti kerusi, alat siar raya, altar dan lain-lain.

Bapa Uskup seterusnya menyarankan agar usaha pencarian dana perlu diaktifkan lagi sehingga berjaya mencapai sasaran dana yang diperlukan agar bangunan gereja baru ini dapat digunakan sepenuhnya selewat-lewatnya pada Perayaan Paskah Tahun 2025. Akhir sekali, beliau menyatakan rasa bersyukur dan terima kasih kerana Gereja Our Lady of Fatima pada hari ini sudah dapat memulakan fasa kerja pembinaan gereja baharu hasil dari usaha bertahun-tahun semua pihak terlibat termasuk mengumpul dana bagi memulakan pembinaan gereja baharu ini.

Selesai sesi ucapan, perjanjian ditandatangani oleh Bapa Uskup Julius, Fr. Stephen serta pihak kontraktor sambil disaksikan oleh pihak konsultan, AJK gereja dan umat yang hadir.