Disediakan oleh: Elisabet SM

SANDAKAN – Program Rekoleksi Legio Maria (dalam Bahasa Melayu) telah diadakan pada 13hb Januari 2024 bertempat di Bilik Katekatikal, Paroki St. Mary, Sandakan. Program tersebut bermula pada pukul 7.30 pagi sehingga pukul 3.30 petang. Program rekoleksi ini diadakan julung kali selepas cuti pandemik Covid-19. Seramai 51 orang peserta yang terdiri daripada ahli aktif, ahli auxiliari, ahli percubaan, ahli junior dan pelawat telah mendaftarkan diri dalam program ini. Kuria (BM) Sandakan iaitu Kuria Ratu Rosari Bonda Penaung selaku penganjur telah menjemput mantan Presiden Kuria, Brother Adaris M. Sintan untuk memberikan rekoleksi.

Program dimulakan dengan doa pembukaan yang dipimpin oleh Presiden Kuria Brother Matheus Sodomon. Acara diteruskan dengan aktiviti suai kenal dan menjawab kuiz ringkas berkaitan organisasi Legio Maria secara umum. Peserta pertama yang dapat menjawab soalan kuiz ialah Sister Juliana Kimin yang merupakan ahli percubaan daripada Presidium Ratu Perdamaian. Program dilanjutkan dengan perbincangan kumpulan dan pembentangan laporan kumpulan.

Brother Matheus menyampaikan ceramah yang bertajuk “Amanat Suci Paus kepada Para Legio Maria”. Beliau menjelaskan dengan merujuk kepada Buku Pegangan Legio bahawa amanat suci daripada 4 orang Paus terdahulu telah memberikan pesan dan berkat Apostolik istimewa kepada organisasi Legio Maria awal pimpinan Brother Francis Michael Duff iaitu pengasas Legio Maria. Beliau mengulang pesan Paus Pius XII agar para legioner terus mempertahankan dengan semangat menggebu kerjasama yang baik untuk dipersembahkan kepada gereja yang dalam kerasulannya hendak membawa seluruh umat manusia ke hadapan Kristus, yang adalah Jalan, Kebenaran dan Kehidupan.

Mantan Presiden Kuria Brother Adaris M. Sintan menerusi tajuk ceramah “Buku Pegangan dan Misi” menerangkan aturcara rapat dan disiplin sebagai ahli Legio Maria. Beliau turut menggalakkan para legioner untuk melakukan pelayanan dengan lebih berani dan tidak dikongkong oleh pelbagai peraturan dan disiplin yang keras sehingga membataskan pelayanan untuk menjangkau lebih banyak jiwa kembali menggereja. Beliau turut mengingatkan supaya para legioner bersedia menanggapi panggilan hidup kudus untuk berjalan bersama Tuhan yang adalah Jalan, Kebenaran dan Kehidupan.

Acara seterusnya dalam program rekoleksi ini ialah kesaksian daripada 2 orang ahli aktif Legio Maria iaitu Sister Christina Saripin daripada Presidium Ratu Cahaya dan Sister Sylvia G. Guasa daripada Presidium Ratu Kerahiman. Acara terakhir ialah soal jawab daripada peserta. Ahli percubaan dan ahli junior mengambil kesempatan untuk mengemukakan soalan tentang disiplin doa dalam Legio Maria. Presiden Presidium Ratu Cahaya, Sister Cathrina V. Alliun mencadangkan program rekoleksi ini dijadikan program tahunan Kuria BM Sandakan. Program diakhiri dengan doa penutup dan sesi bergambar.