St. Dominic, Lahad Datu – Seperti komiti-komiti lain dalam gereja, SOCCOM SDC juga telah melaksanakan rekoleksi mereka pada tanggal 10 April sehingga 11 April yang lalu. Kali ini rekoleksi telah bertempat di Borneo Paradise Eco Farm yang terletak kira-kira 40km dari Paroki Lahad Datu, perjalanan tersebut telah mengambil masa lebih kurang 47 minit untuk sampai ke lokasi.
Program kali ini dimulakan dengan ketibaan para peserta di lokasi kira-kira jam 7 malam dan diteruskan dengan sesi santai, makan malam bersama dan menonton wayang “Sister Act” untuk membentuk pengalaman serta refleksi akan panggilan dalam pelayanan yang tidak mengira masa ataupun usia. Sesi pada malam itu diakhir dengan doa malam oleh Rev Fr. Stanley sebelum semua peserta masuk beristirehat pada malam tersebut.
Hari berikutnya program dimulakan dengan Misa pagi yang juga dirayakan oleh Rev Fr. Stanley, di dalam misa tersebut beberapa umat yang merupakan staff di resort tersebut turut menyertai untuk bersama-sama merayakan misa pagi tersebut. Selepas misa berakhir, sesi fotografi bersama ahli soccom serta staff-staff di resort untuk dijadikan sebagai kenangan.
Selesai sarapan pagi, sesi diteruskan dengan sesi “Commitment and Communication Message” yang bermula lebih kurang pada jam 8 pagi juga disampaikan oleh Rev Fr. Stanley.
Di dalam sesi ini, paderi telah menerangkan dan mengulas isi kandungan yang terdapat dalam pesanan daripada Bapa Suci Fransiskus kepada semua sempena Hari Komunikasi Sedunia. Bapa Suci menyeru kita untuk mengambil pendekatan yang lebih bertanggungjawab dan beretika dalam berkomunikasi di era digital yang semakin maju ini, dengan adanya teknologi ini kita lebih mudah berhubung dan berinteraksi tetapi ia juga datang dengan tanggungjawab yang besar dan kita harus berwaspada terhadap ketulenan maklumat-maklumat yang diterima sebelum mengongsikannya. Bapa Suci mengajak semua untuk membina masyarakat digital yang lebih beradab, di mana kasih sayang, hormat menghormati, dan kebenaran menjadi nilai-nilai yang terpenting.
Satu lagi aspek yang ditekankan oleh Bapa Suci Fransiskus adalah kepentingan kesederhanaan dan kejujuran dalam komunikasi kita. Dalam dunia yang serba cepat dan serba canggih ini, kita sering terjebak dalam keinginan untuk menonjol atau mempertahankan imej yang sempurna dalam media sosial. Namun, Bapa Suci mengingatkan kita bahawa ketulusan dan kesederhanaan adalah kunci untuk membangun hubungan yang bermakna dengan orang lain.
Sesi yang kedua pula adalah sesi “Peranan dan Fungsi SOCCOM serta cara-cara asas penulis artikel” yang telah disampaikan oleh Saudara Farnandes. Objektif bagi sesi ini pula adalah mempelajari teknik menulis artikel yang lebih teratur, singkat dan tepat serta mudah difahami. Sesi tersebut berakhir dengan latihan penulisan artikel bersama sebelum diteruskan dengan sesi seterusnya.
Selesai rehat lebih kurang 30 minit, sesi diteruskan dengan sesi “Workshop Photographer dan Videographer Skill” yang dibentangkan oleh Saudara Jaymar. Bagi sesi ini bertujuan untuk mempelajari cara dan teknik mengambil gambar serta video yang lebih baik dalam situasi yang berbeza, memahami teknik-teknik asas tetapan photografi dan videography. Sesi penjelasan berakhir lebih kurang jam 12.30 tengahari dengan menjamu selera tengahari serta rehat.
Sesi terakhir pula ada bengkel photografi yang bertujuan untuk melatih teknik-teknik fotografi yang telah dikongsikan di dalam sesi ketiga sebelum ini, Keseluruhan program rekoleksi ini adalah satu pengalaman yang bermakna dan membuka minda para peserta dalam bidang komunikasi dan kebijaksanaan hati. Program kemuncak pula semua peserta telah menghadiri Misa memperingati arwah Fr. Marcellinus Pongking yang ke-100 hari telah berlangsung di gereja St. Peter, Kunak.