Perhimpunan hari ke dua telah dimulakan dengan doa pagi dan diikuti dengan Misa harian yang diselebrankan oleh Rev. Fr. Christopher Ireneus.
Fr. Christopher dalam homilinya mengingatkan kepada para peserta berdasarkan kepada petikan pembacaan dari Yohanes 15:18 “Jikalau dunia membenci kamu, ingatlah bahwa ia telah lebih dahulu membenci Aku daripada kamu.” Begitu juga halnya dengan usaha – usaha baik yang sedang dilakukan, belum tentu dunia akan menerimanya. Namun sekiranya itulah kehendak Tuhan maka teruskan usaha untuk membawa kebaikan kepada dunia dengan satu kepercayaan iman bahawa Dia menyertai setiap langkah – langkah kita.
Perhimpunan ini di teruskan dengan sesi – sesi pembentukan melalui dua topik tentang sinodaliti yang telah disampaikan oleh Fr. Alvin Ng, SJ. Topik yang telah sampaikan adalah Sinodaliti dalam Alkitab dan Sinodaliti: Perjalanan bersama Di Diosis Sandakan.
Fr. Alvin Ng, SJ mengingatkan kepada para peserta bahawa sesi – sesi yang telah disampaikan bukanlah satu perkara yang baru namun satu peringatan dan pendalaman tentang erti sinodaliti. Beliau juga mengongsikan bahawa sesi – sesi seperti ini harus dikongsikan kepada mereka yang di ‘luar sana’, mereka yang jauh dari gereja, terpinggir dan mereka yang tidak menghadiri perhimpunan ini.
Sesi yang telah disampaikan juga banyak menyentuh tentang Visi dan Misi Diosis Sandakan dan bagaimana sinodaliti dan proses Malaysia Pastoral Convention (MPC) 2026 boleh menjadi alat dalam merealisasikan Visi dan Misi Diosis Sandakan.
Fr. Alvin dalam sesinya juga mengingat kepada para peserta tentang semangat sinodaliti yang digambarkan dalam buku Keluaran tentang sekumpulan besar orang dalam perjalanan (people on the move). Persoalan yang harus di tanya adalah siapa yang kita ikut? Siapa yang mengikuti kita? Siapa yang ketinggalan? Siapa yang jauh di hadapan? Bolehkah yang pertama pergi ke barisan belakang dan membantu yang terakhir untuk mengejar? Maka sinodaliti memerlukan kerjasama persaudaraan dan ‘discernment.’ (Discernment ialah satu proses dimana kita menggunakan kebijaksanaan manusia untuk mengenali kehendak Tuhan.)
Selepas setiap sesi, peserta diberikan 45 minit untuk doa dan renungan peribadi berdasarkan kepada soalan yang diberikan. Hasil renungan akan di kongsikan di dalam perbualan rohani.
Selesai sahaja sesi Perbualan Rohani, setiap kumpulan akan melaporkan rumusan daripada perkongsian mereka di kumpulan besar.
Sejurus selepas makan malam, Fr. Alvin memberikan sintesis dari keseluruhan sesi yang telah disampaikan dan perkongsian kumpulan yang telah didengari. Sintesis ini kemudiannya dikaitkan dengan satu tayangan yang bertajuk “The Letter”.
The Letter merupakan contoh sinodaliti yang baik. Pelbagai konteks dan pandangan yang mencapai pemahaman bersama, dapat dilihat seperti mana yang diinginkan oleh Roh Kudus. Ideanya bukan untuk mencari keseragaman atau kesesuaian tetapi penyatuan minda dan hati. Wayang ini membawa peserta melihat tentang ekologi dari perspektif empat orang yang telah dipilih oleh Bapa Suci Fransiskus untuk berdialog tentang pengalaman mereka tentang situasi alam sekitar sebagai orang miskin (Senegal), orang muda (India), orang asal (Amazon) dan sepasang suami isteri (Hawai) yang merupakan pakar sains.
Semoga sesi – sesi yang disampaikan dan movie “The Letter” ini dapat membantu para peserta untuk lebih memahami tentang sinodaliti, ekologi dan panggilan Yesus untuk melayani dan menjangkau kepada mereka yang miskin dan menyebar kasih Yesus sehingga ke akar umbi.