Hari ke-3 Perhimpunan Pastoral Diosis pada 5 Mei 2024, telah dimulakan dengan doa pagi bersama alam. Doa ini diadakan dalam bentuk ‘Body Prayer’ sambil menghirup dan menghembus nafas yang Tuhan telah berikan. Setiap gerak geri tubuh mempunyai maksud tersendiri yang memberi erti kepada keamanan, kesyukuran dan penyembuhan diri dengan alam dan dunia. Pada masa yang sama menolak perasaan yang risau, lepaskan aura – aura negatif dan memberi cahaya kepada kegelapan. Doa pagi ini diakhiri dengan mengambil masa untuk hening dan mendengar suara – suara ciptaan Tuhan dan berkat akhir dari Rev. Fr. Christopher Ireneus.

Sesi diteruskan dengan penyampaian laporan Diosis tentang Ekologi. Ekologi telah menjadi fokus utama bagi Diosis Sandakan bermula pada Jun 2023 sehingga Mei 2024. Tim Fokus Diosis telah mengumpul semua laporan dari paroki – paroki dan Misi Paitan sejak akhir bulan Mac 2024 dan telah berdoa, merenung dan berbincang serta merumuskan semua laporan dan menghasilkan satu laporan di peringkat Diosis. Sesi ini telah disampaikan oleh Saudara Francis Tan, salah seorang daripada ahli Tim Fokus Diosis Sandakan.


Dalam laporan tersebut, semua akui bahawa banyak berkat yang telah diterima dari Bumi. Semua orang dapat mengalami kehadiran Tuhan melalui ciptaan-Nya dan memberi peluang kepada umatnya untuk memuliakan Tuhan. Maka menjadi tanggungjawab semua orang untuk menjaga sebaik mungkin Bumi yang telah dianugerahkan oleh Tuhan kepada manusia.
Hasil dapatan dari laporan – laporan paroki juga mengakui bahawa manusia sendiri telah mencacatkan rumah kediaman bersama (our common home) ini. Malah ada banyak kerisauan dan cabaran yang dihadapi dalam melindungi dan menghormati ekologi. Antara cabaran yang kerap diutarakan adalah SIKAP.

  1. Manusia dikurniakan akal dan fikiran tetapi tetap mengambil sikap tidak ambil peduli terhadap perubahan yang berlaku pada Bumi.
  2. Teknologi telah berkembang dengan pesat dan menguasai kehidupan manusia tetapi ia tidak digunakan dengan baik.
  3. Pencemaran alam sekitar, pengurusan pembuangan sampah yang tidak sistematik, kerakusan manusia dan sebagainya telah merosakkan ekosistem dan menjadi ancaman kepada kesihatan manusia dan organisma hidup di Bumi ini.
  4. Ketidaksamaan dalam sosio-ekonomi telah akibat ketidakadilan dan menjadikan lebih ramai orang terpinggir.

Meskipun terdapat cabaran namun masih ada sinar harapan dan kerohanian merupakan tunggak pendekatan iman. Ia menawarkan prospektif menyeluruh dengan kepelbagaian kaedah ke arah melindungi bumi.

  1. Kesedaran iman agar hubungan antara manusia dan Pencipta serta segenap penghuni Bumi ini dapat dikembangkan.
  2. Saling mengingatkan antara sesama bahawa segala ciptaan Tuhan itu adalah tanggungjawab kita, samada secara langsung atau tidak langsung
  3. Menjadikan Injil sebagai sumber kekuatan dan sumber rujukan yang utama agar kesedaran ini akan berterusan dan berkekalan.

Selesai sahaja sesi laporan, 45 minit telah diperuntukan bagi semua peserta untuk berdoa dan membuat renungan peribadi berdasarkan kepada soalan – soalan yang telah diberikan sebelum masuk ke sesi perbualan rohani.

Selepas makan tengahari, semua kumpulan menyampaikan hasil perbualan rohani mereka di kumpulan yang besar. Perkongsian kumpulan diakhiri dengan saat hening selama satu minit untuk menghayati apa yang telah diperkongsikan oleh setiap kumpulan.

Sesi diteruskan dengan sesi langkah ke hadapan oleh Rev. Fr. David Garaman di mana beliau telah membawa para peserta dalam peralihan dari fokus utama ekologi ke fokus MPC 2026 yang seterusnya iaitu keluarga. Rev. Fr. David Garaman juga telah mengingatkan kepada semua peserta bahawa Pelan Pastoral Diosis tetap menjadi fokus utama. Proses Sinod dan MPC 2026 merupakan pemangkin dan bukan pengganti kepada Pelan Pastoral Diosis Sandakan. Dalam kata lain, dua perkara ini akan diintegrasikan dalam pelan pastoral Diosis. Di akhir sesi, Fr. David mengongsikan renungan dari perkongsian Cardinal Mario Grech iaitu Secretary General of the General Secretariat of the Synod.

“Kitab Kejadian adalah rangkaian cerita bukan fiksyen tetapi cerita yang benar tentang manusia dan lebih penting lagi merupakan cerita Allah bersama dengan manusia. Apakah hubungan kitab Kejadian dengan perjalanan sinod kita? Kita semua juga adalah koleksi-koleksi cerita di mana kita membawa cerita-cerita tentang kehidupan manusia sesuai dengan lokaliti setempat kita. Kita mempunyai banyak cerita dan pengalaman yang berbeza dan yang sama, tentang kesengsaraan dan sukacita, kekecewaan dan harapan, pengorbanan dan ganjaran, terabai dan bantuan serta hidup dan mati. Atas semuanya itu, Allah masih menulis cerita kita dan bekerja di dalam setiap cerita hidup kita dan Dia tidak akan berhenti. Bersinodal bukan sahaja berjalan bersama antara kita tetapi juga berjalan bersama Allah. Yesus hadir dalam perjalanan kita walaupun kita mempunyai panggilan yang berbeza-beza. Fahamilah bahawa, cerita kita juga adalah cerita Allah. Maka marilah kita berjalan bersama dengan Roh Kudus agar kita mengalami transformasi yang bermula dari dalam diri kita. Transformasi luaran hanya akan berlaku apabila berlakunya transformasi dalaman.” – Rev. Fr. David Garaman

Langkah ke hadapan ini di teruskan dengan panduan pelaksanaan bagi fokus utama keluarga bagi Jun 2024 sehingga Mei 2025 oleh Puan Anna Teresa. Peserta dikongsikan dengan 7 langkah yang perlu diambil dalam masa 12 bulan sehingga pertemuan semula di Perhimpunan Pastoral Diosis pada Mei 2025 seperti berikut:

Langkah 1: Study Day Amoris Laetitia (Sukacita dalam Kasih)
Langkah 2: Perhimpunan Pastoral Paroki
Langkah 3: Pelan Pastoral bagi Keluarga
Langkah 4: Pelaksanaan Program
Langkah 5: Pemantauan & Evaluasi
Langkah 6: Penghantaran laporan kepada Tim Fokus Diosis
Langkah 7: Perhimpunan Pastoral Diosis

Setelah tiga hari bersama – sama dan berhimpun untuk meRaikan dan menDengar, kini para peserta diteguhkan di dalam perayaan Ekaristi penutup dan pengutusan yang di selebrankan oleh Bishop Julius Dusin Gitom.

Dalam homilinya, Bishop mengingatkan kepada semua paderi, religious dan pemimpin umat awam yang hadir untuk terus melaksanakan program – program penjagaan alam sekitar meskipun akan beralih ke fokus MPC 2026 yang baru iaitu keluarga. Apa yang telah diperolehi semasa perhimpunan jangan hanya di kertas sahaja, namun perlu dikongsikan kepada yang lain dan dilaksanakan sebaik sahaja kembali ke paroki masing – masing.

Bishop Julius telah menyampaikan token penghargaan kepada Fr. Alvin Ng, SJ

Pembacaan Injil Yohanes 15: 9-17 amat bertepatan bagi semua peserta yang diutus untuk berJalan meneruskan pelayanan kerana Yesus telah memilih, mengutus pergi untuk menghasilkan buah yang berlimpah.

Bishop Julius juga telah mengongsikan bahawa dalam pengantar dan pembacaan Injil Yohanes 15:9-17, perkataan KASIH telah disebut sebanyak 20 kali. Kenapa? Kerana orang yang diutus harus memiliki KASIH.

“Jika kita mengasihi antara kita, maka kita melupakan ciptaan Allah yang lain. Dan kita fikir kasih itu hanya untuk antara kita manusia. Tapi kasih itu termasuklah semua ciptaan-Nya. Masalah ekologi bukan masalah Katolik sahaja, tetapi semua. Program kesedaran tentang penjagaan alam sekitar perlu disampaikan kepada semua orang. Bumi ini hanya satu, tidak ada bumi lain. Maka pergilah mengasihi bumi ini dan lakukan dengan semangat sinodaliti.”

– Bishop Julius Dusin Gitom

Perhimpunan ini benar – benar telah dibimbing oleh Roh Kudus. Semoga para peserta akan terus menghidupi semangat sinodaliti seiring dengan Visi dan Misi Diosis dalam perjalanan menuju Malaysia Pastoral Convention 2026.