Sandakan – Seramai 130 orang dari seluruh Diosis Sandakan telah menghadiri Perhimpunan Pastoral Diosis Sandakan kali ke-3 pada 3 sehingga 5 Mei 2024 bertempat di Dewan Konferensi dan Penyembahan Diosis Sandakan.

Dalam Misa Kudus pembukaan pada hari pertama, sempena dengan Pesta Santo Filipus dan Yakobus (St James the less), Bishop Julius Dusin Gitom, selaku selebran utama, telah menyeru kepada para peserta untuk meneladani dua peribadi ini dengan menghidupi semangat untuk membawa orang lain kepada Yesus dan semangat untuk membina komuniti. Tambahannya, untuk memperjuangkan misi di atas perlu adanya semangat dalam Kristus dan berani menjadi penginjil serta saksi Kristus.

Bishop Julius juga telah menyentuh tentang kepimpinan. Dia menyatakan bahawa kepimpinan atau kebesaran itu tidak memerlukan pangkat tetapi kerendahan hati. Inilah panggilan kita dalam pelayanan untuk melayani sebagai pemimpin yang bersifat hamba (servant leadership) tidak kira dalam komuniti kecil, paroki mahupun peringkat Diosis. Belajar dari Santa Teresa dari Calcutta tentang kesederhanaan. Datang dengan kerendahan hati bukan sahaja di hadapan Tuhan tetapi juga di antara satu dengan yang lain.

Kerendahan hati juga telah di sentuh di dalam sesi orientasi. “Buka Kasut” merupakan budaya orang Asia apabila ingin memasuki rumah. Kasut memberi banyak makna yang tersirat seperti status, pangkat dan keberadaan peribadi sebelum perhimpunan. Semua yang hadir diingatkan untuk ‘membuka kasut’ dan dengan kerendahan hati membenarkan Roh Kudus menjadi peneraju utama (protagonist) di sepanjang perhimpunan diadakan.

Sejurus selepas sahaja sesi orientasi, para peserta mulai mengadakan perbualan Rohani berdasarkan kepada soalan ini “Apakah harapan anda bagi Perhimpunan Pastoral Diosis tahun ini?” Dengan lilin di meja masing – masing dihidupkan sebagai simbol Cahaya Kristus, para peserta mulai berkongsi mengikut langkah – Langkah dalam perbualan Rohani (Conversation in the Spirit).

Sesi diakhiri dengan doa malam dan pengumuman. Semoga pengalaman hari pertama ini akan memberi semangat kepada para peserta untuk program hari kedua.