Disediakan Oleh : Macshamus Bilcher ( SOCCOM )

Pada 19 Mei 2024, Salib Belia dan Ikon Bonda Maria telah diserahkan kepada belia gereja St. Mark, Sandakan setelah hampir 30 hari keberadaan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria berada di kapela St Petrus, Sungai Manila. Rombongan belia dari gereja St Petrus memulakan perjalanan pada jam 8:00 pagi dan selamat tiba di gereja St Mark pada jam 8:45 pagi.

Gambar Salib Belia dan Ikon Bonda Maria berada di gereja St Mark

Penerimaan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria ini didahului oleh Tarian Hedung yang dipersembahkan oleh Belia St Mark. Setelah itu, saudari Carnivalyn Ann Arbah sebagai wakil rombongan telah menerima Salib Belia dan Ikon Bonda Maria daripada rombongan belia kapela St Petrus yang diketuai oleh saudara Ajron Collin.

Ketibaan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria di gereja St Mark Sandakan

Saudara Ajron Colin menyerahkan Salib Belia dan Ikon Bonda Maria kepada belia gereja St Mark

Saudari Canny Ann Arbah selaku wakil rombongan belia St Mark menerima Salib Belia dan Ikon Bonda Maria

Pada hari tersebut, gereja Katolik merayakan pesta pentakosta. Berdasarkan homili Rev. Fr Simon Kontou, Paderi Paroki Katedral St Mary, Sandakan, pentakosta membawa maksud pencurahan roh kudus yang telah dicurahkan oleh Tuhan Yesus kepada ke semua para rasulnya. Semasa kita menerima sakramen penguatan, kita sekali lagi dicurahkan oleh kelimpahan kuasa roh kudus. Tidak dilupakan juga, Rev Fr. Simon Kontou juga mengajak semua belia khasnya di gereja St Mark Sandakan untuk bergiat aktif dalam melayani dan menyertai kesemua aktiviti yang telah dianjurkan oleh Komiti Belia St Mark agar iman pelayanan dapat bertumbuh bersama sebagai satu gereja yang bersinodaliti.

Rev. Fr. Simon Kontou merayakan Misa Kudus Pentakosta

Selepas Misa Kudus berakhir, semua belia dan umat dijemput hadir bersama di dewan serbaguna St. Mark untuk acara bersama para belia. Acara dimulakan dengan doa pembukaan dan doa makan yang dipimpin oleh Sr. Noemi Mejia selaku Koordinator Belia Keuskupan Sandakan. Setelah jamuan makan tengah hari, sesi diteruskan dengan aktiviti Sing Along yang diketuai oleh saudari Paula Dennis. Lagu yang diambil adalah sebanyak 5 lagu iaitu “Hari ini ku rasa bahagia”, “Api Kemuliaanmu”, “Di sukacitamu”, “Lebih dalam ku menyembah” dan “Sekali Yesus, Selamanya Yesus”.

Gambar bersama belia sesudah Misa Kudus

Sr. Noemi Mejia sedang memimpin doa pembukaan dan seterusnya doa makan

Seterusnya, sesi “Ice Breaking” yang dijalankan oleh sdra. Nicklas Phuan dan sdri. Alizendra Paulivia yang dinamakan sebagai “Domba Yang Hilang”. Setelah itu, sesi diteruskan dengan sesi permainan yang dijalankan oleh saudari Cherlena Hendry, Silarius Frans, Petrus Suban Kolah dan Carnivalyn Ann yang mana permainan yang diadakan ialah “Simon Says” dan “Bang – bang”. Sesi kemuncak ialah sesi perkongsian daripada 3 orang belia. Doa Kerahiman Ilahi telah dibacakan tepat jam 3 petang dan program diakhiri dengan gambar beramai – ramai.