Disediakan Oleh : Macshamus Bilcher (SOCCOM)
Sandakan: Pada 19 dan 20 Julai yang lalu, seramai 60 peserta telah menyertai bengkel nyanyian koir dan mazmur yang dikendalikan oleh Persatuan Jururawat Katolik Sandakan bersama Majlis Pastoral Paroki Katedral St. Mary Sandakan. Program yang dilaksanakan selama dua hari itu jelas telah memberikan ilmu dan pengalaman baharu khasnya kepada semua peserta yang menyertai bengkel nyanyian koir dan mazmur ini.
Menerusi temu bual yang diadakan bersama dengan peserta yang menyertai bengkel ini, iaitu saudara Frasier, beliau berasa gembira dan bersukacita kerana mendapat peluang untuk hadir dalam bengkel ini. Beliau juga berpeluang untuk mencipta sahutan mazmur bersama sebagai satu kumpulan dan mempelajari lagu – lagu iringan misa kudus khususnya dalam Bahasa Latin. Di samping itu, Saudara Frasier juga mempelajari peraturan yang ada apabila melayani dalam pelayanan koir gereja.
Dalam temubual yang sama, saudari Cecilia turut mengungkapkan rasa sukacita atas peluang dapat menyertai bengkel ini. Menurut belia berumur 19 tahun itu, beliau dapat meningkatkan keyakinan dirinya dalam bidang nyanyian koir. Sepanjang bengkel dijalankan, beliau juga dapat melihat ramai rakannya yang berbakat dalam bidang nyanyian dan mazmur ini. Selain itu, beliau juga dapat memperluaskan lagi kemahiran menyanyi bagi umat katolik yang melayani dalam pelayanan koir.
Harapan bagi semua peserta ialah agar lebih ramai umat yang terbuka hati untuk menyertai bengkel nyanyian koir ini di masa akan datang. Program ini bukan sahaja dapat memberikan ilmu pengetahuan kepada semua yang menyertainya, namun, bengkel ini dapat menjadi dorongan kepada semua untuk masuk dalam pelayanan nyanyian koir. Bengkel ini berakhir pada hari Sabtu jam 4.15 petang.