Disediakan oleh : Genevee Hazel ( Soccom Gereja St Mark ) dan Macshamus Bilcher ( Soccom Katedral St Mary )
Gereja St. Mark, Batu 12, Sandakan – Pada 22 dan 23 Jun 2024 (Sabtu dan Ahad) lalu, Pesta Gamatan St. Mark 2024 telah diadakan selama dua hari berturut-turut. Pesta Gamatan ini diberi nama sempena gabungan dua pesta iaitu Kaamatan dan Gawai. Program ini diadakan sesuai mengikut visi dan misi gereja “komuniti berpusatkan Kristus, melayani sesama dengan kasih”.
Pesta Gamatan ini dimulakan pada 22 Jun 2024 (Sabtu), dimana aktiviti Zumba bersama dengan trainer Pn. Jenny telah berlangsung disusuli dengan aktiviti funfair sebagai langkah untuk mencari dana dalam pembangunan Gereja St. Mark yang dikendalikan oleh Kerasulan Belia Katolik – St. Mark dan St. Peter.
Perayaan diteruskan dengan acara kemuncak pada 23 Jun 2024 (Ahad) iaitu Misa kudus yang dirayakan oleh Rev Fr Simon Kontou. Sebelum misa dimulakan, para religiius diiringi dengan persembahan tarian daripada etnik Timores.
Dalam homili yang disampaikan oleh Rev. Fr. Simon Kontou, Paderi Paroki Katedral St Mary Sandakan, beliau memberikan perumpamaan bahawa gereja merupakan bahtera kapal yang diambang laut bergelora dan kita umat yang berjalan bersama dalam hidup masyarakat merupakan orang yang ada dalam bahtera kapal tersebut. Fr. Simon juga menambah bahawa kehidupan kita ini adalah sama seperti kisah kehidupan Tuhan Yesus. Ada badai dalam kehidupan kita, pergolakan demi pergolakan dan akhirnya kita akan jatuh. Namun, Sabda Tuhan memanggil kita untuk percaya dan berpegang teguh dalam ajaran Tuhan Yesus dalam apa juga situasi hidup kita. Jika kita mempunyai sebarang masalah, maka bangunkanlah Tuhan Yesus. Berharap dan memohon kepadanya.
Setelah Misa Kudus selesai, acara pentas dimulakan. Sebagai permulaan, perarakan masuk Rev. Fr. Simon Kontou (Paderi Paroki), En. Fabian Koret (Pengerusi Komiti Pastoral St. Mark), En. Hilary Henry (Pengerusi Pesta Gamatan), En. Jaikry @ Jack D. Joseph (Timbalan Pengerusi Pesta Gamatan) dan En. Dimeh Koyopo ke dewan serbaguna gereja St. Mark yang diiringi dengan tarian dari Etnik Sarawak. Sebagai gimik perasmian, acara pengetaman padi dan acara menyumpit dipilih kerana dapat melambangkan etnik Sabah dan Sarawak.
Paderi Paroki, Rev. Fr. Simon Kontou sekali lagi diberi peluang untuk menyampaikan mesej kepada semua umat, beliau mengongsi kesyukuran ke atas Allah yang telah memberkati kita didalam kehidupan kita semua. Beliau juga memperingatkan kita bahawa setiap suku bangsa itu ada perayaanya tersendiri. Fr. Simon juga mengucapkan terima kasih kepada para penderma yang sungguh bermurah hati dan sekaligus memberikan pesan untuk bergembira di dalam perayaan ini tanpa mengira latar belakang dan bangsa.
En. Hilary Henry juga dalam ucapannya, menyatakan perasaan amat bersyukur kepada Tuhan dan berterima kasih atas kesempatan dan kepercayaan yang diberikan kepadanya selaku pengerusi Pesta Gamatan St. Mark 2024 kali ini. Sama seperti Paderi paroki, beliau juga turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada setiap penderma yang bermurah hati.
Setelah ucapan berlangsung, pesta ini dilanjutkan dengan bermacam acara iaitu persembahan pentas dari Pelajar Sekolah Seni Malaysia Sabah (SSMS) dan Etnik Sarawak, pertandingan Sugandoi Dazanak Gamatan 2024, cabutan tiket bertuah dan pertandingan Zandi Tavanus Gamatan 2024.
Pesta Gamatan St. Mark 2024 diakhiri dengan doa penutup oleh Rev. Fr. Simon Kontou dan gotong royong.