Artikel disediakan oleh: Clly Gulimit

TELUPID – Pada 14 Disember 2024, pemimpin ibadat dan pelayan komuni tak lazim dari seluruh paroki berhimpun di Gereja St. Martin, Telupid untuk mengikuti rekoleksi yang bertujuan untuk memperbaharui komitmen pelayanan mereka. Selepas sesi pendaftaran, program dimulakan dengan Adorasi sebagai doa merenung panggilan untuk melayani, yang menjadi saat bagi setiap peserta merenungkan panggilan mereka sebagai pemimpin ibadat dan pelayan komuni. Sesi ini memberikan kesempatan istimewa untuk mengucapkan syukur kepada Tuhan atas kepercayaan yang diberikan kepada mereka untuk melayani di ladang Tuhan.

Para peserta menyalakan lilin dan berdoa di hadapan Sakramen Mahakudus semasa Adorasi

Rekoleksi kali ini memberi peluang kepada para pemimpin ibadat dan pelayan komuni mengimbas kembali pengalaman pelayanan mereka sepanjang tahun. Para peserta diajak mengenang segala sukacita yang dirasai, cabaran yang dihadapi, serta cabaran dan momen- momen kekecewaan yang menguji iman serta komitmen mereka. Para peserta dibimbing dalam suasana doa dan refleksi. Mereka dipandu dalam suasana hening untuk merasai bimbingan Roh Kudus untuk menyerahkan segala pengalaman itu kepada Tuhan sambil membuat keputusan untuk meneruskan pelayanan.

Peserta kemudian dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk sesi perbualan rohani. Dalam kumpulan ini, mereka saling berkongsi tentang sukacita yang dirasai, cabaran yang dihadapi, serta harapan yang mereka miliki untuk diri sendiri, keluarga, komuniti, dan gereja. Sesi ini bukan sahaja membantu peserta merenungkan perjalanan pelayanan mereka tetapi juga mengeratkan hubungan antara sesama serta memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi dan mendengar.

Rekoleksi disampaikan oleh Rev. Fr. Christopher Ireneus

Turut diselitkan dalam rekoleksi, peserta diajak merenung peranan watak-watak penting dalam kisah Adven dan Natal seperti St. Joseph, para gembala, malaikat, tiga raja, dan Bonda Maria. Peranan mereka dikaitkan dengan panggilan dan tanggungjawab sebagai pemimpin ibadat dan pelayan komuni, memberikan inspirasi baru untuk melayani dengan hati yang lebih tulus.

Sesi Perbualan Rohani

Seterusnya, para peserta telah membuat pengisian borang pembaharuan komitmen. Setiap individu diberikan peluang untuk membuat pilihan dan menyatakan secara rasmi kesediaan mereka untuk meneruskan pelayanan. Rekoleksi diakhiri dengan pemberkatan dan pengutusan semua pemimpin ibadat dan pelayan komuni tak lazim oleh paderi paroki, Rev. Fr. Christopher Ireneus.

Para pemimpin ibadat dan pelayan komuni tak lazim yang telah memperbaharui komitmen serta menerima pengutusan.

Rekoleksi ini memberikan harapan bahawa setiap peserta akan terus melayani dengan semangat yang baharu. Semoga sukacita dan inspirasi yang diterima sepanjang rekoleksi ini menjadi landasan yang kukuh untuk menghadapi cabaran pelayanan pada masa hadapan, dengan iman yang semakin mendalam dan komitmen yang lebih teguh terhadap Tuhan dan gereja.