Oleh: Annasauna Majaun
Paitan: Seminar Sukacita dalam Kasih Keluarga yang berlangsung selama dua hari di Gereja St. Francis Assisi, Kampung Sukang, Misi Paitan telah berjalan dengan jayanya. Seramai 167 peserta yang telah mengikuti program ini.
Dalam program ini, para peserta telah diberikan beberapa sesi pengetahuan, semangat dan kesedaran di kalangan ahli keluarga yang mengikuti program ini. Antara sesi yang disampaikan oleh para penceramah iaitu;

1. Komunikasi dan peranannya dalam keluarga, oleh Sdra. Welly Pius

2. Pengambilan substan dan ketagihan gajet: kesannya kepada keluarga, oleh Sdra Gabriel Bali

3. Cabaran keluargaku, Sdra. John Tan

4. Memahami Keluargaku oleh Sdri Eva Siruno

5. Keibubapaan Cemerlang, oleh Sdra Cesar Siruno

6. Harapan Keluarga Ku

7. Keluarga adalah anugerah dan bukan masalah oleh Fr Arthur John
Rev. Fr. Arthur John juga memberikan kata-kata semangat kepada semua umat melalui misa kudus yang disampaikannya. Fr. Arthur mengatakan bahawa keluarga yang kudus adalah keluarga yang kurang sempurna dengan adanya pertelingkahan, pergaduhan dan salah faham. Namun, kerana kasih dan perdamaian itu ada, semua masalah dan pergaduhan dapat di leraikan dengan adilnya. Paus Fransiskus juga mengatakan bahawa dalam keluarga itu selalu saja ada pergaduhan namun kasih Tuhan yang mengeratkan antara sesama. Bergaduh itu tidak lari dari sesebuah keluarga namun jangan lupa kata maaf itu harus ada. Seperti dalam injil minggu ini, kita harus contohi keluarga kudus Maria, Yesus dan Yosef kerana Bonda Maria begitu setia dengan Tuhan, manakala Sto. Yosef begitu setia dengan tugasnya melindungi keluarga dari ancaman dan bahaya, khasnya melindungi anaknya Tuhan Yesus Kristus. Para ibu bapa juga harus setia melayani Tuhan dan keluarga. Selalu setia dalam hubungan kekeluargaan; mencontohi seperti Simeon dan Hana yang setia menanti kedatangan Tuhan. Kita yang semakin berusia ini harusnya setia dalam keluarga dan semakin kita berusia semakin kita dekatkan diri kepada Tuhan.

Pembentangan para lelaki bujang

Pembentangan kumpulan para bapa

Pembentangan remaja perempuan

Para Ibu sedang menulis jawapan dan dibentangkan kemudian
Semasa para peserta yang dewasa mendengar ceramah dan membuat pembentangan, kanak-kanak kecil melakukan pelbagai aktiviti seperti menyanyi, mewarna, dan melukis. Mereka menerima hadiah selepas aktiviti mereka dipamerkan di dalam dewan.

Adik adik kecil bangga dengan hasil mereka mereka
Dalam sesi perkongsian pula, wakil dari seorang ibu, Puan Julita Singki mengatakan sangat bersyukur kerana dapat mengikuti program ini dan dia tersentuh dengan sesi keibubapaan cemerlang. Dia merasa gagal menjadi seorang ibu kerana gagal mendidik anak-anaknya dalam pelajaran. Dari wakil Bapa pula, Sdra Sudin bin Sulaiman mengatakan bahawa dia begitu bersyukur sebab dapat mengikuti program ini serta dapat memberikan pengetahuan bagaimana mendidik anak-anak dan berdamai dalam keluarga manakala wakil dari belia, Jalip Girag berasa berterima kasih dan bersyukur kerana dalam program ini dia tersentuh dengan sesi harapan keluargaku. Dia akan berusaha membawa keluarganya ke arah yang lebih baik contohnya datang bersama ke gereja setiap minggu dan berdoa bersama.
Keluarga adalah harta sebenar yang tidak boleh dibeli dengan wang dan emas. Keluarga adalah segala-galanya,melalui kasih Yesus keluarga dapat bersatu. Dalam keluarga itu kita harus hargai, lindungi, sayang dan dihormati. Selagi mereka ada, hargailah mereka kerana keluarga adalah harta yang sangat berharga.