Artikel disediakan oleh: Helena Salati
Gambar: SOCCOM

TELUPID – Pada 8 Mac 2025, Paroki Santo Martin Telupid telah menganjurkan Perhimpunan Pastoral Paroki yang berlandaskan dokumen gereja Amoris Laetitia, dengan tema “Sukacita Kasih dalam Keluarga”. Program ini menampilkan penceramah jemputan, Rev. Fr. Dr. Peter Abas dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu, dan dihadiri oleh 472 peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, dari kanak-kanak hingga dewasa. Sambutan luar biasa ini mencerminkan betapa pentingnya nilai kekeluargaan dalam kehidupan beriman.

Para peserta Perhimpunan Pastoral Paroki bersama paderi paroki – Rev. Fr. Christopher Ireneus dan penceramah – Rev. Fr. Dr. Peter Abas

Setelah selesai pendaftaran, program dimulakan dengan Misa Kudus pembukaan yang diselebrankan oleh Rev. Fr. Dr. Peter Abas. Misa ini menjadi titik permulaan yang penuh berkat, menyerahkan seluruh perjalanan program ke dalam tangan Tuhan. Usai Misa, sesi pertama bertajuk “Gereja Domestik yang Hidup dalam Firman dan Sakramen” diteruskan. Dalam sesi ini, Rev. Fr. Dr. Peter Abas menekankan bahawa kesejahteraan keluarga bukan hanya bergantung pada keperluan fizikal, tetapi juga pada kekuatan iman dan kehidupan rohani. Beliau menjelaskan bahawa cinta kasih merupakan nadi kehidupan keluarga, kerana tanpanya, rumah tangga tidak dapat menjadi terang dan garam bagi dunia. Petikan 1 Korintus 13:4 mengingatkan bahawa kasih itu sabar, murah hati, tidak mementingkan diri sendiri. Beliau turut menegaskan bahawa banyak keluarga menghadapi krisis akibat kurangnya cinta kasih, ketiadaan sokongan, serta kesukaran untuk saling memaafkan. Oleh itu, beliau mengajak setiap keluarga untuk terus hidup dalam firman Tuhan dan menghayati sakramen dalam kehidupan harian mereka.

Rev. Fr. Dr. Peter Abas – penyampai sesi sepanjang Perhimpunan Pastoral Paroki

Beliau turut mengingatkan bahawa gereja domestik bukan sekadar tempat berlindung, tetapi juga medan untuk melayani dan menyebarkan kasih Tuhan. Walaupun setiap keluarga memiliki kekurangan, Tuhan tetap hadir sebagai sumber kekuatan dan pengharapan. Sebagai inspirasi, Saudara Comeswelt, seorang wakil belia, tampil berkongsi pengalaman tentang “Rumah yang Memberi Pengharapan”. Dalam perkongsiannya, beliau menceritakan tentang perjalanan pelayanan dalam hidupnya serta bagaimana golongan belia dapat mengamalkan nilai-nilai Amoris Laetitia dalam kehidupan berkeluarga dan gereja domestik. Perkongsian daripada Saudara Comeswelt memberikan dimensi yang lebih dekat kepada para peserta, khususnya golongan muda, tentang bagaimana iman dapat diterapkan dalam kehidupan seharian. Beliau menekankan bahawa keluarga yang berlandaskan kasih Tuhan bukan sahaja menjadi tempat berteduh, tetapi juga wadah untuk membangun karakter, kepercayaan, dan semangat pelayanan. Dalam suasana penuh refleksi, peserta diajak untuk melihat kembali peranan mereka dalam keluarga, sama ada sebagai ibu bapa, anak, atau saudara, dalam usaha membentuk rumah tangga yang mencerminkan cinta Kristus.

Sesi perbualan rohani

Seterusnya, sesi kedua bertajuk “Membina Perkahwinan Katolik dengan Kasih Allah dan Pengampunan” menekankan kesucian sakramen perkahwinan. Rev. Fr. Dr. Peter Abas menegaskan bahawa perkahwinan bukan sekadar ikatan fizikal tetapi juga ikrar setia di hadapan Tuhan yang menuntut kesabaran, pengorbanan, dan pengampunan. Suami isteri harus saling memahami, mengelakkan prasangka, serta sentiasa mengutamakan komunikasi yang sihat. Beliau juga menekankan bahawa dalam perkahwinan Katolik, pasangan bertanggungjawab membimbing iman anak-anak, memastikan mereka menerima sakramen utama gereja, dan membina asas keluarga yang kukuh dalam iman Katolik.

Sesi perdamaian dan pemberkatan keluarga

Dalam sesi ketiga, kepentingan perdamaian dalam kehidupan berkeluarga menjadi fokus utama. Sebelum itu, peserta berkumpul dalam kumpulan kecil untuk sesi perbualan rohani, di mana mereka berkongsi berkat dan kegembiraan dalam hubungan kekeluargaan, serta merenungkan cabaran dan kerisauan yang mempengaruhi keharmonian keluarga. Seterusnya, sesi perdamaian dan pemberkatan keluarga menjadi kesempatan bagi ibu bapa dan anak-anak untuk menyembuhkan luka emosi serta menyuburkan kembali cinta kasih dan kedamaian dalam keluarga. Momen paling mengharukan dalam sesi ini adalah ketika ahli keluarga saling berpelukan dengan penuh kasih sayang, mencerminkan kehangatan serta kesediaan untuk berdamai. Detik ini mengingatkan bahawa setiap keluarga memiliki peluang untuk kembali bersatu, asalkan mereka rela mengampuni dan membuka hati kepada kasih Tuhan.

Komiti Alkitab bersama Komiti Kateketikal mengendalikan aktiviti kanak-kanak

Sementara itu, sesi khas untuk kanak-kanak turut berlangsung serentak, dikendalikan oleh Komiti Alkitab dan Komiti Kateketikal. Pelbagai aktiviti interaktif telah disusun, antaranya melukis bertemakan “Keluarga Bahagia dalam Kasih Tuhan”, menulis kad ucapan kasih buat ibu bapa, mencipta doa kreatif, serta bermain permainan Mix & Match dan Cari Perkataan. Tayangan video “Anak yang Hilang” turut disajikan, memberikan pengajaran tentang pengampunan dan kasih Tuhan. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga membentuk nilai rohani, kreativiti, dan kasih dalam diri mereka.

Persembahan daripada Zon St. Roderick yang menjuarai pertandingan mencipta dan nyanyian lagu Amoris Laetitia

Sebagai acara kemuncak, pertandingan nyanyian lagu bertemakan Amoris Laetitia berlangsung dengan penuh semangat. Lima kumpulan dari seluruh Paroki Santo Martin Telupid bertanding di peringkat akhir, mempersembahkan karya terbaik mereka yang menggambarkan nilai kasih dan kegembiraan dalam keluarga. Kumpulan dari Zon Santo Roderick berjaya menawan hati juri dan dinobatkan sebagai juara pertandingan. Selain itu, sempena Hari Wanita Sedunia, satu penghargaan istimewa diberikan kepada para wanita. Rev. Fr. Christopher Ireneus, selaku pembimbing rohani Kerasulan Wanita Katolik Keuskupan Sandakan, turut serta dalam acara ini. Para wanita dijemput ke pentas untuk memotong kek kesyukuran sebagai tanda penghargaan atas peranan dan sumbangan mereka dalam keluarga serta masyarakat.

Para wanita diraikan sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia

Secara keseluruhannya, Perhimpunan Pastoral Paroki ini bukan sekadar sebuah pertemuan rohani, tetapi juga perjalanan bermakna dalam menghayati nilai-nilai Amoris Laetitia dalam kehidupan berkeluarga. Melalui pelbagai aktiviti yang dirancang, setiap peserta berpeluang mendalami makna kasih, kegembiraan, dan kesatuan dalam keluarga berlandaskan iman. Seperti yang dihasratkan oleh Bapa Suci Fransiskus, kasih dalam keluarga harus terus dipupuk, berkembang, dan menjadi sumber berkat bagi sesama. Semoga semangat yang disemai sepanjang program ini terus mekar dalam kehidupan harian, membawa perubahan positif dalam komuniti dan gereja.