Artikel oleh: Mazdollyna Majalin Eborok
Gambar oleh : KKD Kg Jawa 1 St. Frances of Rome

KAMPUNG JAWA LAHAD DATU: Pada 11 Mac yang lalu, Komuniti Kristian Dasar (KKD) Kg Jawa 1 St. Frances of Rome telah mengadakan sambutan istimewa sempena memperingati ulang tahun St. Frances of Rome, santa pelindung kaum ibu, janda, dan mereka yang berkhidmat untuk kemanusiaan. Acara tersebut diwarnai dengan lawatan kerohanian oleh Paderi Paroki St. Dominic, Rev Fr Stanley William Matakim, yang hadir untuk memimpin Misa Kudus dan merapatkan hubungan rohani bersama komuniti setempat.

St. Frances of Rome, yang dikenali sebagai simbol ketabahan, kesetiaan dalam perkahwinan, serta dedikasi kepada golongan miskin, menjadi inspirasi utama perayaan ini. “Seperti St. Frances, kita dipanggil untuk menjadi cahaya dalam kegelapan, terutama melalui tindakan kecil penuh kasih setiap hari.”

Acara dimulakan dengan Misa Kudus di Perumahan Keluarga Rosalia Kg Jawa, diikuti dengan makan malam bersama para ahli KKD Kg Jawa 1 dan doa makan turut dibimbing oleh Rev Fr Stanley. Di dalam homili, Fr. Stanley turut mengatakan untuk kerap mendekatkan diri kepada Tuhan dengan berdoa. ‘Berdoalah dengan sepenuh hatimu, berdoalah Doa Bapa Kami kerana doa ini adalah pedoman yang diajar Yesus Kristus sendiri, katanya.

Fr. Stanley turut meluangkan masa berbual mesra dengan warga komuniti, mendengar luahan hati, serta mendoakan keperluan rohani mereka. Sambutan ini juga diserikan dengan persembahan oleh kanak-kanak, ibu-ibu dan nyanyian oleh KKD Kg Jawa 1, ‘Exchange gift’ kanak-kanak dan Dewasa, ‘Games’ dan penyampaian cenderahati kepada paderi itu.

Ketua KKD Kg Jawa, Encik Roland Rosalia, menyatakan rasa syukur atas kehadiran paderi dan makna mendalam yang dibawa oleh perayaan ini. “Lawatan ini bukan sekadar ritual, tetapi pengingat untuk kita terus bersatu dalam iman dan tindakan. St. Frances mengajar kita bahawa kekudusan boleh dicapai melalui pelayanan harian dan bergiat aktif dalam menjadi sinar harapan diluar sana sekaligus dunia,” katanya.

Sebagai penutup, Fr. Stanley berpesan agar semangat St. Frances of Rome terus menyatukan komuniti dalam kasih dan kerendahan hati. Sambutan ini bukan sahaja mengukuhkan iman, tetapi juga memperkukuh ikatan sosial penduduk Kg Jawa, membuktikan bahawa warisan rohani tetap relevan dalam dunia moden.