oleh Cherlena Merylyn Henry
Gereja St. Mark, Sandakan, 23 Mac 2025 – Satu kenangan indah penuh kasih dan kehangatan terukir dalam lawatan susulan program KEP yang dianjurkan oleh Majlis Pastoral St. Mark (MPSM) bersama Charis St. Mark atas cadangan Rev. Fr. Simon J. Kontou. Lawatan yang berlangsung dari jam 2:00 petang hingga 4:00 petang ini bertujuan untuk menjangkau komuniti migran, khususnya umat Katolik yang menetap di Perkampungan Tator, Batu 8, Sandakan.
Lawatan ini di sambut dengan penuh kegembiraan oleh komuniti setempat, dengan kehadiran kira-kira 30 hingga 35 umat dari Gereja St. Mark untuk menyampaikan sumbangan kasih. Program dimulakan dengan sesi pujian dan penyembahan yang menghidupkan semangat kekeluargaan, diikuti dengan bacaan Injil serta perkongsian inspirasi daripada Rev. Fr. Simon J. Kontou yang menyentuh hati setiap yang hadir.
Dalam suasana penuh keakraban, seramai 40 orang kanak-kanak menerima agihan ‘goodies’ sebagai tanda kasih, manakala keluarga yang memerlukan diberikan sumbangan berupa barangan harian dapur dan pakaian sama seperti pesanan Bapa Paus Fransiskus mengenai musim pra-paskah iaitu Berdoa, Berpuasa dan Beramal. Sebanyak lapan buah keluarga terlibat dalam program ini, dan aktiviti lawatan serta pemberian bantuan dijalankan di kawasan gereja yang berhampiran dengan kediaman mereka. Program ini juga menjadi satu bentuk nyata kasih yang diamalkan dalam kehidupan seharian.
Misi utama lawatan ini adalah untuk mengenal pasti serta menjangkau umat Katolik migran yang sudah lama menetap di Sandakan tetapi sukar untuk hadir dan menjalankan ibadah di gereja. Lawatan ini bukan sekadar menyampaikan sumbangan, tetapi juga membuka pintu bagi mereka untuk kembali kepada komuniti gereja dan merasakan kehangatan kasih persaudaraan seiman. Hasil daripada lawatan ini, satu kesedaran besar telah dicapai – kewujudan umat Katolik migran yang selama ini terasing, kini mendapat perhatian dan sokongan. Melalui inisiatif ini, diharapkan mereka dapat lebih dekat dengan komuniti gereja serta terus mendapat bimbingan rohani dan bantuan keperluan asas. Lawatan ini tidak hanya sekadar satu kunjungan, tetapi satu langkah besar dalam mengukuhkan kasih sejati dalam komuniti. Dengan semangat kebersamaan dan kepedulian, program ini telah menjadi satu tanda harapan dan kebangkitan bagi umat Katolik migran di Perkampungan Tator. Semoga program sebegini akan terus menjadi jambatan kasih bagi mereka yang memerlukan.