Oleh: SOCCOM Kateketikal

TELUPID – Perayaan Malam Paskah di Gereja St. Martin Telupid tahun ini menjadi detik istimewa buat 131 individu yang menerima pelbagai sakramen dalam satu upacara keagamaan yang penuh penghayatan dan semangat kebersamaan. Upacara penerimaan sakramen yang berlangsung pada 19 April 2025, malam Sabtu Suci ini merangkumi Sakramen Baptis, Sakramen Krisma serta penerimaan ke dalam Persekutuan Penuh Gereja Katolik. Upacara suci ini disempurnakan oleh Rev. Father Christopher Ireneus, paderi paroki St. Martin Telupid.

Suasana Malam Paskah yang diterangi dengan Cahaya Lilin

Sesi pendaftaran bermula seawal pukul 7:00 pagi dikendalikan oleh Komiti Katekatikal Paroki St. Martin Telupid. Beberapa upacara awal yang dijadualkan seperti Penyerahan Doa Bapa Kami, Peneguhan Syahadat Para Rasul, Efata, serta Pengurapan dengan Minyak Katekumen telah dilangsungkan sekitar pukul 10:45 pagi dan selesai sepenuhnya sebelum pukul 1:00 tengah hari.

Pada sebelah malam, selepas homili, upacara penerimaan sakramen dimulakan dan mengambil masa hampir tiga jam. Namun, segalanya berlangsung dalam suasana teratur dan penuh ketenangan, disaksikan oleh umat yang hadir bagi merayakan kebangkitan Kristus. Cahaya lilin yang menyala dan suasana liturgi yang hening mengukuhkan lagi makna sakral malam tersebut.

Penerimaan ke dalam Persekutuan Penuh Gereja Katolik

Sejak awal pemilihan katekumen dan sepanjang siri upacara tobat 1, 2 dan 3, paderi paroki menegaskan bahawa menjadi Katolik adalah satu pilihan dan merupakan panggilan Ilahi. Beliau turut memberi pesan khusus kepada para remaja dan belia agar mempertahankan iman mereka walaupun berhadapan dengan cabaran, terutama dalam memilih pasangan hidup. Berkat penyertaan Tuhan, seluruh upacara berjalan lancar dan penuh dengan sukacita.

Penerimaan Sakramen Pembaptisan pada Malam Paskah

Malam Paskah ini benar-benar dirasai sebagai satu perayaan iman, harapan dan kebangkitan, bukan sahaja untuk Yesus Kristus, tetapi juga bagi setiap insan yang menerima sakramen pada malam tersebut.