Perjalanan Iman Saya Menuju Gereja Katolik

 Kapela St. Maria Ratu Rosari Mayvin
Zon St. Susanna
Gereja St. Martin Telupid

Nama saya Suriadi Sharifuddin, berasal dari Kampung Semundoh, Entilibon, Tongod. Pada tahun 2010, saya memulakan kerjaya saya di sebuah ladang sebagai penyelia dan mendirikan rumah tangga pada tahun yang sama. Saya berasal daripada denominasi Gereja SIB, manakala isteri saya pula adalah daripada Gereja Katolik.
Sejak awal perkahwinan kami, keluarga sebelah isteri sering mengajak saya mengikuti kelas IKD (Inisiasi Kristian Dewasa). Namun, ketika itu hati saya belum terbuka, mungkin kerana latar belakang kepercayaan saya yang berbeza. Dalam hati saya tertanya-tanya, “Apakah itu Katolik?”
Tidak lama selepas itu, saya mula mengikuti Misa Kudus yang diadakan di kapela berhampiran tempat kerja saya. Namun, pengalaman pertama itu terasa asing dan hati saya masih kosong. Segalanya terasa sangat berbeza berbanding dengan ibadah yang saya alami di Gereja SIB.
Beberapa tahun kemudian, dengan dorongan berterusan daripada keluarga isteri, hati saya akhirnya terbuka untuk mengikuti kelas IKD. Dalam tempoh lebih setahun, saya mula mengenali dan memahami ajaran Gereja Katolik dengan lebih mendalam. Proses ini membuka hati saya sepenuhnya untuk menerima Sakramen Pembaptisan, satu saat yang amat bermakna kerana saya percaya ia menyucikan dan mengampuni segala dosa saya. Ia menjadi titik permulaan kepada perjalanan iman saya sebagai seorang Katolik.
Salah satu cabaran terbesar saya ketika mengikuti kelas IKD ialah pengurusan masa. Saya perlu membahagikan masa antara tuntutan kerja dan komitmen rohani. Namun, semua itu saya hadapi dengan kesungguhan dan doa. Bagi saya, Pembaptisan melambangkan penerimaan sepenuhnya terhadap Kristus dan keyakinan bahawa penyelamatan adalah melalui penebusan-Nya.
Kini, untuk terus memperdalamkan iman, saya berusaha membaca dan merenungkan firman Tuhan serta mendengarkan sabda-Nya. Saya juga belajar untuk melayani sesama dengan tulus, walaupun kadang kala ia menuntut pengorbanan yang besar. Sebagai umat Katolik, saya percaya bahawa pelayanan adalah wujud nyata kasih Kristus kepada sesama.
Saya bersyukur atas perjalanan iman ini, dan saya berdoa agar Tuhan terus membimbing saya dan keluarga untuk hidup dalam kasih dan kebenaran-Nya.

 

Perjalanan Menuju Satu Iman: Kesaksian Dari Hati

Kapela St. Joseph Nangoh
Zon St. Nicholas
Gereja St. Martin Telupid

Shalom dan salam damai. Nama saya Nomilla Erica Philip, berasal dari Kampung Sualok dan berumur 26 tahun. Saya dilahirkan pada 23 Oktober 1999 dan dibaptis dalam gereja Anglikan. Sebelum mengikuti Kelas Inisiasi Kristian Dewasa (IKD), saya adalah seorang Kristian Anglikan yang aktif dalam pelayanan serta program-program gereja seperti KMM, Kem Belia dan lain-lain.
Namun begitu, di sebalik semua penglibatan itu, saya tetap merasa kosong dan keliru tentang Tuhan. Saya sering menjadi bahan bualan masyarakat hanya kerana ibu bapa saya jarang datang ke gereja untuk beribadat dan hanya akan datang ke gereja pada Hari Natal. Saya berasa sedih dan malu. Pernah saya berdoa, “Tuhan, apa lagi yang harus aku lakukan supaya Engkau melembutkan hati ibu bapaku untuk ke gereja? Aku malu, Tuhan.” Akhirnya, kerana tekanan dan rasa malu, saya sendiri berhenti pergi ke gereja. Saya sempat menghadiri ibadah di gereja Pelita Cahaya, kerana umat di sana tidak pernah bertanya tentang orang tua saya. Namun, atas beberapa sebab tertentu, saya berhenti menghadiri Ibadat di gereja tersebut.
Saya mengambil keputusan untuk mengikuti kelas Inisiasi Kristian Dewasa (IKD) pada tahun 2024/2025 di St. Joseph Nangoh kerana saya tidak mahu mengalami perkahwinan campur, walaupun dibenarkan oleh gereja. Saya memikirkan masa depan anak-anak saya kelak, agar mereka tidak bingung dalam memilih kepercayaan. Semasa mengikuti IKD, saya belajar memahami doa-doa asas dan lebih daripada itu, saya merasakan keindahan perjalanan hidup Yesus yang dilalui oleh Gereja Katolik. Salah satu momen yang sangat menyentuh hati saya adalah ketika sesi Salam Damai. Saya benar-benar merasakan kasih dan penerimaan dari seluruh umat.
Ibu tanggung saya sangat membantu perjalanan iman saya. Beliau memberikan buku-buku tentang iman Katolik dan pasangan saya sendiri sering mengingatkan, “Berdoalah, mintalah, ketuklah—Tuhan akan mendengar.” Saya bekerja jauh dari Nangoh, iaitu di kawasan Tongod dan jarak, kekangan kerja serta kewangan sering menjadi cabaran untuk mengikuti kelas. Namun, saya bersyukur kerana mempunyai ibu tanggung, guru pembimbing dan pasangan yang sentiasa menyokong serta mendorong saya untuk terus setia dalam proses pembelajaran ini.
Pada malam Paskah, saya dipenuhi dengan kegembiraan dan rasa syukur yang mendalam. Setelah sekian lama, akhirnya saya dapat menyambut Tubuh dan Darah Yesus. Ketika menerima komuni kudus dari Fr. Christopher, saya tidak mampu menahan air mata. Saya merasakan Roh Kudus hadir bersama kami malam itu. Ia adalah saat yang sangat suci dan bermakna dalam hidup saya. Kini, saya sangat bersyukur diterima dalam keluarga besar Gereja Katolik. Sukacita ini begitu mendalam dan saya ingin terus bertumbuh dalam iman serta melayani Tuhan. Inilah permulaan perjalanan baru saya sebagai seorang Katolik, dan saya percaya Tuhan akan terus memimpin setiap langkah saya.

Terima kasih. Salam damai. Tuhan memberkati.

 

 

“Kesetiaan Tuhan Menyentuh Hidupku”

Gereja St. Martin Telupid
Zon St. Padre Pio

Saya Arnie Petrus, berusia 20 tahun, merupakan anak keempat dari lima adik-beradik. Saya ingin berkongsi bagaimana Tuhan memimpin saya kembali kepada-Nya. Sebelum mengikuti kelas Inisiasi Kristian Dewasa (IKD), saya sering ke gereja bersama kakak, tetapi sejak pandemik Covid – 19 dan kakak berpindah agama, saya berhenti mengikuti kelas IKD. Rasa takut dan malu membuat saya menjauh dari gereja, apalagi keluarga saya juga jarang terlibat dalam kegiatan gereja dan jarang datang bersembahyang.
Namun, kerinduan kepada Tuhan tidak pernah padam. Saya terus berdoa agar diberi keberanian. Ketika ayah saya meninggal pada 25 Februari 2024, Tuhan menjawab doa saya melalui uncle Martinus Hera. Uncle datang melawat dan berdoa untuk mendiang ayah saya. Uncle mengetahui kami sekeluarga belum dibaptis dalam Gereja Katolik dan mencadangan kami mengikuti kelas IKD. Dari sanalah perjalanan saya ke kelas IKD bermula.
Meski ada yang berkata jalan mengikuti iman Katolik itu sulit, namun saya tetap percaya bila Tuhan memanggil, Dia juga menyediakan jalan. Di kelas IKD, saya bertemu pembimbing dan rakan yang sabar dan penuh kasih. Saya mula berani hadir Misa Kudus, mengenal lebih ramai umat, dan mendalami ajaran Kristus.
Saya belajar bahwa menjadi pengikut Kristus bukan soal keagamaan, tetapi menyerahkan seluruh hidup kepada-Nya. Kasih, pengampunan, dan kerendahan hati menjadi pelajaran utama bagi saya. Saya ingin menjadi berkat bagi keluarga saya dan orang – orang di sekitar saya dan saya mahu melayani Tuhan dengan sepenuh hati, meski harus berkorban.
Saya tidak sempurna, tapi saya tahu Tuhan dapat memakai siapa saja yang mau taat. Inilah anugerah yang besar bahawa di tengah kelemahan saya, Tuhan memanggil dan memulihkan saya. Kini saya sangat bersyukur dengan anugerah dari Tuhan ini.

 

“Kasih Tuhan Menyapa di Setiap Musim Hidup”

Saya, Maslinah Silang, berusia 61 tahun. Saya dari Kapela St. John Telupid, Zon St. Roderick Gereja St. Martin Telupid. Saya dilahirkan dalam keluarga Anglikan dan sejak kecil telah dibesarkan dalam tradisi tersebut. Pada tahun 1984, saya berkahwin dengan suami saya yang beragama Katolik dan perkahwinan kami diberkati dalam Gereja Katolik. Namun, pada ketika itu, saya belum benar-benar berminat untuk mengenali atau mendalami ajaran Gereja Katolik.
Oleh kerana pekerjaan suami saya sering berpindah randah, saya mengalami pelbagai perubahan dan cabaran dalam kehidupan. Dalam salah satu fasa kehidupan kami, saya mula merasakan dorongan untuk menghadiri Misa Katolik. Keinginan ini menjadi titik tolak kepada keterbukaan hati saya terhadap iman Katolik. Sebuah pengalaman luar biasa semasa menyertai Seminar Hidup Baru telah menjadi pemangkin kepada perubahan besar dalam diri saya.
Saya mula mengikuti Kelas IKD pada tahun 1990-an, tetapi sayangnya terpaksa berhenti kerana beberapa sebab tertentu. Namun begitu, saya terus menghadiri Misa Kudus atau Ibadat Sabda setiap hari Minggu kerana merasakan satu kedekatan peribadi dengan Tuhan dalam suasana ibadah Katolik. Doa rosari menjadi amalan harian yang menguatkan saya dalam menghadapi pelbagai dugaan hidup, termasuk penyakit-penyakit yang saya alami. Tahun demi tahun berlalu. Anak-anak saya membesar dalam Gereja Katolik, menerima sakramen sejak kecil, manakala saya masih seorang Anglikan. Ada ketika saya terfikir, “Mengapa saya tidak bersama mereka sepenuhnya dalam iman Katolik?” Namun, saya merasa tidak mampu untuk kembali belajar IKD kerana usia saya yang semakin lanjut.
Satu ketika, anak saya mempersoalkan tentang sakramen-sakramen Katolik yang belum saya terima. Itu membuatkan saya merenung lebih dalam. Puji syukur kepada Tuhan, kerana melalui teladan beberapa individu sebaya saya yang masih sanggup belajar, saya juga dikuatkan untuk menyambung semula pembelajaran IKD. Walaupun usia menjadi cabaran, saya lambat memahami dan mudah lupa, namun bimbingan penuh kasih dari pembimbing IKD saya, sangat membantu saya.
Pada Malam Paskah yang lalu, saya menerima Sakramen Inisiasi dan secara rasmi menjadi seorang Katolik dalam Upacara Penerimaan Penuh Dalam Kesatuan Gereja Katolik. Sukacita yang saya alami tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kini, saya mahu terus menghayati makna Sakramen Inisiasi dalam kehidupan seharian, dengan berusaha hidup sesuai dengan ajaran dan nilai-nilai iman Katolik. Saya aktif melayani dalam Kerasulan Wanita Katolik (KWK) dan sebagai warden setiap hari Minggu. Saya juga berusaha menjadi teladan doa dalam keluarga, serta bertekad untuk membaca Alkitab lebih kerap agar semakin mengenal Yesus. Iman saya belum sempurna, tetapi saya yakin kasih Tuhan sentiasa membimbing saya dari hari ke hari.
Segala kemuliaan bagi Tuhan yang setia menyapa dan mengubah hati saya, walaupun di usia senja.

 

“Kasih Tuhan Tidak Pernah Meninggalkan Saya”

Saya Daisy Eriesya Elden Raid, dilahirkan pada 8 Mac 2006 di Hospital Sandakan. Sejak kecil, saya telah dibesarkan dalam lingkungan keluarga Katolik. Keluarga sebelah ibu saya semuanya beragama Katolik, manakala sebelah bapa berasal dari denominasi Anglikan. Namun, iman saya dibentuk dan diasuh dalam ajaran serta tradisi Gereja Katolik. Namun begitu, sejak kecil saya tidak pernah menerima Sakramen Pembaptisan seperti sepupu – sepupu dan rakan – rakan sebaya saya. Tetapi, saya dapat merasakan dan menyaksikan bagaimana kasih Tuhan bekerja dalam keluarga saya, termasuk dalam perjalanan iman bapa saya yang akhirnya mengikuti pembelajaran Inisiasi Kristiani Dewasa (IKD) dan diterima sepenuhnya ke dalam Persekutuan Gereja Katolik beberapa tahun selepas pemberkatan perkahwinan kedua ibu bapa saya dalam Gereja.
Saya merupakan pelajar di MRSM Sandakan. Pada usia 15 tahun, tepatnya pada malam Paskah, 4 April 2021, saya menerima Sakramen Pembaptisan dan Komuni Pertama oleh Rev. Fr. David A. Garaman di Gereja St. Mark, Sandakan setelah mengikuti kelas IKD selama lebih setahun. Saat itu merupakan langkah besar pertama dalam hidup rohani saya. Namun, saya tidak dapat menerima Sakramen Penguatan pada masa itu kerana belum mencapai usia yang ditetapkan.
Selepas itu, kesibukan persediaan untuk peperiksaan SPM menjadikan saya tidak mampu mengikuti pembelajaran lanjutan untuk Sakramen Penguatan. Namun, niat itu tetap saya simpan dalam hati. Saya berjanji pada diri sendiri, apabila tamat SPM, saya akan kembali untuk menyambung pembelajaran iman saya.
Benar, setelah SPM, saya kembali ke kampung dan meneruskan kelas persediaan Sakramen Penguatan di Kapela St. Emmanuel Liningkung, Telupid. Tidak lama kemudian, saya menerima tawaran sambung belajar ke Kolej Matrikulasi Labuan. Walaupun berada jauh dari rumah, saya tetap berusaha untuk kekal teguh dalam iman, menghadiri Misa Kudus di Gereja Katolik tempat saya belajar, saya melibakan diri dalam aktiviti gereja apabila dibenarkan keluar asrama, serta sentiasa berhubung dengan rakan-rakan dan keluarga Katolik saya.
Saya pernah menyimpan harapan untuk menerima Sakramen Penguatan pada November 2024 di Gereja St. Martin Telupid. Namun, rancangan Tuhan ternyata berbeza. Peperiksaan penting serta larangan untuk pulang telah menghalang saya daripada menghadiri upacara tersebut. Walaupun saya berasa kecewa, saya percaya bahawa Tuhan sentiasa bekerja dalam waktu dan cara-Nya yang sempurna.
Akhirnya, berkat kasih Tuhan yang begitu besar, saya menerima Sakramen Penguatan pada malam Paskah, 19 April 2025. Saat itu, saya merasakan suatu perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata, penuh sukacita, syukur, dan damai. Saya sangat bersyukur atas rahmat ini yang telah memperteguh iman saya sebagai seorang Katolik.
Antara cabaran saya pada masa itu adalah Penerbangan dan perjalanan saya (18 April 2025) seorang diri dari Labuan ke Kota Kinabalu, kemudian ke Telupid, tetapi saya percaya semua itu telah diatur oleh tangan Tuhan sendiri. Seusai Misa Kudus pada malam paskah itu, saya terpaksa bergegas semula ke Kota Kinabalu dan kembali ke Labuan keesokan harinya untuk meneruskan pembelajaran.
Saya percaya, tanpa campur tangan Tuhan, semua ini tidak mungkin terjadi. Dia membuka jalan walau dalam keterbatasan dan kelemahan saya. Penguatan ini bukan sekadar sebuah sakramen; ia adalah tanda nyata bahawa Tuhan tidak pernah meninggalkan saya, bahkan dalam saat saya merasa lemah dan terbeban.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Rev. Fr. Christopher paderi paroki Gereja St. Martin Telupid, para pembimbing saya, kedua ibu bapa dan keluarga tercinta, ibu tanggung saya, dan rakan-rakan seperjalanan iman yang tidak pernah jemu mendoakan dan menyokong saya. Terima kasih juga kepada semua yang terlibat, secara langsung atau tidak langsung, dalam membentuk dan menguatkan iman saya.
Perjalanan ini masih panjang. Saya rindu untuk memperdalamkan lagi hubungan saya dengan Tuhan dan melayani-Nya dengan sepenuh hati. Saya yakin, selagi saya berpaut pada-Nya, saya tidak akan goyah. Kasih-Nya kekal setia, dan Dia tidak pernah meninggalkan umat-Nya—termasuk saya, seorang anak muda yang masih belajar untuk setia. Dengan kata – kata ini, menguatkan lagi iman saya“Aku sekali-kali tidak akan membiarkan engkau dan Aku sekali-kali tidak akan meninggalkan engkau.” Ibrani 13:5