Artikel dan Gambar oleh : SOCCOM

TELUPID – Pada 27 April 2025 yang lepas, sambutan hari Paskah peringkat Paroki St. Martin, Telupid berlangsung dengan penuh meriah dan kesyukuran, menyatukan umat dalam semangat komuniti. Sambutan yang diadakan pada Hari Minggu Paskah Kedua ini turut menjadi medan untuk meraikan seramai 131 orang umat yang telah menerima Sakramen pada malam Paskah, 19 April yang lalu. Kehadiran mereka menambah seri dan makna sambutan kali ini, sekali gus menjadi lambang pertumbuhan dan komitmen umat dalam kehidupan beriman.

Sebahagian Penerima Sakramen yang Menerima Sakramen Pada Malam Paskah

Sambutan pada tahun ini telah dianjurkan oleh Zon St. Roderick yang diterajui oleh Saudara Emmanuel Atin selaku pengerusi penganjur. Acara dimulakan dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom, seterusnya diteruskan dengan sesi ucapan daripada pengerusi penganjur, paderi paroki, dan Bapa Uskup. Pengerusi penganjur dalam ucapannya menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama sehingga sambutan ini dapat direalisasikan dengan jayanya.

AJK Penganjur (Zon St. Roderick) bersama Bapa Uskup dan Paderi Paroki

Sementara itu, paderi paroki, Rev. Fr. Christopher Ireneus, turut merakamkan penghargaan atas penglibatan semua pihak dalam menjayakan sambutan ini. Beliau menyatakan bahawa kehadiran umat yang begitu ramai mencerminkan semangat kesetiaan dan kebersamaan sebagai satu komuniti. Dalam pada itu, beliau juga menyeru seluruh umat agar turut sama menyumbang kepada usaha pengumpulan dana bagi tujuan menaik taraf bangunan gereja yang sedia ada serta mengajak umat untuk memanfaatkan sepenuhnya segala kemudahan di kawasan gereja untuk tujuan yang dapat memperkukuh dan membina iman secara bersama. Beliau menegaskan bahawa sebagai sebuah gereja sinodal, umat dipanggil untuk terus melangkah bersama, dengan sikap terbuka untuk memberi dan menerima cadangan serta teguran demi kebaikan bersama. Seterusnya, Bapa Uskup dalam ucapannya turut menzahirkan ucapan tahniah kepada paderi paroki, barisan jawatankuasa dan seluruh umat atas kerjasama dan usaha gigih yang membolehkan sambutan ini berjalan dengan lancar dan bermakna. Beliau menyambut baik seruan paderi paroki agar seluruh umat sentiasa bekerjasama dan berjalan seiring sebagai satu gereja sinodal yang hidup, aktif dan bersatu.

Pelancaran Gimik Perasmian Dewan Terbuka Bishop Datuk Simon Fung dan Kafeteria St. Martin

Sambutan diteruskan dengan acara perasmian dan pemberkatan Dewan Terbuka Bishop Datuk Simon Fung serta kafeteria baharu St. Martin yang disempurnakan oleh Bapa Uskup. Istimewanya, upacara ini turut diserikan dengan gimik perasmian iaitu aksi simbolik “memancing”, yang membawa makna mendalam selaras dengan misi gereja untuk terus “memancing” lebih ramai umat melibatkan diri dalam pelayanan gereja. Acara kesyukuran diteruskan dengan pelbagai persembahan pentas seperti koir, tarian dan nyanyian yang memeriahkan suasana. Di samping itu, acara cabutan tiket bertuah turut menceriakan para hadirin. Sementara itu, gerai-gerai makanan yang disediakan memberi peluang kepada umat untuk menikmati pelbagai juadah sambil merapatkan hubungan dan beramah mesra antara satu sama lain.

Acara Pemotongan Kek Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Paskah

Secara keseluruhan, sambutan Paskah tahun ini bukan sahaja menjadi tanda kesyukuran atas kebangkitan Kristus, malah turut menandakan permulaan baharu bagi Paroki St. Martin Telupid bukan sahaja dari segi fizikal melalui kemudahan yang baharu, tetapi juga dari segi rohani melalui semangat kesatuan dan pelayanan yang diperbaharui. Semoga umat terus melangkah bersama dalam terang Kristus yang hidup, dengan tekad dan komitmen untuk menjadi saksi iman di tengah masyarakat.

Persembahan Koir