Oleh : Nes Sandra Recca Asmin
Gambar : SOCCOM Paroki Telupid

TELUPID – Umat Paroki Santo Martin Telupid sekali lagi bersyukur atas anugerah panggilan imamat apabila seorang lagi anak jati Telupid, Ricki Boy Hasim, ditahbiskan menjadi paderi. Pentahbisan ini merupakan yang ketiga dalam sejarah paroki selepas Rev. Fr. Christopher Ireneus pada tahun 2016 dan Rev. Fr. Arthur John pada tahun 2022. Sebelum menyahut panggilan suci ini, Fr. Ricki pernah menimba pelbagai pengalaman kerja dalam beberapa sektor, terutamanya dalam bidang perladangan kelapa sawit. Namun, semangat dalam jiwa untuk bekerja di ladang yang lebih luas mendorong beliau meninggalkan kerjaya lama demi menjawab panggilan kepada kehidupan imamat.

Upacara Pentahbisan Imamat

Dalam tempoh lapan tahun, Fr. Ricki pernah menjalani pelbagai pendedahan dan pelayanan pastoral. Antaranya adalah:

Pendedahan Pastoral

2018: Mount Miriam Cancer Hospital (Pulau Pinang), Penang Cheshire Home 2019: St. Dominic (Lahad Datu), Hospital Umum Pulau Pinang
2020: Holy Trinity, Tawau, Campus Ministry dan SPC, Sandakan 2021: St. Stephen, Bau, Sarawak
2022: Holy Trinity, Tawau
2023: Our Lady of Fatima, Beluran 2024: Katedral St. Mary, Sandakan

Pelayanan Pastoral

2024: St. Dominic, Lahad Datu
2025: Katedral St. Mary, Sandakan

Fr. Ricki memberkati Uskup Julius

Fr. Ricki memberkati ahli keluarganya

Gambar bersama ibu bapa dan adik beradik

Sebagai pelengkap pembentukan, beliau ditahbiskan menjadi diakon pada 24 November 2024 sebelum akhirnya ditahbiskan sepenuhnya sebagai paderi dalam Misa Kudus Pentahbisan Imamat pada 8 Jun 2025. Misa Kudus Pentahbisan Imamat telah berlangsung pada jam 4 petang di Gereja St. Martin, Telupid dan disempurnakan oleh Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom, Uskup Keuskupan Sandakan disaksikan oleh para paderi, religius, seminarian, ahli keluarga dan umat yang hadir memberikan sokongan. Fr. Ricki, yang ketika itu masih diakon, duduk bersama ahli keluarganya sebelum dijemput ke hadapan oleh paderi paroki, Rev. Fr. Christopher Ireneus untuk upacara pentahbisan. Selesai pentahbisan, paderi baharu terlebih dahulu memberkati Uskup, para paderi, serta ahli keluarganya diteruskan dengan sesi bergambar sebelum majlis kesyukuran di Dewan Terbuka Bishop Datuk Simon Fung.

Ucapan pengerusi pelaksana iaitu En. Albert Andau Paulus Andau

Berucap dalam majlis kesyukuran, Pengerusi Majlis Pastoral Paroki merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pentahbisan, En. Albert Andau Paulus Andau mengucapkan syukur atas kelancaran keseluruhan acara. “Ini adalah pentahbisan ketiga sepanjang saya mempengerusikan Majlis Pastoral Paroki. Semoga akan ada lagi pentahbisan yang keempat dan seterusnya.” Beliau turut berterima kasih kepada semua zon yang telah menyediakan makanan secara potluck untuk dikongsikan kepada semua yang hadir.

Ucapan paderi paroki, Rev. Fr. Christopher Ireneus

Seterusnya, Paderi Paroki, Rev. Fr. Christopher Ireneus dalam ucapannya menyeru umat agar membuka mata terhadap kekurangan paderi di Keuskupan Sandakan. “Tuaian banyak, tetapi penuai sedikit. Doakan kami para paderi kerana kami juga manusia biasa dan ada kelemahan,” katanya sambil mengingatkan umat agar terus setia kepada gereja dan mendoakan semua paderi.

Ucapan Fr. Ricki Boy Hasim

Kemudian, ucapan penuh keinsafan dikongsikan oleh Rev. Fr. Ricki Boy Hasim. Beliau mengenang zaman mudanya yang kelam dan bagaimana rahmat Tuhan disia-siakan. Namun, seperti anak yang kembali kepada bapanya, beliau juga kembali dengan kerendahan hati. “Tegurlah saya bila saya salah. Muka ganas tapi dalam hati ada taman,” katanya sambil menyeru agar umat terus mendoakan dirinya dan semua paderi agar terus kuat dalam pelayanan.

Ucapan Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom

Bapa Uskup dalam ucapannya pula menzahirkan penghargaan kepada semua yang hadir memberikan sokongan dan sempat memberi pesanan ringkas namun bermakna. “Don’t spoil him.” Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa Fr. Ricki atas keberanian mempersembahkan anak mereka kepada gereja dan menggalakkan ibu bapa lain untuk melakukan hal yang sama. Dalam usia 18 tahun Keuskupan Sandakan, beberapa paderi telah ditahbiskan, dan Uskup berharap akan lebih ramai menyusul. Suasana menjadi gamat apabila Bapa Uskup mengumumkan bahawa Fr. Ricki akan melayani di Paroki Holy Trinity, Tawau.

Pemotongan kek kesyukuran

Persembahan pentas daripada keluarga Fr. Ricki semasa majlis kesyukuran

Majlis kesyukuran diserikan dengan pelbagai acara seperti pemotongan kek kesyukuran, tayangan montaj, persembahan dari zon serta penyampaian cenderahati berupa jubah emas daripada umat Zon St. Nicholas dan mass kit daripada Kumpulan Pelayanan Warga Pendidikan kepada Fr. Ricki. Sambutan ditutup dengan doa yang dipimpin sendiri oleh paderi baharu.

Tahniah diucapkan kepada Rev. Fr. Ricki Boy Hasim atas pentahbisan ini. Semoga perjalanan kepaderian beliau sentiasa disertai rahmat dan berkat Tuhan.