Artikel dan gambar oleh: SOCCOM Kateketikal Paroki
TELUPID – Dalam suasana penuh kesyukuran sempena Hari Minggu Tubuh dan Darah Kristus pada 22 Jun 2025, seramai 83 orang pelajar PMG dari seluruh paroki telah menerima Sakramen Ekaristi dalam satu perayaan Misa Kudus yang dirayakan oleh Rev. Fr. Christopher Ireneus, Paderi Paroki St. Martin Telupid.

Penerimaan Sakramen Ekaristi
Sehari sebelumnya, satu rekoleksi telah dijalankan sebagai persiapan kepada para calon. Rekoleksi ini turut disertai oleh ibu bapa calon dan dipenuhi dengan pengisian ceramah serta perkongsian iman dalam kumpulan kecil. Program ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh AJK Komiti Kateketikal Paroki di bawah pimpinan Encik Jameus Yolong selaku pengerusi.
Antara sesi yang menyentuh hati ialah ceramah bertajuk “Perjalanan Iman” yang disampaikan sendiri oleh pengerusi kateketikal. Beliau menegaskan bahawa ibu bapa merupakan katekis pertama kepada anak-anak dan harus menjadi teladan yang hidup dalam membentuk dan membimbing iman keluarga. Seusai rekoleksi, para calon menerima Sakramen Tobat sebelum menyambut Tubuh dan Darah Kristus.
Pada hari perayaan, para calon menerima Sakramen Ekaristi dalam suasana meriah, suci dan penuh pengharapan. Sebelum berkat penutup, Fr. Christopher menyampaikan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua ahli Komiti Kateketikal atas komitmen mereka dalam menjayakan program ini. Dalam amanatnya kepada para penerima sakramen, beliau menekankan bahawa Kristus yang hadir dalam Ekaristi adalah Tuhan yang mengajar untuk mengasihi, mengampuni dan mentaati terutamanya kepada ibu bapa. Beliau turut menyeru para ibu bapa agar terus mendampingi dan menjadi teladan iman kepada anak-anak dalam kehidupan seharian.

AJK Kateketikal Paroki
Upacara ini merupakan satu langkah penting dalam pertumbuhan rohani anak-anak gereja. Semoga benih iman yang ditanam melalui sakramen ini terus tumbuh subur dalam kasih Tuhan dan bimbingan komuniti yang setia. Paroki St. Martin Telupid bersyukur atas rahmat ini dan akan terus berkomitmen membina umat yang teguh dalam iman dan pelayanan.