Oleh Komiti Kateketikal Misi Paitan

Diperlengkapi untuk Menjadi Pengurus yang Baik” (1 Petrus 4:10–11) merupakan tema bagi rekoleksi Katekis Pembimbing Sekolah Minggu dan IKD, serta pembentukan Komiti Katekatikal Misi Paitan yang pertama. Rekoleksi ini telah berlangsung dengan jayanya pada 20 hingga 22 Jun 2025.  Program yang telah berlangsung selama tiga hari ini, bertempat di Gereja St. Francis of Assisi, Misi Paitan dan dihadiri oleh 25 orang Katekis Pembimbing Pertemuan Minggu Gembira(PMG) dan Inisiasi Kristian Dewasa(IKD) dari pelbagai chapel di Misi Paitan.

Program ini merupakan inisiatif penting untuk memperbaharui semangat pelayanan para katekis serta memperkasa pelayanan katekatikal di Misi Paitan. Di samping itu, rekoleksi ini juga menandakan permulaan rasmi kepada pembentukan Komiti Kateketikal yang pertama di Misi Paitan, yakni satu usaha penting dalam meneruskan nadi komuniti beriman yang bersedia menerima kedatangan Yesus Kristus yang kedua kalinya.

Program dimulai dengan sesi pendaftaran pada petang 20 Jun, disusuli dengan Misa Kudus oleh Rev Fr. Arthur John.  Antara pengisian katekesis sepanjang rekoleksi ini ialah sesi “Diperlengkapi untuk menjadi pengurus yang baik” oleh Sister Rose. Dalam sesi ini, beliau menekankan bahawa menjadi seorang katekis harus bermula dengan menjadi pengurus yang berkualiti menurut konteks Firman Tuhan. Memperlengkapi diri dengan doa, sifat pengasih, kesederhanaan, penguasaan diri, motivasi, integriti, dan kesediaan untuk melayani menurut bimbingan Roh Kudus.

Dalam sesi kedua iaitu “Kita Dibaptis dan diutus” disampaikan oleh saudara Linus. Beliau menekankan bahawa setiap katekis dipanggil untuk menyahut panggilan mandat pembaptisan, menjadi milik Kristus dan diutus ke tengah komuniti sebagai saksi iman yang membawa cahaya Kristus ke dalam masyarakat. Katekis juga harus bersatu dengan hierarki gereja, bukan hanya sebagai penerima tetapi juga sebagai pewarta dan pelaku firman.

Dalam sesi ketiga “Panggilan dan Peranan Katekis Pembimbing di Paitan” yang disampaikan oleh Sister Rose menegaskan, pentingnya peranan AJK dalam Komiti Kateketikal dan menerangkan tanggung jawab mereka. Katekis sebagai penerus iman kepada generasi melalui katekesis yang disampaikan. Oleh itu, para katekis harus rajin menyertai pendalaman iman, rekoleksi dan retret.

Dalam sesi terakhir “Kristus, Misi Kita” telah disampaikan oleh Katekis Nora. Dengan terbentuknya komiti kateketikal Misi Paitan, ia bukanlah akhir daripada rekoleksi ini, namun akan diteruskan seperti Injil Yohanes 20:21 “Sama seperti Bapa mengutus Aku demikian juga sekarang Aku mengutus kamu.” Beliau membimbing para katekis untuk memusatkan seluruh pelayanan ini kepada satu tujuan utama, iaitu misi Kristus yang juga telah menjadi misi kita dan bagaimana untuk meneruskan misi Kristus bukan sahaja melalui pelayanan tetapi juga melalui kehidupan peribadi.

Turut hadir bersama dalam rombongan Sr Rose ialah beberapa fasilitator dari komiti kateketikal Paroki St. Martin, Telupid. Sepanjang rekoleksi ini juga, para katekis diperlengkapi dengan Doa Devosi, Adorasi, Misa Kudus harian, perbualan rohani dan juga sesi puji-pujian.

Perbualan Rohani

Adorasi

Pembentukan Komiti Kateketikal Misi Paitan yang pertama kalinya adalah pada sebelah petang hari kedua. Sebelum pembentukan komiti kateketikal ini, Sr Rose telah memimpin para Katekis Misi Paitan dalam satu doa panggilan dan renungan peribadi. Seterusnya, dalam satu sesi mesyuarat dan pemilihan yang dijalankan secara demokrasi, barisan jawatankuasa telah dibentuk dengan komitmen untuk menyelaras dan menyokong perjalanan iman umat katolik melalui Komiti Kateketikal di semua stasi luar di bawah Misi Paitan ini.

Dari kiri, Ruyah Tumpung(Timbalan Bendahari), Helminah Nadu(Bendahari), Rohana Jelum(Timbalan Koordinator), Rev Fr Arthur John, Louissa G.Sundang(Koordinator), Sutianah Jair(Setiausaha), Diwah Kabag(Timbalan Setiausaha)

Program ini diakhiri dengan Misa Kudus dan pengutusan para katekis untuk terus melayani dengan semangat baru. Dalam homili, Fr Arthur menyampaikan bahawa, “Tuhan tidak memanggil yang sempurna, tetapi mereka yang bersedia memikul Salib. setiap kita mempunyai lima roti dan dua ikan seperti dalam pembacaan Injil. Oleh itu, berbekalkan lima roti dan dua ikan kita serahkan kepada Tuhan Yesus untuk menjadi buah yang banyak sehingga dapat dimakan seperti dalam Injil, iaitu 5000 orang.” Rekoleksi ini bukan sahaja memperkukuh iman dan semangat pelayanan, malah menjadi titik tolak kepada struktur pelayanan yang lebih tersusun dan berkesan di Misi Paitan. Semoga usaha ini diberkati dan terus berbuah dalam kehidupan umat setempat.

Seluruh rombongan Sr. Rose bersama semua katekis Misi Paitan dan Rev Fr. Arthur John