Gambar : Kateketikal Paroki St. Dominic | Artikel : Jaymar P. Amarille

Buat pertama kalinya, Kateketikal Paroki St. Dominic Lahad Datu telah menganjurkan seminar serentak bagi calon Komuni Pertama serta calon Sakramen Penguatan pada 5 September 2025. Seminar sehari ini telah dihadiri seramai 480 orang peserta yang datang dari pusat paroki serta stasi-stasi luar, kecuali dari Kunak, Madai, dan Sapang.

Seminar dijalankan di dua lokasi berbeza: calon Komuni Pertama berkumpul di Dewan Paroki, manakala calon Sakramen Penguatan mengikuti sesi mereka di Dewan Terbuka St. Dominic.

Dalam ucapannya, Penyelaras Kateketikal Paroki, Saudara Sebastian J. Francis, menyampaikan harapan beliau:

“Semoga kamu memperoleh sesuatu yang berharga daripada seminar ini, yang akan meneguhkan iman serta kepercayaan kamu kepada Tuhan. Saya juga berharap kamu semua bersedia untuk menerima Komuni Kudus dan Sakramen Penguatan pada tahun ini.”

Sepanjang seminar tersebut, seramai 10 orang penyampai sesi yang telah dipilih membawakan pelbagai topik bermakna untuk memperkaya pengetahuan iman para calon. Tujuannya adalah agar mereka bukan sahaja memahami, tetapi juga mendalami persiapan rohani dalam menerima Tubuh Kristus dan anugerah Roh Kudus.

Mengakhiri ucapannya, Saudara Sebastian menegaskan:

“Segala yang kamu pelajari hari ini, semoga kamu imani dan bawa dalam kehidupan seharian. Dengan iman yang tertanam di dalam hati, suatu hari nanti kamu juga boleh menjadi seorang pembimbing iman bagi orang lain.”